Kultus Agama
Kultus Agama
Definisi kultus menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka merujuk kepada sistem pemujaan dalam upacara keagamaan. Namun sekiranya kultus tersebut dikaitkan dengan agama ia membawa dimensi makna yang berbeza, iaitu fenomena di mana individu atau kumpulan memberikan pemujaan berlebihan kepada pemimpin, ajaran, atau organisasi tertentu sehingga menyebabkan penyimpangan daripada prinsip agama sebenar. Di dalam konteks ini, ayat Allah SWT dalam surah al-Ikhlas merupakan sebuah penegasan bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah SWT:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
Fenomena pengkultusan agama telah berlaku dalam pelbagai budaya dan tradisi agama, dan masyarakat Islam juga tidak terlepas dari pengaruh ini. Ia sering berlaku apabila seseorang atau kumpulan disanjung secara melampau sehingga dianggap maksum atau memiliki kuasa luar biasa. Fenomena ini bolehmembawa kepada penyelewengan akidah, perpecahan sosial, dan kemusnahan nilai-nilai murniagama.
Punca Kultus Agama
Pengkultusan agama tidak berlaku secara tiba-tiba melainkan ia adalah sebuah proses yang panjang untuk menanamkan benih-benih ketaksuban ke dalam diri masyarakat. Dan fenomena ini terus berkembang melalui gabungan beberapa faktor seperti sosial, psikologi, dan agama yang mudah untuk mempengaruhi pengikutnya. Berikut adalah lima faktor yang menjadi pemicu kepada pengkultusan agama dalam kalangan masyarakat:
1. Pemimpin berkarisma Pemimpin seperti ini sering dianggap ‘istimewa’ atau memiliki kuasa luar biasa, menjadikan pengikut terlalu bergantung kepada mereka. Pemimpin yang memiliki karisma sering menggunakan sifat tersebut untuk membentuk kultus pemujaan di sekeliling mereka, dengan mendakwa mereka memiliki kelebihan spiritual atau pengetahuan rahsia.
2. Kurang ilmu dan fahaman agama Ramai pengikut kultus datang dari latar belakang yang kurang mendalami ajaran agama sebenar. Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan mereka mudah menerima ajaran yang menyimpang tanpa mempertikaikannya. Individu yang kurang memahami prinsip tauhid dan ajaran Islam sebenar mudah terpengaruh dengan pemimpin yang menonjolkan diri sebagai istimewa atau pilihanTuhan.
3. Tekanan hidup Situasi ketidakstabilan ekonomi, sosial, atau politik menjadikan individu mudah terdedah kepada pengaruh kultus. Jim Jones, misalnya, menawarkan komuniti yang ‘selamat’ dan ‘adil’ kepada pengikutnya yang terdesak mencari kestabilan hidup.
4. Manipulasi emosi dan ketakutan Pengikut sering dipaksa percaya bahawa meninggalkan kumpulan akan membawa kepada kecelakaan atau kemusnahan. Pemimpin kultus sering menggunakan manipulasi emosi, ancaman, atau janji-janji palsu untuk memastikan ketaatan mutlak pengikut
5. Pengasingan komuniti Pengasingan pengikut daripada dunia luar adalah strategi utama untuk memastikan mereka terus bergantung kepada kultus. Pengikut dilarang berinteraksi dengan individuluar atau menerima maklumat alternatif yang boleh mencabar pemikiran mereka.
Fenomena kultus agama ini berbahaya:
a. Taksub terhadap individu: Pengikut menganggap pemimpin mereka sebagai maksum dan tidak boleh dipersoalkan.
b. Menyeleweng daripada ajaran Islam: Ajaran yang dibawa boleh bercanggah dengan prinsip tauhid dalam Islam.
c. Eksploitasi pengikut: Ada kes di mana pemimpin ajaran sesat mengambil kesempatan dari segi kewangan, seksual, atau kuasa.
Ajaran Sesat
Menurut JAKIM, terdapat lebih 100 ajaran sesat yang telah dikenal pasti di Malaysia. Berikut adalah ciri-ciri ajaran sesat terkait kultus agama dan ajaran sesat di Malaysia:
Isu ajaran sesat yang sukar dibendung dan tumbuh semula setelah diambil tindakan berpunca daripada unsur-unsur pengkultusan yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan. Tindakan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menghapuskan akarnya iaitu pengkultusan yang mendewakan pemimpin agama melebihi tahap yang diajar di dalam al-Quran dan Sunnah sehingga akhirnya menjadikan akal mereka berfungsi dengan mengikut sahaja apa yang salah dan sesat.
Kesimpulannya, pengkultusan agama dan ajaran sesat boleh menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat Islam di Malaysia. Oleh itu, penting untuk masyarakat peka dan kembali berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah.