MAIS PERUNTUK RM1 JUTA KEPADA PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN YANG BERDAFTAR DI BAWAH MAIS

MAIS PERUNTUK RM1 JUTA KEPADA PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN YANG BERDAFTAR DI BAWAH MAIS

462716471 920951509950049 5437894344854210405 n
SHAH ALAM, 12 Oktober – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan RM1 juta kepada Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) yang berdaftar di bawah MAIS sebagai ganjaran berdasarkan kepada prestasi sepanjang tahun 2024.
 
Ganjaran yang disediakan oleh MAIS melalui peruntukan zakat ini adalah berdasarkan penilaian prestasi keberkesanan laporan program serta komitmen dan kesungguhan PIBK dalam menjalankan aktiviti dan program hal ehwal Islam bersama dengan masyarakat terutama di negeri Selangor.
 
Sumbangan diberikan berdasarkan komitmen pertubuhan dalam menangani isu berkaitan ancaman akidah dan sosial yang melibatkan umat Islam selain diukur mengikut Penilaian Prestasi dan Keberkesanan Program PIBK MAIS bagi tempoh setahun.
 
“Semoga pemberian ganjaran ini akan mendorong semua PIBK MAIS untuk bersama-sama berganding bahu dalam mempertahankan dan memertabatkan kesucian agama Islam di Negeri Selangor,” kata YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS semasa merasmikan program Seminar Pemerkasaan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan MAIS Tahun 2024 di sini hari ini.
 
Sehingga kini, jumlah PIBK di bawah MAIS pada tahun 2024 adalah sebanyak 93 buah PIBK. Kesemua PIBK tersebut dibahagikan kepada 10 Kluster iaitu Kluster Dakwah & Islah, Kluster Pemantapan Akidah, Kluster Pemerkasaan Halalan Toyyiban, Kluster Pendidikan Islam dan Kluster Pembangunan Muallaf, Kluster Pendidikan Islam, Kluster Pemulihan Riqab, Kluster Kebajikan Fakir dan Miskin, Kluster Kebajikan Anak Yatim, Kluster Pembangunan Kekeluargaan Islam dan Kluster Amal Makruf Nahi Mungkar.
 
Antara PIBK yang berdaftar di bawah MAIS ialah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS); Persatuan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BAKEWANIS); Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS); Islamic Relief Malaysia (IRM); Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia @ Muslim Care Global (MCG) dan Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD).
 
Sementara itu, dalam Seminar Pemerkasaan PIBK Tahun 2024 anjuran MAIS dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor yang diadakan hari ini 12 Oktober, turut dihadiri oleh peserta dari kalangan PIBK, Anggota Jawatankuasa Dakwah Negeri Selangor, Anggota Jawatankuasa Teknikal Pemerkasaan PIBK, Ketua-ketua Jabatan, Bahagian dan Anak Syarikat MAIS serta masyarakat awam.
 
Seminar diadakan bagi memberi peluang dan ruang kepada PIBK untuk bertukar-tukar idea dan pandangan dalam menangani isu-isu semasa ummah yang melibatkan kepentingan Islam di Negeri Selangor.
Dalam seminar ini juga turut dikongsikan berkaitan Pendaftaran Pengurusan Pertubuhan mengikut Sistem Undang-Undang Berdaftar Pertubuhan, Pindaan Perlembagaan bersesuaian dengan kehendak Akta Pertubuhan 1966 dan Pengenalan kepada Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan (COGG) kepada peserta yang hadir.
 
MAIS berharap agar semua PIBK MAIS dapat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga, mempertahankan dan memartabatkan kesucian agama Islam selaras dengan hukum syarak.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor