HAK WANITA VS HAK LELAKI
HAK WANITA VS HAK LELAKI
Pengenalan
Islam sebagai agama yang syumul (menyeluruh) dan sempurna telah mengatur kehidupan manusia dengan sistem yang berlandaskan kasih sayang, keseimbangan dan keadilan. Justeru, setiap insan diberikan oleh Islam hak yang setara, sama ada lelaki mahupun wanita yang mana keutamaan hak ini terkandung dalam Al-Quran, Sunnah dan Sirah Nabawiyyah. Konsep ini menekankan bahawa hak yang diperoleh oleh seseorang mesti diseimbangkan dengan kewajipan terhadap Allah SWT, dirinya dan masyarakat. Dengan pemahaman ini, Islam membawa visi keadilan yang bertujuan untuk mewujudkan keharmonian dan kedamaian dalam kehidupan.


Hak Wanita dan Lelaki
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat mendefinisikan hak sebagai kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain seperti tiap-tiap anak ada hak atas harta pusaka peninggalan bapanya.
Selain itu, hak dalam bahasa Arab mempunyai pelbagai makna yang berkisar kepada maksud ketetapan dan kewajipan. Adapun makna terminologinya, berdasarkan Dr. Mustafa al-Zarqa’, hak adalah suatu keistimewaan yang ditetapkan oleh syarak sama ada sebagai kuasa atau tanggungjawab. Menurut Prof. Dr. Wahbah bin Muṣṭafā al-Zuḥailī dalam kitabnya Al-Fiqh al-Islāmiy Wa Adillatuhu, definisi tersebut adalah baik kerana merangkumi pelbagai jenis hak agama, seperti hak Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya dalam bentuk solat, puasa dan seumpamanya serta hak-hak sivil seperti hak pemilikan dan lain-lain.

Justeru, terdapat hak-hak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT terhadap makhluk ciptaan-Nya yang bergelar insan sama ada lelaki atau perempuan. Berdasarkan firman Allah SWT;

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” (al-Nisa’ :124)
1.Hak Kemanusiaan
Sekiranya umat Islam menyelusuri sejarah sebelum kedatangan Islam, para wanita adalah hina dan diperlakukan begitu teruk oleh masyarakat ketika itu. Kaum lelaki menganggap bahawa kaum wanita ini sebagai alat untuk memuaskan nafsu mereka semata-mata dan diperlakukan seperti barangan jualan seolah-olah mereka tidak berhak untuk hidup. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran yang menjelaskan perihal buruk yang mereka lakukan terhadap wanita. Firman Allah SWT;

Maksudnya: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (al-Nahl : 58-59)
Justeru, kedatangan Islam melalui utusan junjungan besar Nabi Muhammad SAW membawa risalah mengangkat kedudukan wanita dengan menyamakannya dengan kaum lelaki di mana mereka juga diberikan peluang dan ruang dalam menjalani hidup sebagai makhluk Allah SWT di bumi. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan–Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”(al-Hujurat :13)
Imam al-Qurṭubī dalam Al-Jāmi’ li Aḥkām al-Qurān mengatakan dalam ayat ini, Allah SWT ingin menegur dan memberi panduan bahawa perbezaan yang dijadikan ukuran untuk meninggikan dan merendahkan darjat hamba–Nya hanyalah nilai pengabdian dan ketaqwaanya kepada Allah SWT bukan pangkat dan keturunan.
2.Hak Pendidikan
Kewajipan menuntut ilmu merupakan salah satu tuntutan Islam kepada setiap Muslim, lelaki dan wanita. Perkara ini juga ditegaskan oleh Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa salah satu kewajipan bagi seseorang Muslim itu adalah menuntut ilmu. Hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim. [HR: Ibn Majah]
Kewajipan ini menunjukkan bahawa tiada diskriminasi dalam pemberian hak pendidikan antara lelaki dan wanita dalam Islam. Malah seorang wanita juga sangat diberikan perhatian agar menimba ilmu dahulu sebelum mendirikan rumah tangga dan bergelar sebagai seorang ibu. Hal ini kerana sekiranya seorang ibu tidak mempunyai pengetahuan ilmu yang secukupnya untuk mendidik anak-anak, maka anak-anaknya akan lemah dalam pendidikan atau juga pembentukan sahsiah yang murni.

3.Hak Ekonomi
Secara keseluruhannya, Islam memberikan hak-hak ekonomi yang komprehensif kepada lelaki dan wanita, memastikan kedua-duanya dapat berperanan aktif dalam pembangunan ekonomi keluarga dan masyarakat. Prinsip keadilan dalam Islam memastikan bahawa hak-hak ini dilaksanakan dengan saksama, tanpa diskriminasi berdasarkan jantina.
Pada asalnya tugas mencari rezeki dan bekerja diletakkan di bahu seorang lelaki kerana tugas melindungi dan memberi nafkah adalah tanggungjawab mereka terhadap keluarga. Berdasarkan firman Allah SWT ;

Maksudnya:“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”(al-Nisa’ : 34)
Akan tetapi, Islam juga tidak melarang hak seorang wanita menceburi bidang pekerjaan bagi mencari rezeki, berhak untuk memiliki harta, tanah atau rumah. Wanita Muslim mempunyai hak untuk menguruskan perniagaan mereka bahkan suaminya tidak boleh meminta hasil pendapatan atau keuntungan perniagaannya apatah lagi orang lain kecuali dengan kerelaannya. Firman Allah SWT ;

Maksudnya: “(Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (al-Nisa’ : 32)
Secara umum, Islam mengangkat kedudukan wanita dengan memberi kepercayaan di dalam tugas mendidik, manakala lelaki sebagai ketua yang menjaga keselamatan ahli keluarga. Justeru, wanita mempunyai hak untuk menambah bantuan kewangan dalam meningkatkan ekonomi keluarga. Melalui Sirah Nabawiyyah, perkara ini telah dilakukan oleh isteri-isteri para sahabat antaranya Saidatina Asma’ binti Abu Bakr R.A yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari R.A di dalam sahihnya bahawa Saidatina Asma’ binti Abu Bakar R.A sering membantu suaminya, Zubair bin Al-Awwam R.A. Beliau keluar untuk mengumpulkan makanan ternakan dan menjaga urusan-urusannya.

4.Hak dalam pewarisan harta pusaka
Islam menetapkan peraturan khusus mengenai pembahagian harta pusaka, di mana lelaki dan wanita mempunyai bahagian tertentu. Walaupun bahagian lelaki dan wanita berbeza, pembahagian ini dibuat berdasarkan keadilan dan tanggungjawab kewangan yang dipikul oleh setiap jantina. Penetapan pembahagian harta pusaka dalam Islam adalah manifestasi daripada pengiktirafan Islam terhadap hak milik individu.
Selain itu, ia juga merupakan manifestasi bahawa harta seseorang, selepas kematiannya, berpindah kepada ahli waris dan mesti dibahagikan secara adil antara mereka, sama ada perempuan atau lelaki, kecil atau dewasa, asalkan syarat-syarat penerimaan harta pusaka dipenuhi. Penetapan ini terkandung dalam firman Allah SWT ;

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”(al-Nisa : 7 )
Imam al-Tabari meriwayatkan sebuah athar dari Qatadah yang menyatakan bahawa antara sebab turunnya ayat ini kerana pada zaman jahiliyyah dahulu yang dapat pewarisan harta hanyalah dari golongan lelaki tidak pula kaum wanita. Justeru, syariat Islam amat menyantuni wanita dalam melepaskan diri mereka dari kongkongan kezaliman zaman jahiliyyah dahulu. Islam memberikan hak waris kepada kaum wanita yang sebelumnya tidak memiliki hak seperti itu, bahkan telah menetapkan mereka sebagai Ashhabul Furudh (kewajiban yang telah Allah SWT tetapkan bahagian warisannya) sama seperti kaum lela

Kesimpulan
Islam amat meraikan hak kedua-dua dari kaum lelaki dan wanita dengan menetapkan setiap lelaki dan wanita hak-hak mereka dalam keluarga dan masyarakat pada tempat yang sewajarnya. Di samping itu, banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyebut tentang persamaan antara lelaki dan perempuan sama ada daripada segi nilai kemanusiaan, hukum, menuntut ilmu, pewarisan harta dan sebagainya.
Persamaan yang dimaksudkan oleh Islam antara lelaki dan wanita bukanlah persamaan yang sepenuhnya. Akan tetapi, persamaan mengenai hak-hak yang telah Islam tetapkan atas dasar konsep keadilan yang sama rata antara kaum lelaki dan wanita. Hal ini adalah kerana dalam sesetengah perkara wanita tidak dapat melaksanakan tugas-tugas lelaki sepenuhnya dan begitulah sebaliknya.