MIMPI DAN KEDUDUKANNYA DI SISI ISLAM
MIMPI DAN KEDUDUKANNYA DI SISI ISLAM
Ketika dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH 370 pada 8 Mac 2014, terdapat perawat Islam mendakwa bermimpi lokasi pesawat tersebut. Pada Ogos 2021, gempar pula dakwaan oleh seorang wanita yang mengaku bermimpi Perang Dunia Ketiga akan bermula di Sabah. Ini adalah antara 2 contoh penyelewengan dalam mentafsir mimpi sehingga menimbulkan implikasi negatif kepada masyarakat.
Al-Quran menyentuh tentang fenomena mimpi ini melalui beberapa ayat dan kisah berkaitan dengannya. Disebalik kebenaran wujudnya mimpi dan tafsirnya, timbul satu isu iaitu masalah penyelewengan dan kesalahan mentafsir mimpi. Isu ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat, bahkan boleh menyebabkan terjejasnya akidah terutama apabila ianya dijadikan instrumen untuk menilik dan meramal. Justeru, adakah mimpi mempunyai kategori dan sejauh mana ianya boleh dipercayai?
Bentuk-bentuk Mimpi
Berkenaan bentuk mimpi, Rasulullah SAW bersabda:
الرُؤْيَا ثَلَاثَةٌ، فَرُؤْيَا صَالِحَة بُشْرَى مِنَ اللهِ، وَرُؤْيَا تَحْزِين مِنَ الشَّيْطَانِ، وَرُؤْيَا مِمَّا يَحْدُثُ المَرْءُ نَفْسَهُ،
فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُكْرِهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلَا يَحْدُثُ بِهَا النَّاسَ
Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga bentuk. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira dari Allah SWT. Mimpi yang menyedihkan itu dari syaitan. Dan mimpi yang disebabkan apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sesiapa bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.” [Muslim : 2263]
Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa mimpi itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
- Mimpi yang datang daripada Allah.
- Mimpi daripada syaitan.
- Mimpi yang berpunca dari apa yang dilalui atau difikirkan dalam kehidupan harian.
Dari ketiga-tiga jenis mimpi di atas, para ulama berpendapat bahawa hanya mimpi kategori pertama sahaja yang boleh ditafsirkan. Mimpi jenis ini dialami oleh para Nabi dan Rasul serta orang biasa seperti kita. Walau pun dalam kategori yang sama, namun kaedah mentafsir mimpi ini adalah berbeza.
- Mimpi para Nabi dan Rasul
Mimpi yang dialami oleh Nabi dan Rasul adalah jelas dan tidak perlu tafsiran. Ianya merupakan suatu bentuk wahyu. Sebagai contoh, Nabi Ibrahim a.s. yang bermimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail (Al-Saafat : 102) dan Nabi Muhammad SAW yang bermimpi memasuki kota Mekah dalam keadaan berihram (al-Fath : 27). - Mimpi manusia biasa
Mimpi seperti ini biasanya dalam bentuk gambaran atau misalan. Mimpi ini dialami oleh orang biasa dan menjadi satu panduan kepadanya. Sebagai contoh, ayat 43-49 surah Yusuf mengisahkan raja Mesir yang bermimpi melihat 7 ekor lembu gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu kurus, 7 tangkai gandum hijau dan 7 tangkai gandum kering. Mimpi tersebut perlu ditafsirkan oleh ahlinya kerana mustahil haiwan omnivor seperti lembu akan memakan lembu yang lain di alam nyata.
Syarat Pentafsir Mimpi
Apabila raja Mesir menceritakan mimpinya kepada pembesar, mereka mengatakan mimpi raja itu mimpi karut (أَضغاثُ أَحلامٍ). Tetapi apabila diceritakan kepada Nabi Yusuf yang mempunyai ilmu tentangnya, maka mimpi itu merupakan satu perkhabaran yang menyelamatkan masa depan rakyat Mesir. Oleh itu, untuk mentafsir mimpi, bukan sebarang orang boleh melakukannya. Beliau perlu mempunyai sifat dan kriteria khusus sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran:
- Telah mencapai darjat Muhsinin
Penafsir mimpi mestilah seorang yang amanah, jujur dan ikhlas. Ini adalah berdasarkan firman Allah tentang kisah 2 pemuda yang meminta Nabi Yusuf mentafsir mimpi mereka ;
إِنّا نَراكَ مِنَ المُحسِنينَ
“kami dapati kamu (wahai Yusuf) dari golongan yang berbuat ihsan.” (Yusuf : 36)
- Bersifat benar
Penafsir mimpi mestilah seorang bersifat benar pada perbuatan, percakapan dan niat. Ini adalah berdasarkan firman Allah (tatkala raja Mesir berkata);
يوسُفُ أَيُّهَا الصِّدّيقُ
“Wahai Yusuf seorang yang sangat benar (dalam segala urusan).” (Yusuf : 46)
- Meneliti dan Memahami keadaan seseorang yang minta tafsir mimpi
Penafsir mimpi mestilah seorang yang bijak dan teliti dalam memberikan tafsiran tentang sesuatu mimpi. Beliau tidak boleh secara semberono mentafsir mimpi tanpa mengetahui latar belakang seseorang atau suasana sekeliling. Ini adalah berdasarkan penggunaan perkataan “نَبِّئنا” dalam ayat 36 surah Yusuf yang merujuk kepada 2 pemuda (rakyat biasa) yang bertanya tentang nasib diri mereka. Manakala perkataan yang digunakan oleh raja pula ialah “أَفتِنا” atau “berilah panduan (fatwa) kepada kami” dalam surah Yusuf ayat 46 merujuk kepada kedudukan raja yang bertindak untuk kemaslahatan rakyat.
Untuk menjelaskan perkara ini, kisah yang berlaku antara pentafsir mimpi yang paling mashyur dalam Islam ialah Sheikh Muhammad bin Sirin dan Sheikh Hasan Al-Basri adalah contoh yang baik. Suatu malam, Sheikh Hasan al-Basri bermimpi beliau berada di kandang haiwan dalam keadaan bertelanjang sambil memegang tongkat. Oleh kerana beliau ada sedikit konflik dengan Ibnu Sirin, maka beliau menyuruh muridnya bertanyakan apakah tafsir mimpinya kepada Ibnu Sirin. Setelah murid itu menceritakan mimpi itu, Ibnu Sirin terus berkata bahawa murid itu tidak layak memperolehi mimpi sebegitu. Beliau lantas menyuruh murid agar memberitahu tuan punya mimpi itu untuk datang sendiri bertemu dengannya. Akhirnya, Sheikh Hasan al-Basri terpaksa datang dan menceritakan mimpinya. Ibnu Sirin menafsirkan bahawa kandang haiwan itu adalah merujuk kepada dunia yang kotor, keadaan telanjang itu pula merujuk kepada Sheikh Hasan yang telah membuang segala keinginan terhadap dunia yang kotor, manakala tongkat itu pula sebagai tanda bahawa Sheikh Hasan merupakan penunjuk jalan benar dan penyelamat umat. Ibnu Sirin menyatakan tiada orang yang layak mendapat mimpi sedemikian melainkan orang yang soleh seperti Hasan al-Basri.
- Tafsir mimpi perlu selari dengan Al-Quran atau Al-Hadis
Allah SWT berfirman:
فَإِن تَنازَعتُم في شَيءٍ فَرُدّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسولِ إِن كُنتُم تُؤمِنونَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ ذٰلِكَ خَيرٌ وَأَحسَنُ تَأويلًا
“Sekiranya kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan mengandungi panduan yang terbaik.” (An-Nisa’ : 59)
Dalam menafsir mimpi, sebaik-baik rujukan ialah al-Quran dan hadis Nabi SAW. Ini antara perkara yang dilakukan oleh Sheikh Ibnu Sirin. Suatu hari, beliau telah didatangi oleh 2 orang lelaki yang bermimpi perkara yang sama iaitu mereka mendengar suara azan. Ibnu Sirin menyatakan bahawa lelaki pertama itu bakal menunaikan ibadah Haji manakala lelaki kedua itu akan difitnah sebagai pencuri. Setelah keduanya beredar, murid-muridnya bertanya kenapa mimpi sama tapi tafsirnya berbeza. Maka Ibnu Sirin menyatakan bahawa lelaki pertama adalah seorang yang soleh dan berakhlak baik. Maka sesuai keadaannya dengan mimpinya dengan firman Allah SWT :
وَأَذِّن فِي النّاسِ بِالحَجِّ يَأتوكَ رِجالًا
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki…” (Al-hajj :27)
Manakala lelaki kedua pula seorang yang fasik dan berakhlak buruk. Maka sesuai keadaannya dengan mimpinya berdasarkan firman Allah SWT ;
ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا العيرُ إِنَّكُم لَسارِقونَ
Kemudian menyeru seorang penyeru:” Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri “. (Yusuf : 70)
Tipudaya syaitan dalam mimpi
Mimpi adalah satu perkhabaran ghaib yang perlu diteliti dan diperhalusi. Syaitan suka mengambil peluang atas perkara ghaib untuk menipu daya manusia. Antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam bab tafsir mimpi ialah:
- Mimpi tidak boleh dijadikan sandaran hukum syara. Ia hanya boleh dijadikan sebagai panduan dalam membuat sesuatu keputusan.
- Ilmu yang diterima melalui mimpi khususnya ilmu perubatan dan kerohanian tidak boleh diamalkan melainkan setelah diminta pandangan dan pengesahan dari orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ini. Tanpa bimbingan dari seorang guru, orang ini akan terperangkap dalam tipudaya syaitan yang dikenali sebagai istidraj.
- Mimpi buruk adalah gangguan syaitan, namun ia bukanlah tanda muktamad terkena buatan orang. Boleh jadi ia berlaku kerana seseorang itu ada beramal dengan amalan salah seperti memakai tangkal azimat, mengamalkan ilmu khurafat, menyimpan barang berpuja atau mewarisinya dari keturunan.
Kesimpulan
Mimpi merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah. Jika ingin ditafsirkan, seseorang perlu ada kebijaksanaan dan ilmu yang mendalam, serta tidak boleh disalahgunakan.
Ketika dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH 370 pada 8...
Isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. atau...
Kemajuan teknologi telah merubah cara manusia berkomunikasi. Jika dahulu, interaksi...
Sumber imej: https://medium.com/ Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini...
Sumber imej: https://www.ppsignature.com/ Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah...