MAIS BEKERJASAMA DENGAN 298 RAKAN STRATEGIK

MAIS BEKERJASAMA DENGAN 298 RAKAN STRATEGIK

428615286 776943927684142 1454160661508695805 n
SHAH ALAM, 21 Februari – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bekerjasama dengan 298 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) bagi membantu menyampaikan sumbangan fidyah MAIS terus kepada mereka yang memerlukan dengan menggunakan peruntukan fidyah secara efisyen, menyeluruh dan menepati golongan penerima.
 
Program agihan fidyah ini dilaksanakan oleh MAIS dengan kerjasama RSAFM yang terdiri dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), agensi kerajaan, sekolah, masjid dan surau di daerah yang terlibat.
 
Selain itu, MAIS juga turut melantik ejen kutipan fidyah MAIS bagi menyebarluaskan kutipan fidyah terutama di negeri Selangor iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MYEG), Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad.
 
Bagi tahun 2023, MAIS telah berjaya melaksanakan kutipan fidyah berjumlah RM12.5 juta dan hasil kutipan tersebut, sebanyak RM11.9 juta telah diagihkan kepada mereka yang layak. Manakala bagi tahun 2024, MAIS mensasarkan kutipan fidyah sebanyak RM14 juta.
 
Sementara itu, MAIS hari ini mengadakan Majlis Penghargaan Rakan Strategik & Rakan Media dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Negeri Selangor Tahun 2024 yang disempurnakan perasmian oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS.
 
Melalui Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor yang diadakan bermula 13 Februari sehingga 11 Mac 2024, pelbagai program telah disusun antaranya ialah Program Hari Bersama Baitulmal; Bual Bicara di Radio Selangor FM; Taklimat, Tazkirah Jumaat dan Kuliah Maghrib Khas di Institusi, Masjid dan Surau Terpilih; Kaunter Pemasaran Baitulmal dan Forum Fidyah.
Tujuan kempen diadakan adalah memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat Islam tentang tanggungjawab melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan masyarakat Islam menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya bulan Ramadhan yang akan datang. Info lanjut, boleh didapati di laman web rasmi MAIS di www.mais.gov.my dan media sosial rasmi MAIS.
 
Pada majlis hari ini, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai satu penghargaan kepada rakan strategik yang telah memberikan komitmen tinggi bagi pelaksanaan program dan kepada rakan media memberikan sokongan melalui liputan meluas berhubung kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.
 
Antara penerima penghargaan ini adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Radio Television Malaysia (RTM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Media Selangor, TV Alhijrah, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan, Bernama, Kosmo, Radio IKIM, Radio Selangor, Radio Klasik, Karangkraf, rakan blogger dan sebagainya meliputi media arus perdana dan media digital.
 
Semoga hubungan baik di antara MAIS dengan rakan media dan rakan strategik terus ditingkatkan dan dikekalkan agar informasi berkaitan peranan MAIS, agensi dan anak syarikatnya dapat disebarluaskan lagi kepada masyarakat.
 
 
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor