Mimpi Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail AS
Mimpi Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail AS
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡيَ قَالَ يَٰبُنَيَّ إِنِّيٓ أَرَىٰ فِي ٱلۡمَنَامِ أَنِّيٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ يَٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِيٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّٰبِرِينَ
Maksudnya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; In sya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saffat: 102)
Ibnu Abu Hatim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mimpi para nabi itu merupakan wahyu”.

Nabi Ibrahim AS menyampaikan mimpinya kepada putranya agar ia tidak terkejut dengan perintah tersebut, serta untuk menguji kesabaran, keteguhan, dan keyakinannya dalam ketaatan kepada Allah SWT dan bakti kepada orang tuanya sejak usia muda.
Ketakwaan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang tergambar dalam surat As-Saffat ayat 102 merupakan teladan luhur yang mengandung berbagai pelajaran penting tentang keimanan, ketundukan, dan keikhlasan kepada Allah SWT. Ayat-ayat ini mengisahkan ketika Nabi Ibrahim AS mendapat perintah dalam mimpinya untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, sebagai ujian dari Allah SWT. Sebagai seorang hamba yang senantiasa taat, Nabi Ibrahim AS menerima perintah tersebut dengan penuh keyakinan, meskipun hal ini sangat berat baginya. Ia menanyakan pendapat Nabi Ismail AS, tidak kerana ragu, tetapi sebagai bentuk penghormatan kepada anaknya serta ujian bagi keikhlasan Nabi Ismail AS sendiri. Dialog yang terjadi di antara mereka merupakan gambaran bagaimana ketakwaan dibangun melalui kepercayaan penuh pada ketetapan Allah SWT. Hal tersebut sesuai yang dijelaskan oleh Ibn Katsir, “Nabi Ibrahim AS menyampaikan mimpinya kepada putranya agar ia tidak terkejut dengan perintah tersebut, serta untuk menguji kesabaran, keteguhan, dan keyakinannya dalam ketaatan kepada Allah SWT dan baktinya kepada orang tuanya sejak usia dini” (Ibn Katsir).

Sikap Nabi Ismail AS terhadap perintah Allah SWT, sebagaimana yang disampaikan oleh ayahnya, menunjukkan ketundukan yang luar biasa kepada kehendakNya. Nabi Ismail AS tidak menolak, bahkan mendukung ayahnya untuk melaksanakan perintah tersebut dengan sepenuh hati. Jawaban Nabi Ismail AS bahawa ia akan bersabar adalah cermin ketaatan seorang anak yang memahami bahawa ujian dari Allah SWT adalah kesempatan untuk membuktikan keimanan. Dengan keimanan yang kuat, Nabi Ismail AS menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah SWT, sehingga lahir sifat tawakal dan kesabaran yang tinggi.
Ketundukan ini mengajarkan bahawa ketakwaan sejati tercermin dalam penerimaan tanpa syarat terhadap segala ketetapan Allah SWT, meski penuh risiko dan pengorbanan. Pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS adalah bentuk ketakwaan yang berlandaskan keyakinan terhadap hikmah Allah SWT. Mereka memahami bahawa perintah Allah SWT mengandungi tujuan mulia. Ketika Nabi Ibrahim AS membaringkan Nabi Ismail AS untuk melaksanakan perintah tersebut, ia melakukannya dengan keikhlasan tanpa menyimpan rasa keberatan. Nabi Ibrahim AS rela mengorbankan sesuatu yang sangat berharga baginya sebagai bukti ketundukan kepada Allah SWT. Yang tergambarkan dalam firmanNya:
فَلَمَّآ أَسۡلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلۡجَبِينِ
Maksudnya: “Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya)”. (As-Saffat: 103)
Dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim Ibn Katsir menjelaskan, setelah keduanya mengucapkan syahadah dan menyebut nama Allah SWT untuk melaksanakan penyembelihan, ini bererti mereka menyerahkan diri dan patuh kepada kehendak Allah SWT. Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS menjalankan perintah tersebut sebagai bentuk ketaatan dan kepatuhan, serta sebagai wujud bakti Nabi Ismail AS kepada ayahnya. Menurut pandangan para ahli tafsir seperti Mujahid, Ikrimah, Qatadah, As-Saddi, dan Ibnu Ishaq, makna ini mencerminkan sikap pasrah dan tunduk yang mereka miliki dalam menjalankan perintah Allah (Ibn Katsir). Sikap ini mengajarkan bahawa dalam ketakwaan, seseorang harus siap berkorban demi menjalankan perintah Allah SWT dan tidak membiarkan kecintaan duniawi menghalangi ketaatan kepadaNya.

Pada akhirnya, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor sembelihan sebagai bentuk penghargaan atas keimanan dan pengorbanan mereka. Allah SWT menyatakan bahawa Nabi Ibrahim AS telah membenarkan mimpinya dan lulus dari ujian ketakwaan. Dalam kisah ini, kita belajar bahawa ketakwaan tidak selalu berakhir pada pengorbanan fisik, tetapi seringkali dimaksudkan sebagai pengorbanan hati untuk melepaskan keinginan duniawi demi mengutamakan perintahNya.
Kesimpulannya, sebagai seorang Muslim wajib untuk kita percaya bahawa mimpi seorang Nabi itu adalah wahyu dari Allah SWT, bukanlah mempercayai dakwaaan dari individu dan kelompok yang menyatakan bahawa mimpi Nabi Ibrahim AS tersebut adalah dari Iblis. Justeru itu berpeganglah dengan Al-Quran dan Sunnah dengan mendahulukan wahyu sebelum akal. Urusan mentakwil mimpi ini juga boleh dikaitkan dengan mimpi Nabi Yusuf AS, ini sekaligus menguatkan hujah bahawa mimpi para Nabi adalah sebahagian dari jalan wahyu.