MAIS LANCAR KAD PERANCANG PEWARISAN ISLAM, LUAS PERANAN URUS WASIAT, HIBAH
MAIS LANCAR KAD PERANCANG PEWARISAN ISLAM, LUAS PERANAN URUS WASIAT, HIBAH
SHAH ALAM, 30 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengambil inisiatif dengan melancarkan Kad Perancang Pewarisan Islam sebagai satu pengenalan identiti Perancang Pewarisan Islam (PPI) yang berdaftar dengan MAIS dalam meluaskan peranan membantu masyarakat berkaitan pengurusan harta terutamanya wasiat dan hibah.
Pelancaran disempurnakan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS semasa merasmikan Majlis Penghargaan Rakan Media dan Rakan Strategik serta Pelancaran Kad Perancang Pewarisan Islam di sini hari ini.
Kad Perancang Pewarisan Islam akan diberikan kepada PPI yang dilantik oleh MAIS bertujuan sebagai dokumen rasmi khas selaku ejen PPI yang membantu MAIS berkaitan pengurusan wasiat dan hibah.
Kad Perancang Pewarisan Islam mempunyai pelbagai kelebihan antaranya mengandungi nombor rujukan pelantikan PPI, tarikh sah laku, gambar dan nama bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan pengurusan wasiat dan hibah.
PPI yang dilantik bertujuan membantu MAIS terutamanya dalam proses pendaftaran perkhidmatan wasiat dan hibah. Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk mentadbir hal ehwal umat Islam negeri Selangor, MAIS komited dalam melaksanakan perkhidmatan pengurusan wasiat dan hibah secara adil, telus, profesional dan patuh syariah kepada masyarakat.
Sehingga bulan Mac 2025, MAIS telah bekerjasama dengan 63 orang PPI yang berdaftar dan aktif dalam mempromosikan perkhidmatan wasiat dan hibah. Sejak April 2022 sehingga Mac 2025, sebanyak 553 dokumen wasiat dan 1001 dokumen hibah telah dikendalikan oleh MAIS dengan kerjasama PPI yang dilantik.
MAIS amat menggalakkan orang ramai turut mendaftar sebagai sebagai PPI melalui https://siswa.mais.gov.my/register/agent bagi membantu MAIS menyebarluaskan lagi perkhidmatan ini serta mengambil peluang meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan harta serta menambah pendapatan melaluinya.
Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi nombor di talian 03-5514 3772 atau WhatsApp 010251 9556.
Pada majlis hari ini, MAIS turut menyampaikan simbolik kepada tiga orang penerima Kad Perancang Pewarisan Islam. MAIS juga turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai satu penghargaan dan meraikan para pengamal media sepanjang tahun 2024 yang telah memberi kerjasama yang cemerlang dalam membuat liputan berita MAIS meliputi kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.
Antara media yang hadir adalah Radio Television Malaysia (RTM), TV Alhijrah, Selangor Kini, Media Selangor, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan, Kosmo,Bernama, Siakap Keli, Radio IKIM dan Radio Zayan dan sebagainya meliputi media arus perdana dan media digital.
Semoga hubungan baik di antara MAIS dengan rakan media dan rakan strategik terus ditingkatkan dan dikekalkan agar informasi berkaitan peranan MAIS, agensi dan anak syarikatnya dapat disebarluaskan lagi kepada masyarakat.
HULU SELANGOR, 8 Mei – Program turun padang Pengerusi Majlis...
GOMBAK, 7 Mei – Program turun padang Pengerusi Majlis Agama...
KUALA SELANGOR, 6 Mei-Melihat sendiri perkembangan hal ehwal Islam adalah...
RAWANG, 4 Mei – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan...
SHAH ALAM, 30 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)...