MAIS SUMBANG RM103,100.00 KEPADA 30 PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN
MAIS SUMBANG RM103,100.00 KEPADA 30 PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN
Shah Alam, 19 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan berjumlah keseluruhan sebanyak RM103,100.00 kepada 30 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) MAIS bagi menghargai peranan dan kebajikan pusat tersebut dalam membantu MAIS menguruskan proses pendaftaran pengislaman mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sumbangan yang menggunakan peruntukan dana zakat ini sebagai galakan dan motivasi PPP MAIS yang telah berjaya menguruskan proses pendaftaran pengislaman dengan sempurna sepanjang tahun 2024.
Selain itu, sumbangan ini juga sebagai penghargaan kepada PPP MAIS dalam membantu gerak kerja pengurusan pengislaman di negeri Selangor sejajar dengan peranan PPP MAIS iaitu memudahkan dan melancarkan lagi proses pengurusan pengislaman dan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada asnaf muallaf di negeri Selangor.
Penyerahan simbolik sumbangan disempurnakan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS dalam Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah Pusat Pengurusan Pengislaman 2025 yang diadakan di Wisma PKPS di sini hari ini.
Antara penerima ialah Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Malaysia (PERKIM) Selangor; Hidayah Centre Foundation (HCF); Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Islamic Outreach ABIM (PIIM) dan Masjid Al-Falah USJ9.
Sehingga kini, sebanyak 41 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan oleh MAIS bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor. PPP MAIS bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk membuat pendaftaran pengislaman dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu atau pihak lain.
MAIS telah mendaftarkan seramai 1,875 individu menjadi muallaf sepanjang tahun 2024. Daripada 1,875 individu tersebut, seramai 1,031 individu didaftarkan pengislaman di PPP MAIS yang terdiri daripada masjid dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), manakala seramai 844 individu telah didaftarkan pengislaman di Ibu Pejabat MAIS, Pejabat Ketua Pendaftar Muallaf dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
Pada majlis yang sama, MAIS turut menyerahkan simbolik Sumbangan Agihan Fidyah MAIS dalam bentuk wang tunai berjumlah RM30,000.00 kepada 100 orang muallaf di negeri Selangor. Sumbangan bertujuan meringankan kos sara hidup bagi muallaf yang memerlukan.
SHAH ALAM 20 April-YAD Senator Dato Setia Haji Salehuddin bin...
Shah Alam, 19 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)...
SERENDAH, 18 April – Program turun padang Pengerusi Majlis Agama...
SHAH ALAM, 15 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)...
Putra Heights – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini...