PENGUATKUASAAN PERINTAH MAHKAMAH : SOLUSI BAPA CULAS NAFKAH ANAK
PENGUATKUASAAN PERINTAH MAHKAMAH : SOLUSI BAPA CULAS NAFKAH ANAK
Setiap perhubungan dalam institusi kekeluargaan akan melibatkan tanggungjawab dan hak.
Begitu juga tanggungjawab seorang bapa terhadap anak-anak, antaranya adalah memberi nafkah kepada anak-anak manakala anak-anak pula berhak mendapat nafkah yang sepatutnya dari bapa kandungnya.
Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya.
Islam mewajibkan nafkah anak dan nafkah isteri kepada lelaki yang bergelar bapa atau suami berdasarkan dalil pensyariatan dalam surah an-Nisa ayat 34:
Maksudnya: “laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahgian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dan hartanya.”
Berdasarkan kepada Bahagian VI, Nafkah Isteri,Anak Dan Lain-lain Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pula, adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
Hal ini jelas menunjukkan nafkah anak adalah di bawah tanggungjawab bapa melainkan bapa kepada anak tersebut telah meninggal dunia atau hilang keupayaan, maka tanggungan membayar nafkah berpindah mengikut susunan tertib wali.
Nafkah ini bukanlah bertujuan untuk bermewah-mewah tetapi cukup sekadar memenuhi keperluan harian bagi kelangsungan hidup anak-anak.
Pada kebiasaannya, jika seseorang suami atau bapa telah memenuhi perbelanjaan keperluan harian anak-anak, si isteri atau ibu kepada anak-anak tersebut tidak mendesak untuk diberikan kemewahan melebihi daripada kemampuan seorang suami atau bapa.
Berbanding dengan suami atau bapa yang sengaja cuai menjalankan tanggungjawab mereka terhadap perbelanjaan anak-anak, maka perbalahan akan sentiasa berlaku dalam rumah tangga sehingga menyebabkan emosi dan pembelajaran anak-anak terganggu.
Sekiranya kecuaian nafkah anak ini masih berlaku, penyelesaian boleh diambil menerusi jalan perundangan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia khususnya di Negeri Selangor yang telah menyediakan beberapa solusi bagi memberikan pengajaran kepada seorang suami atau bapa yang telah cuai atau culas dalam menyediakan nafkah anak-anak.
Antaranya adalah pelaksanaan potongan gaji suami atau bapa melalui perintah tahanan pendapatan tenaga di bawah Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968, bagi tujuan pembayaran nafkah semasa atau tunggakan nafkah anak.
Potongan gaji ini adalah solusi terbaik bagi menjamin hak nafkah anak-anak tersebut dibayar pada setiap bulan tanpa gagal.
Ketika dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH 370 pada 8...
Isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. atau...
Kemajuan teknologi telah merubah cara manusia berkomunikasi. Jika dahulu, interaksi...
Sumber imej: https://medium.com/ Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini...
Sumber imej: https://www.ppsignature.com/ Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah...