MAIS LUASKAN DAKWAH KESEDARAN ISU AKIDAH DAN SOSIAL PERINGKAT IPT

MAIS LUASKAN DAKWAH KESEDARAN ISU AKIDAH DAN SOSIAL PERINGKAT IPT

468451832 953320256713174 7479972186537601635 n
SHAH ALAM, 27 November – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus komited dalam meluaskan dakwah kesedaran isu berkaitan akidah dan sosial termasuk kepada mahasiswa di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
 
Bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa di peringkat IPTA dan IPTS berkaitan gejala sosial yang berlaku masa kini, MAIS menganjurkan Seminar Kesedaran Pelajar IPT: Sayangi Generasi Kita yang disempurnakan perasmian oleh Tan Sri Dato Hashim Meon, Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS hari ini.
 
Seramai 340 orang mahasiswa IPTA dan IPTS terlibat dalam program ini yang melibatkan mahasiswa dari Universiti Islam Selangor (UIS); Universiti Selangor (UNISEL); Universiti Teknologi Mara (UiTM); Management & Science University (MSU); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Malaya (UM) dan Politeknik Shah Alam.
 
Antara pembentangan bertajuk ‘Penyucian Jiwa Dalam Perjalanan Pencinta Ilmu’ disampaikan oleh Prof Dr Salasiah Hanin Hamjah, Anggota MAIS dan Forum Kesedaran Pelajar IPT: Sayangi Generasi Kita menampilkan ahli panel iaitu Encik Muhammad Saiful Chua Abdullah, Ikon Komuniti Hijrah dan Encik Nur Fadhlan Harun, Ikon Pebebasan Dadah.
 
Program ini juga melibatkan kehadiran sebanyak 13 wakil RPR MAIS antaranya ialah Rumah Sahabat, Rumah Usrah Fitrah, Rumah Pintas dan Rumah Raudhatus Sakinah.
 
Program ini diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada mahasiswa di peringkat IPTA dan IPTS berkaitan gejala sosial dan isu-isu ajaran sesat di masa kini.
 
Penganjuran program ini sangat digalakkan demi pemangkin pembangunan modal insan yang cemerlang selaras dengan aspirasi MAIS untuk membangun dan melaksanakan program syiar Islam yang berimpak tinggi serta dijadikan contoh oleh organisasi Islam yang lain.
 
Dalam pada itu, sepanjang bulan Januari hingga Oktober tahun 2024, seramai 599 orang pelatih di Rumah Pemulihan Riqab (RPR) dan Rumah Pemulihan Majlis (RPM) di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah berjaya dipulihkan dan kembali ke jalan yang benar dan diredhai.
 
Daripada 599 orang pelatih yang dipulihkan, seramai 533 orang pelatih di RPR dan 66 orang pelatih di RPM. Angka ini menunjukkan MAIS terus komited dalam membantu masyarakat yang menghadapi masalah akidah dan sosial, tetapi dapat menghasilkan insan yang bukan sahaja baik dari segi akhlak rohaninya, malahan mempunyai kualiti dalam mendepani cabaran kehidupan di luar sana.
 
RPM terdiri daripada Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Pemulihan Dadah MAIS dan AADK berperanan menempatkan asnaf riqab yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah yang memerlukan proses bimbingan kerohanian, adab dan sahsiah untuk kembali ke ajaran islam yang sebenar manakala di bawah MAIS juga terdapat 26 RPR yang berdaftar dan menjalankan tugas dan fungsi yang sama.
 
Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan setiap tahun khusus kepada pelatih yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah bagi melancarkan proses pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan agar mereka yang tersasar ini kembali ke pangkal jalan. Setiap pelatih perlu mengikuti semua program pemulihan mengikut tempoh yang telah ditetapkan berdasarkan masalah sosial atau akidah yang dihadapi.
 
MAIS juga berharap masyarakat di luar sana turut memberikan sokongan dan dorongan kepada mereka yang telah berjaya dipulihkan, agar dapat istiqamah berubah ke arah yang lebih baik untuk mereka kekal di jalan yang benar dan menjadi insan Rabbani yang cemerlang dunia dan akhirat.
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor