PETUA DAN KHURAFAT

PETUA DAN KHURAFAT

Pengenalan

Petua dan khurafat merupakan dua konsep yang sering dibincangkan dalam masyarakat, terutama dalam konteks budaya dan kepercayaan tradisional. Islam adalah agama yang menjaga dan meraikan setiap amalan yang dilakukan oleh penganutnya selagi mana tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, umat Islam perlu bijak membezakan antara petua yang berfaedah dengan khurafat yang boleh membawa kepada dosa besar dan syirik, dengan berpegang teguh kepada panduan agama Islam dalam setiap aspek kehidupan.

img1
Sumber imej: https://www.bharian.com.my/

Definisi Petua

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, Petua didefinisikan sebagai nasihat, petunjuk, atau panduan yang ber­guna (biasanya oleh orang tua-tua atau yang berpengalaman) tentang cara melaksanakan atau mencapai sesuatu dengan berkesan. Petua biasanya disampaikan oleh generasi terdahulu secara lisan, diterima dan diamalkan oleh generasi seterusnya secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi yang lain. Kebiasaannya, golongan yang lebih tua seperti datuk, nenek, ibu, atau bapa akan menyampaikan petua kepada anak-anak bagi tujuan untuk memperoleh kebaikan serta manfaat di samping mengelakkan perkara buruk dari berlaku. Ia juga dapat diertikan dari segi pengamalannya sebagai satu garis panduan secara tidak formal melalui komunikasi lisan yang diwariskan oleh keluarga kepada anak-anak dan cucunya. Di alam Melayu, petua juga sering dikaitkan dengan amalan pantang larang kerana ia seakan-akan mempunyai persamaan antara keduanya. Namun begitu, konteks petua adalah lebih umum dari pantang larang kerana ia tidak tertumpu kepada perkara yang dilarang buat sahaja.

Antara petua dan pantang larang yang sering dan masih dijadikan sebagai amalan bagi sesetengah masyarakat alam Melayu hari ini seperti petua dan pantang larang kepada wanita hamil. Antaranya mereka dilarang mengambil makanan yang bersifat panas, sejuk, berangin, gatal, berbisa dan tajam bagi mengelakkan dari kesakitan berlaku. Selain itu, mereka dinasihatkan supaya tidak mengetuk paku di dinding, duduk di atas akar kayu atau makan makanan berakar seperti pegaga kerana ditakuti terlekat uri pada rahim dan lain-lain lagi. Bahkan terdapat pelbagai lagi petua dan pantang larang tidak terhad kepada perkara yang disebutkan di atas serta sering diamalkan oleh masyarakat Melayu Islam. Petua dan pantang larang dalam masyarakat Melayu terdahulu kebiasaannya wujud daripada pengalaman dan kepercayaan kerana ia dipercayai memberi kesan yang baik kepada kehidupan mereka.  

Untitled 4
Sumber imej: freepik.com

Hukum Beramal dengan Petua

Islam adalah agama yang sifatnya membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Antara rahmat yang dibawa dalam agama ini adalah Islam tidak menghapuskan segala adat dan kebudayaan yang telah diamalkan oleh masyarakat setempat sejak dahulu lagi. Tambahan pula, Islam tetap meraikan segala adat dan budaya selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Islam sebagaimana Rasulullah SAW masih mengamalkan serta menghidupkan lagi sesetengah budaya dan kepercayaan bangsa Arab terdahulu walaupun setelah Baginda dilantik menjadi Rasul.

Justeru itu, perlu dinilai semula dengan adil setiap jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya berdasarkan kaca mata syarak. Oleh itu, dapat difahami tidak semua petua dan pantang larang yang masih diamalkan bagi umat Islam hari ini bercanggah dengan syariat Islam seperti unsur-unsur animisme dan pengaruh agama Hindu-Budha yang masih ada ditinggalkan. Lanjutan daripada itu, harus beramal dengan petua selagi ia masih lagi berada di atas jalan kebenaran syarak melalui ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya ialah petua tersebut mestilah;

  1. Jauh daripada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari cakupan yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui RasulNya di dalam Sunnah. Firman Allah SWT:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. (al-Naml : 65)

  1. Tidak menjadikan seseorang itu berpaling dari keyakinan bahawa segala sesuatu yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah SWT (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah SWT yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah SWT. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman. (al-‘Araf :188)

  1. Tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah atau perkara yang qat’ie dalam syarak.

  2. Tidak mengubah hukum syarak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT iaitu mengharamkan sesuatu yang halal atau menghalalkan sesuatu yang haram. Ini kerana hak mutlak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu itu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah SWT.

  3. Tidak berupa kepercayaan kepada sial kerana ia dilarang oleh Rasulullah SAW. Berdasarkan hadis daripada saidina Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌لا ‌عَدْوَى ‌وَلَا ‌طِيَرَةَ، وَيُعْجِبُنِي الْفَأْلُ. قَالُوا: وَمَا الفأل؟ قال: كلمة طيبة

Maksudnya: Tidak ada jangkitan penyakit (tanpa kehendak dari Allah) dan tidak ada sial sesuatu, akan tetapi yang menyukaiku adalah al-fa’l. Para sahabat bertanya: Apa itu al-Fa’l, wahai Rasulullah? Jawab baginda: Ucapan yang baik. [HR: Bukhari]

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW juga bersabda:

‌مَنْ ‌رَدَّتْهُ ‌الطِّيَرَةُ ‌عَنْ ‌حَاجَتِهِ ‌فَقَدْ ‌أَشْرَكَ

Maksudnya: Barang siapa yang meyakini akan sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) sehingga menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah. [HR: Tabarani]

  1. Jauh daripada unsur-unsur tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada sebahagian para isteri Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda:

‌مَنْ ‌أَتَى ‌عَرَّافًا ‌فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: Barang siapa yang datang kepada seorang peramal (tukang tilik) lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam. [HR: Muslim]

Begitu juga, hadis yang diriwayatkan saidina Abu Hurairah RA dan Hasan RA bahawa Rasullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌أَتَى ‌كَاهِنًا ‌أَوْ ‌عَرَّافًا ‌فَصَدَّقَهُ ‌بِمَا ‌يَقُولُ ‌فَقَدْ ‌كَفَرَ ‌بِمَا ‌أُنْزِلَ ‌عَلَى ‌مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Barang siapa bertemu kepada seorang kahin (tukang tilik atau tenung), lalu ia mempercayai apa yang dikhabarkannya, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapnya apa yang diturunkan kepada Muhammad (iaitu agama Islam). [HR: Ahmad]

04
Sumber imej: https://images.unsplash.com/

Definisi Khurafat

Manakala khurafat pula (الخُرَافَةُ) berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi Keempat merupakan suatu kepercayaan yang karut, dongeng, dan tahayul. Ia pada asalnya merupakan kata pinjaman yang diambil dari bahasa Arab. Justeru, terdapat beberapa makna yang diberikan dari takrifan bahasa Arab, antaranya; 

  • Menurut kamus al-Mu’jam al-Wasit mentakrifkan khurafat sebagai:

والْحَدِيث المستملح المكذوب

Maksudnya: Cerita-cerita yang mempesonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta. [Al-Mu’jam al-Wasī]

  • Menurut kamus Lughah al-Fuqaha:

‌الخرافة: ج خرافات، الكلام الذي لا صحة له

Maksudnya: al-Khurafat, jamaknya khurafāt ialah sebarang ucapan yang tiada kesahihan padanya. [Mu’jam Lughah al-Fuqahā’]

  • Menurut kamus al-Munjid fi al-Lughah wa al-‘Alam:

الخرافة ج حرافات: الحديث الباطل مطلقا

Maksudnya: al-Khurafah, jamaknya khurafat, iaitu sebarang cerita-cerita yang dusta. [Luis Ma’luf – Al-Munjid fī al-Lughah wa ‘Alām]

  • Menurut Kamus Al-Marbawi pula, khurafat ialah: cerita karut, karut marut. [Kamus Idris Marbawi (Arab-Melayu)]

Justeru, melalui makna-makna yang telah dinyatakan sebelum ini dapat disimpulkan bahawa khurafat merujuk kepada kepercayaan atau amalan yang tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam serta sering dikaitkan dengan kepercayaan karut, tahyul dan mitos yang bertentangan dengan akidah Islam yang murni.

05
Sumber imej: liputan6.com

Ciri-ciri Khurafat 

Antara cara untuk mengenal pasti khurafat yang salah di sisi Islam perlu mengetahuinya ciri-ciri yang ada padanya. Antara ciri-ciri khurafat yang telah dinyatakan dalam garis panduan Khurafat dan Azimat ialah:

  1. Tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada Al-Quran atau Hadith.
  2. Merupakan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.

iii.  Bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.

  1. Berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan yang memudaratkan dan menyeleweng dari akidah Islam.
  2. Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu.
  3. Mempunyai unsur-unsur negatif pada akidah dan syariah Islam. [Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)]
06
Sumber imej: https://umsu.ac.id/

Bentuk-Bentuk Khurafat

Antara bentuk khurafat menurut Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ialah:

  1. Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat dan sebagainya;
  2. Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya;
  3. Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat memuja pantai dan sebagainya;
  4. Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan oleh petani-petani seperti bersemah (memuja semangat padi) dan membuang ancak di sungai dan laut serta bermain pantai;
  5. Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang seperti tidak boleh melihatkan bayi di muka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi takut mendapat sial atau bala dan sebagainya;
  6. Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu;
  7. Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali dan sebagainya. [Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)]

Amalan khurafat sangat berbeza dengan pengalaman petua dan pantang larang mengikut syariat Islam. Khurafat adalah dilarang keras dan dianggap sebagai dosa besar lebih-lebih lagi ia boleh membawa seseorang itu terkeluar dari agama Islam. Hal ini kerana amalan khurafat dikategorikan sebagai perbuatan syirik oleh kerana keyakinan dan kepercayaan si pengamal itu bergantung kepada selain dari Allah SWT dalam memberi kebaikan dan menghindarkan kemudaratan. Islam amat mementingkan soal akidah dan syariah yang absah dalam kehidupan sebagai hamba Allah SWT. Oleh demikian, sandaran utama dalam agama seperti al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas menjadi neraca bagi segala amalan dan kepercayaan itu sama ada diterima ataupun ditolak oleh Islam.

Hadis yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin Saidatina ‘Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌أَحْدَثَ ‌فِي ‌أَمْرِنَا ‌هَذَا ‌مَا ‌لَيْسَ ‌مِنْهُ ‌فَهُوَ ‌رَدٌّ

Maksudnya: Barangsiapa mengada-adakan dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakanya itu adalah tertolak. [HR : Muslim]

Al-Qurtubi dalam Al-Mufhim Li mā Usykila min Talkhīs Kitāb Muslim menyebut secara umumnya, hadis ini menegaskan bahawa segala bentuk amalan atau ajaran yang tidak mempunyai asas dalam al-Quran, hadis atau sumber-sumber yang sahih adalah ditolak dan tidak boleh dijadikan pegangan. Justeru, amalan khurafat tergolong dalam perkara yang tiada asas kerana ia merupakan amalan bidaah yang bercanggah sama sekali dalam syariat Islam.

Pegangan utama dari sudut akidah Islam adalah beriman bahawa Allah SWT sahaja yang dapat memberi manfaat dan menolak kemudaratan dan tiada selainnya yang mengambil tugas tersebut. Oleh itu, mempercayai bahawa objek seperti pokok, kubur, telaga dan seumpamanya mempunyai kekuatan keramat serta melakukan pemujaan, memohon bantuan atau bernazar kepada objek-objek tersebut dengan meyakini ia memiliki kuasa selain daripada Allah SWT, adalah perbuatan yang membawa kepada syirik kerana ianya bertentangan dengan prinsip tauhid kepada Allah SWT.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Saidina Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌الطِّيَرَةُ ‌شِرْكٌ، ‌الطِّيَرَةُ ‌شِرْكٌ ثَلَاثًا وَمَا مِنَّا إِلَّا، وَلَكِنَّ اللهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ

Maksudnya: Percaya kepada burung itu syirik, percaya kepada burung itu syirik sebanyak tiga kali dan setiap orang pasti (pernah terlintas dalam hatinya sesuatu dari hal ini). Hanya saja Allah menghilangkannya dengan tawakkal kepadaNya. [HR : Abu Daud]

Tuntasnya, khurafat merupakan salah satu perbuatan syirik kerana mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Jika seseorang meyakini perbuatan khurafat tertentu, seperti mempercayai bahawa sesuatu objek atau amalan mempunyai kuasa tersendiri untuk mendatangkan manfaat atau mudarat selain daripada izin Allah, ia boleh membawa kepada perbuatan syirik. Syirik adalah dosa yang paling besar dalam Islam dan tidak diampunkan jika seseorang meninggal dunia dalam keadaan berbuat syirik. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar. (al-Nisa : 48)

Begitu juga, syirik merupakan antara dosa besar yang paling besar. Oleh itu, terdapat hadis yang menyatakan perkara tersebut sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌أَكْبَرُ ‌الْكَبَائِرِ: ‌الْإِشْرَاكُ ‌بِاللهِ

Maksudnya: Dosa yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.  [HR : Bukhari]

Kesimpulan

Petua merujuk kepada nasihat atau amalan yang diwariskan dari generasi ke generasi, sering kali berasaskan pengalaman hidup atau pemerhatian keadaan sekeliling yang mempengaruhi kewujudannya. Petua-petua ini kebiasaannya berkaitan dengan kesihatan, kecantikan, pertanian atau kehidupan harian dan masih diamalkan oleh ramai orang Islam sehingga hari ini. Islam tidak menghalang bagi penganutnya untuk mengamalkan sebarang amalan petua dan pantang larang yang memberikan kebaikan kepada si pengamal itu. Namun begitu, ia perlulah diperhalusi terlebih dahulu dengan benar mengikut penetapan akidah dan hukum syarak yang sahih.  Sebaliknya, khurafat merujuk kepada kepercayaan atau amalan yang tidak mempunyai asas agama dan dianggap sebagai sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Oleh itu, mereka yang mengamalkan serta mempunyai kepercayaan terhadap perbuatan khurafat ini telah melakukan syirik kepada Allah SWT.

petua2
Sumber imej: https://images.unsplash.com/
POSTER ARTIKEL04

Double Jeopardy

Pengenalan Dalam sistem perundangan, prinsip Double Jeopardy merujuk kepada larangan...

Baca Lagi
POSTER ARTIKEL22

NIKAH MISYAR

Pendahuluan Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor