MAIS SUMBANG RM11.7 JUTA BANTU OPERASI 27 RUMAH PEMULIHAN RIQAB (RPR)

MAIS SUMBANG RM11.7 JUTA BANTU OPERASI 27 RUMAH PEMULIHAN RIQAB (RPR)

485960731 1031868428858356 5715637372645313082 n
SHAH ALAM-Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyerahkan sumbangan RM11.7 juta kepada 27 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Negeri Selangor.
 
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS dalam Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Rumah Pemulihan Riqab Tahun 2025 di sini hari ini.
 
Sumbangan RM11,709,000.00 itu melibatkan kos program, pengurusan dan penjagaan Asnaf Riqab di Rumah Pemulihan Riqab yang berada di bawah seliaan MAIS bagi tahun 2025.
Antara RPR yang menerima bantuan ialah Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor (PAKATS), Rumah Sahabat, Rumah Perlindungan Darul Ukhuwah, Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS) dan Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.
 
MAIS juga turut menyumbang sebanyak RM400,000.00 kepada 1,000 orang asnaf riqab di negeri ini bagi membantu asnaf-asnaf tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.
Sumbangan yang menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab ini bertujuan untuk membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.
 
MAIS berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial untuk memastikan asnaf riqab tersebut diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan yang sewajarnya.
 
Majlis ini juga berjaya menghimpunkan seramai 145 orang asnaf riqab untuk bertadarus disusuli dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Solat Sunat Tarawikh.
Turut hadir ialah Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS; Dr Hajah Norzaihan Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS dan Dr Hajah Norraini Nordin, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor