PENGERUSI MAIS GALAK UMAT ISLAM LAKSANA IBADAH KORBAN

PENGERUSI MAIS GALAK UMAT ISLAM LAKSANA IBADAH KORBAN

448743559 846078377437363 6656438001148540667 n
Shah Alam, 19 Jun – Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof mengajak umat Islam yang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban yang merupakan ibadah utama umat Islam menjelang AidilAdha.
 
Umat Islam yang berkemampuan amat digalak melakukan ibadat korban dengan menyembelih unta, lembu, kambing atau mengeluarkan perbelanjaan untuk menyertai satu per tujuh daripada bahagian korban.
 
Bagi ibadah ini, semua umat Islam berpeluang menyertai dan hendaklah menanam iltizam dengan membuat perancangan kewangan lebih awal seperti menyediakan tabung khas untuk pelaksanaan korban.
 
Contohnya kos bagi sebahagian lembu adalah sekitar RM850 bermakna jika ingin menyertai korban, hanya sekitar RM70 sahaja tabungan bagi setiap bulan.
 
Jika seseorang itu mampu membuat bayaran bulanan bagi kenderaan, rumah dan sebagainya pastinya boleh juga diusahakan untuk tabungan bulanan menyertai ibadah korban.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Gotong Royong Pelaksanaan Ibadah korban yang dianjurkan oleh MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS) di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam di sini.
 
Tidak ketinggalan turut serta agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
 
Pengerusi MAIS turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berjaya menyertai ibadah korban dan semoga ibadah korban diterima oleh Allah SWT sebagai tanda ketaqwaan kepadaNya.
 
Melalui ibadah korban ini dapat menzahirkan tanda kesyukuran atas pelbagai nikmat kurniaan Ilahi.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat menganjurkan dan bergotong royong membantu urusan penyembelihan, melapah dan akhirnya mengagihkan daging korban. Secara tidak langsung melalui ibadat korban juga hubungan ukhuwah sesama muslim dapat diperkukuhkan sepanjang masa.
 
Begitu juga terhadap penerima daging korban terutamanya golongan fakir miskin sekali gus mewujudkan nilai saling bantu-membantu dan berkongsi yang sangat dituntut dalam agama.
 
Beliau berharap program seperti ini akan terus diimarahkan pada setiap tahun dan dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
 
Semoga segala usaha yang melibatkan komitmen masa, tenaga beserta niat yang ikhlas akan dikira sebagai amalan kebajikan yang ada ganjaran dan kebaikan di akhirat kelak.
 
Turut hadir Setiausaha MAIS Dr. Hj Ahmad Shahir Makhtar yang bersama bergotong royong dan menyempurnakan serahan daging korban kepada penerima, ketua-ketua Jabatan dan pegawai di Bangunan Sultan Idris Shah yang mewakili setiap jabatan.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor