MAIS PERUNTUKAN RM19.4 JUTA TANGANI MASALAH SOSIAL

MAIS PERUNTUKAN RM19.4 JUTA TANGANI MASALAH SOSIAL

454008946 874184831293384 4009540696138843451 n
SHAH ALAM, 4 Ogos – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM19,487,000.00 dari peruntukan zakat asnaf riqab untuk tahun ini bagi membantu dan membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.
 
Peruntukan RM19.4 juta diberikan berdasarkan sumbangan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab, Program Kursus dan Latihan Asnaf Riqab, Perkhidmatan Guru Pembimbing Riqab dan Sumbangan Kebajikan Asnaf Riqab termasuk program-program pemulihan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh tiga Rumah Pemulihan Majlis dan 26 Rumah Pemulihan Riqab di bawah MAIS yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dari pelbagai kategori.
 
Sehingga Jun 2024, MAIS menyantuni 5,943 golongan asnaf riqab di Negeri Selangor melalui bimbingan dan bantuan kebajikan bagi golongan terbabit. MAIS juga telah melantik seramai 184 orang Guru Pembimbing Al Riqab bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar dan diredhai.
 
Asnaf riqab merupakan seseorang yang terbelenggu dengan masalah sosial dan masalah Aqidah antaranya seperti penagihan dadah, sumbang mahram, lesbian,gay,biseksual dan transgender (LGBT), orang Islam yang terpesong agama serta lain-lain pecahan jenis asnaf Riqab sepertimana yang telah difatwakan pada tahun 2012.
 
Bagi memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos 2024.
 
Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 disempurnakan hari ini oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Program Forum Riqab Memperkasakan Pemulihan Riqab Negeri Selangor dan Majlis Perasmian Kempen Bulan Pembebasan Riqab Tahun 2024. Turut hadir ialah YBhg Tan Sri Dato’ Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Dr Hajah Norzaihan Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS dan Dr Hajah Norraini Nordin, Pengarah Sektor Pembangunan Sosial MAIS.
 
Pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang kempen berlangsung antaranya ialah Forum Riqab, Ceramah Informasi Asnaf Riqab, Program Bimbingan Asnaf Riqab, Program Ilaj & Rehab Asnaf Riqab (HIV/Dadah&Sosial), Kaunter Penerangan Riqab, Ihtifal Amal Islami Rumah Pemulihan Riqab dan Seminar Riqab Negeri Selangor.
 
Sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan Hal Ehwal Islam di Negeri Selangor, adalah menjadi tanggungjawab MAIS dalam melaksanakan program-program kesedaran melibatkan masalah sosial dan aqidah.
MAIS berharap, penganjuran kempen ini dapat menyediakan ruang dan informasi kepada umat Islam agar dapat mengenali asnaf riqab dengan lebih dekat serta cakna dengan masalah akidah dan gejala sosial yang berlaku kini.
 
Umat Islam yang ingin mendapatkan informasi lanjut berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di platform media sosial MAIS dan laman sesawang rasmi di www.mais.gov.my.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor