BAHAYA ISLAM JAMAAH

BAHAYA ISLAM JAMAAH

islam jamaah ldii

Islam Jamaah merupakan ajaran yang diasaskan oleh individu bernama Nurhasan Al-Ubaidah Lubis Amir. Nama sebenar beliau ialah Muhammad Medigol Bin Abdul Azis. Beliau dilahirkan di Jawa Timur pada tahun 1915. Ajaran ini diasaskan sekitar tahun 1951 di bawah nama Islam Jamaah atau Darul Hadits. Setelah ajaran ini diharamkan oleh Jaksa Agung Republik Indonesia pada tahun 1971, nama Islam Jamaah ditukar kepada Lembaga Karyawan Indonesia, atau singkatannya LEMKARI pada tahun 1972. Kemudian pada muktamar LEMKARI tahun 1990, ajaran menukar nama kepada Lembaga Dakwah Indonesia (LDII) pada tahun 1990. Penukaran nama beberapa kali ini bertujuan untuk menghilangkan persepsi buruk yang dikaitkan dengan nama Islam Jamaah, namun doktrin ajaran ini kekal sama.

Apakah doktrin dan pegangan Islam Jamaah?

pengajian ldii sesat sumber idiijatim com
Sumber imej: pengajian-ldii-sesat_sumber_idiijatim_com

Pada hakikatnya Islam Jamaah merupakan satu firqah batiniyyah. Hal ini kerana mereka mempercayai dengan penafsiran Al-Quran dan istilah-istilah syar’iyyah menurut pengertian pengasas dan pimpinan mereka. Di antara pegangan utama mereka ialah:

i) Di dalam salah satu penerbitan mereka iaitu Buku Makalah 2002, dengan jelas ajaran ini berpegang dengan penafsiran Al-Jamaah yang disebutkan di dalam Al-Quran dengan maksud yang khusus ialah Islam Jamaah. Ketika menafsirkan ayat “Dan berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah” (Surah Ali Imran: 103), mereka berkeyakinan bahawa wajib bagi sekalian Muslim untuk menyertai jamaah yang memiliki Imam yang diberikan bai’ah. Sekiranya ada yang masih tidak memberikan bai’ah, maka seseorang itu tidak dikira sebagai telah mempunyai jamaah. Doktrin ini bercanggah dengan pandagan jumhur ulama Ahl Al-Sunnah bahawa yang dimaksudkan dengan jemaah itu adalah Jemaah Muslimin secara amnya, tidak dikhususkan kepada mana-mana jemaah.

ii) Mereka turut mempercayai, selain daripada kewajipan mempunyai jamaah, setiap Muslim wajib memberikan bai’ah dan melantik seorang Imam atau Amir. Imam atau Amir pada zaman ini tidak dan tidak bukan ialah Nurhasan Ubaidah, pengasas ajaran Islam Jamaah ini, kerana beliau dilihat sebagai mujaddid zaman ini, dan hukum berbai’ah taat setia kepadanya adalah wajib. Sesiapa yang tidak melakukan sedemikian maka dihukum sebagai tidak sah keislamannya, ibadahnya tidak diterima Allah, dan matinya adalah dalam jahiliyyah, dan akan dimasukkan ke neraka oleh Allah swt. Doktrin ini juga bercanggah dengan kefahaman para ulama Ahl Al-Sunnah, bahawa bai’ah yang dimaksudkan ini ialah kesetiaan dan ketaatan kepada pemimpin, atau ulil amri yang telah dilantik secara sah. Bai’ah yang dimaksudkan tidak membawa makna janji taat setia kepada mana-mana individu yang khusus, apalagi seseorang yang membawa ajaran yang diragui dan sesat seperti Nurhasan Ubaidah.

iii) Ajaran ini juga percaya bahawa semua ilmu wajib dinaqalkan (manqul) secara bersanad daripada Nurhasan Ubaidah. Mana-mana pengajian yang tidak bersanad dianggap sebagai ilmu yang tidak sah, bahkan sesat. Adapun mana-mana hadis yang dinukilkan daripada Nurhasan Ubaidah dianggap sebagai sahih, tanpa melalui mana-mana penilaian dan disiplin periwayatan yang digariskan dalam Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamaah. Bukan sahaja dari sudut sistem sanad, bahkan penerangan, penafsiran dan kefahaman yang diambil daripada hadis yang dinukilkan juga tidak sah dan salah sekiranya tidak melalui penafsiran dan kefahaman Nurhasan Ubaidah. Hal ini bercanggah dengan fahaman Ahl Al-Sunnah bahawa penilaian dan penerangan hadis mempunyai disiplinnya yang tersendiri.

iv) Ajaran Islam Jamaah ini juga berpegang dengan konsep taqiyyah di dalam Syiah. Hanya sahaja mereka menamakannya sebagai Fathonah Bithonah Budiluhur. Intipatinya kekal sama dengan taqiyyah di sisi Syiah; seorang penganut Islam Jamaah dibolehkan, bahkan dalam sesetengah penulisan, diwajibkan untuk berbohong kepada semua individu di luar Islam Jamaah. Hal ini bertujuan untuk menyelamatkan diri ataupun jemaah mereka. Pegangan ini juga membuatkan bahan penulisan mereka sukar didapati kerana kebanyakannya tidak diterbitkan atau dijual di rak kedai buku umum. Walhal daripada sifat wajib Rasul ialah jujur dan amanah dalam dakwahnya.

Pengharaman Islam Jamaah/LEMKARI/LLDI

LDII
Sumber imej: https://ldiikabbogor.or.id/

Ajaran ini telah dibincangkan pada peringkat jawatankuasa fatwa di Malaysia dan Singapura, dan badan-badan fatwa ini telah mendapati Islam Jamaah sebagai ajaran yang terkeluar daripada ajaran Islam. Di antara negeri yang terlibat ialah Singapura (2010), Selangor (1998), Perak (2003) Mana-mana individu yang terlibat dengan ajaran ini digesa untuk segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah swt. Majlis Fatwa Negeri Sabah pada tahun 2017 pula dengan khusus melarang mana-mana individu untuk menyebarkan atau beramal dengan ajaran ini. Masyarakat turut dilarang daripada memiliki mana-mana bahan bercetak atau rakaman-rakaman audio kuliah pengajian Islam Jamaah.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor