NIKAH MISYAR

NIKAH MISYAR

Pendahuluan

Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan melalui jalan pernikahan. Tambahan pula, ia adalah ibadah yang dianjurkan dalam Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. ( ar-Rum : 21 )

22 01
Sumber imej: murai.my/

Di samping itu, pernikahan merupakan sunnah Rasulullah SAW dan terdapat galakkan menyempurnakannya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَزَوَّجَ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ الْإِيمَانِ، ‌فَلْيَتَّقِ ‌اللَّهَ ‌فِي ‌النِّصْفِ ‌الْبَاقِي

Maksudnya: Barangsiapa yang berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki. (HR : Tabarani)

Justeru, seseorang hamba dianjurkan bernikah kerana ia adalah sebagai pelengkap sebahagian agama dan juga fitrah dalam mewujudkan institusi kekeluargaan demi mencapai keredhaan Allah SWT. Namun begitu, mutakhir ini berlaku satu konsep pernikahan yang jarang diketahui secara umum akan tetapi ia kelihatan mula menjadi amalan bagi sebahagian masyarakat iaitu nikah misyar. Oleh itu, artikel ini akan mengulas sedikit sebanyak berkenaan hukum nikah misyar.

22 02 b
Sumber imej: ai image genetor

Definisi Nikah Misyar dan Konsepnya

Nikah misyar adalah satu bentuk perkahwinan yang semakin mendapat perhatian kebelakangan ini. Istilah “misyar” berasal daripada perkataan Arab (السير) yang bermaksud perjalanan atau laluan. Di dalam Lisan al-Arabi, Ibn Manzur menyatakan bahawa kalimah (السير) membawa makna seseorang itu berjalan apabila dia pergi ke sesuatu tempat.

Nikah misyar merujuk kepada perkahwinan yang memenuhi semua syarat-syarat dan rukun perkahwinan dalam Islam, seperti adanya wali, saksi, ijab dan kabul, serta mahar sebagaimana pernikahan biasa. Namun begitu perbezaannya adalah ia dilakukan dalam keadaan di mana salah seorang pasangan, lazimnya isteri melepaskan hak-hak tertentu seperti hak tempat tinggal bersama, nafkah, atau giliran bermalam.

22 04
Sumber imej: www.utusan.com.my

Secara amnya, nikah misyar dilakukan dengan tujuan untuk memenuhi keperluan individu yang menginginkan hubungan sah di sisi agama tetapi pada masa yang sama tidak bersedia untuk menunaikan tanggungjawab perkahwinan secara menyeluruh terutamanya daripada sudut penyediaan nafkah seperti tempat tinggal, kewangan dan lain-lain. Sebagai contoh, seorang lelaki yang terlalu sibuk dengan kerjayanya mungkin tidak dapat tinggal bersama isterinya setiap hari, atau seorang wanita yang sudah mempunyai kerjaya yang stabil tidak memerlukan nafkah daripada suaminya. Justeru mereka menganggap bahawa pernikahan sebegini adalah sebagai solusi yang tuntas dalam memenuhi kehendak mereka.

Faktor yang menyebabkan berlaku Nikah Misyar

Faktor utama nikah misyar yang wujud pada masa kini adalah kerana terdapat kepentingan bagi sesetengah individu mendirikan pernikahan kedua secara sembunyi tanpa pengetahuan isteri pertama. Malah terdapat sebilangan wanita berkeinginan menjadi isteri kedua dan bersedia mengorbankan hak-hak tertentu seperti tempat tinggal, nafkah, atau giliran bermalam demi berkahwin dengan lelaki yang sudah beristeri. Namun, situasi ini sering kali menimbulkan rasa tidak puas hati selepas beberapa waktu, kerana mereka merasa seperti berada dalam kedudukan yang tidak adil.

22 05 d
Sumber imej: www.kosmo.com.my

Hukum Nikah Misyar

Nikah Misyar adalah sah daripada sudut hukum sekiranya semua rukun dan syaratnya dipenuhi. Namun begitu, pernikahan sebegini tidak dianjurkan kerana wujud pengabaian hak-hak perkahwinan antara suami dan isteri sekalipun terdapat persetujuan daripada kedua-dua pihak untuk melepaskan hak-hak tertentu. Meskipun isteri rela melepaskan beberapa haknya seperti nafkah dan sebagainya namun ia tidak menafikan peranan seorang suami agar tetap menyempurnakan pemberian nafkah kepada isteri dan keluarga serta perhatian kepada mereka  kerana ia adalah kewajipan yang mesti ditunaikan. (Mushaddad Hasbullah et. al, Perkahwinan Misyar: Kajian Dari Perspektif Syariah, Malaysian Journal of Shariah and Law,  Vol. 8, No. 2, Disember 2018)

Maqasid perkahwinan yang sebenar adalah membina keluarga yang berlandaskan ajaran Islam, melahirkan generasi yang soleh dan berkualiti serta memelihara maruah diri dan berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Di samping itu, hubungan perkahwinan yang terjalin bukan sekadar hubungan fizikal untuk memenuhi keinginan syahwat semata-mata. Sebaliknya, ia harus diasaskan kepada keserasian pemikiran, jiwa, dan perasaan sesama pasangan malah kehidupan rumahtangga yang dibina perlu diurus secara bersama dengan penuh tanggungjawab. Sesungguhnya Islam mengangkat peranan seorang suami agar berkelakuan baik dan bertanggungjawab terhadap pasangan dan ahli keluarga. Hal ini kerana terdapat hadis yang menganjurkan perilaku tersebut sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku. [HR : Ibn Majah]

Oleh itu, dengan membenarkan lelaki melepaskan tanggungjawab tertentu, nikah misyar mungkin memberi ruang kepada ketidakadilan dan penyalahgunaan dalam perkahwinan.

Impak Negatif Nikah Misyar terhadap sosial kekeluargaan

Nikah misyar boleh menyebabkan kelemahan dalam institusi keluarga dan masyarakat. Perkahwinan dalam Islam bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan fizikal dan emosi pasangan, tetapi maqasid utamanya adalah untuk menegakkan institusi keluarga yang kukuh, di mana anak-anak mendapat perlindungan, pendidikan, dan bimbingan. Berbeza dengan keadaan nikah misyar yang tidak mengimplementasikan konsep maqasid perkahwinan yang perlu dijaga sebaiknya.

22 07
Sumber imej: www.kashoorga.com

Dari sudut psikologi pula, nikah misyar juga boleh memberi kesan negatif kepada isteri, terutamanya jika suami tidak memenuhi janji-janjinya atau jika isteri merasa diabaikan secara emosi. Meskipun isteri mungkin secara sukarela melepaskan hak-haknya pada awal perkahwinan, keadaan ini boleh berubah dari masa ke masa apabila dia mula merasakan keperluan untuk perhatian dan komitmen yang lebih mendalam daripada suami.

Selain itu, zuriat yang dilahirkan melalui nikah misyar mungkin mengalami kesukaran dalam mendapatkan perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya daripada salah seorang ibu bapa, terutama jika suami tidak tinggal serumah atau tidak terlibat aktif dalam kehidupan harian anak. Apabila suami tidak terlibat secara aktif dalam kehidupan anak-anak, maka ia boleh menyebabkan kekurangan bimbingan dan perhatian daripada aspek emosi, moral, dan keagamaan. Malah kesannya juga mungkin memberi kesan kepada perkembangan psikologi dan sosial anak.

Tidak ketinggalan juga, pernikahan secara ini berpotensi menguntungkan sebelah pihak terutamanya suami kerana wujud individu yang mungkin menggunakan konsep nikah misyar sebagai alasan untuk mengelak tanggungjawab atau menyalahgunakannya demi kepentingan peribadi seperti mengaut keuntungan harta milik isteri dan sebagainya. Ini juga termasuk mengabaikan hak isteri atau mengelak pemberian nafkah yang sepatutnya diberikan secara penuh dan bertanggungjawab.

Kesimpulan

Nikah misyar adalah satu konsep perkahwinan yang menggugurkan hak-hak pasangan melalui kesepakatan bersama antara suami dan isteri. Meskipun pernikahan ini adalah sah di sisi syarak, namun ia tidak dianjurkan kerana pernikahan ini berpotensi menimbulkan pelbagai masalah yang boleh menggugat keharmonian rumahtangga. Hal ini kerana, nikah misyar ini mampu melemahkan asas-asas perkahwinan Islam yang mengutamakan hubungan kekeluargaan yang erat, perlindungan hak wanita, dan keadilan dalam institusi rumah tangga.

22 06
Sumber imej: https://www.dagangnews.com/
POSTER ARTIKEL22

NIKAH MISYAR

Pendahuluan Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor