AURAT VS SYARIAH : ADAB DI MEDIA SOSIAL DAN IKLAN

AURAT VS SYARIAH : ADAB DI MEDIA SOSIAL DAN IKLAN

young asia muslim businesswoman using smart phone talk friend by videochat brainstorm online meeting while remotely work from home living room 1024x576 1
Media sosial merupakan satu platform secara atas talian yang membolehkan pengguna berkongsi, menyertai, dan mencipta isi melalui rangkaian sosial dan dunia virtual.

Media sosial seperti Telegram, Whatsapp, Instagram, Facebook, Twitter dan Blog merupakan platform yang biasa digunakan oleh manusia secara global.

Penyampaian dalam media sosial adakalanya dalam bentuk maklumat, data, grafik mahupun gambar .

Namun dalam kecanggihan teknologi pada hari ini, kita masih dituntut untuk sentiasa berada di landasan yang ditetapkan dalam Islam.

Aktiviti berswafoto serta berkongsi gambar  ke laman sosial tidak salah, tetapi haruslah ada batasannya supaya menjaga adab-adab Islam dengan menutup aurat secara sempurna  sama ada bagi tujuan pengiklanan dan lain-lain.

Larangan Melihat Aurat

Allah SWT telah memerintahkan kita agar sentiasa memelihara dan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang haram seperti yang termaktub di dalam Surah An-Nur ayat 30-31 maksudnya

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan” .

Menurut Imam Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ .

Justeru itu , menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memastikan sentiasa menjaga aurat walau dalam apa jua keadaan.

Adab Berpakaian

medium shot woman arranging hijab 1024x683 1
Islam telah menggariskan panduan berpakaian agar tidak menimbulkan perasaan syahwat dan fitnah kepada yang melihat termasuk di media sosial.

Antara larangan dan suruhan dalam Islam adalah:

a) Berpakaian dengan tidak menyerupai pakaian jantina lain. Nabi SAW bersabda:

“Daripada Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki” (Riwayat Abu Daud)

b) Tidak memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

c) Hendaklah memakai pakaian yang menutup seluruh anggota aurat.

d) Tidak memakai pakaian yang nipis sehingga kelihatan warna kulit dan bayang anggota tubuh. Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan masalah ini di dalam kitab Minhaj al-Qawin“Dan syarat pakaian (untuk menutup aurat) ialah apa yang boleh menutup dan tidak menampakkan warna kulit”.

Tabarruj

Adakalanya masyarakat khususnya wanita terlepas pandang tentang tabbaruj ketika leka berswafoto untuk tatapan umum termasuklah gambar di papan-papan iklan.

Imam al-Syaukani dalam kitab Fath al-Qadir ada menyatakan, bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya).

Islam tidak melarang untuk berhias agar kelihatan kemas, bersih dan tidak kusam selagi tidak bertujuan untuk menarik perhatian dan minat orang yang melihat.

Justeru itu dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan tabarruj secara berlebihan dikhuatiri ianya dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya.

happy muslim wife wearing hijab looking husband sitting indoors 1024x683 1
Para ulama’ telah bersepakat, adalah haram mempamerkan kecantikan melainkan kepada suami sahaja.

Walaupun Islam memberikan kelonggaran dan ruang untuk berhias, namun jangan terlalu bermudah-mudah sehingga melampui had batasan dan akhirnya menjerumuskan kepada yang haram.

Hilang Malu

Segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan budaya barat sehingga melakukan perkara yang memalukan.

Diantaranya berbangga di media sosial dengan trend unboxing pasangan pengantin, berpelukan , berkucupan, mempamerkan baby bump dan menari tik tok dengan tarian yang menghairahkan dan sebagainya.

Sesungguhnya sifat malu adalah sifat yang mengajar kita untuk sentiasa menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.

Ini kerana sifat malu dapat mencegah dan menjauhkan kita daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan dosa, perlakuan buruk, hina dan tercela.

Perasaan malu juga akan membuatkan seseorang itu untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak-geri dan tingkah laku sama ada dari segi perkataan mahupun perbuatan. Manusia perlu ada sifat malu kerana ianya sebagai penghalang dari melakukan maksiat dan perkara yang dilarang dalam agama.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya antara perkara yang diperoleh manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu ialah sekiranya kamu tidak malu maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki.”.(Riwayat al- Bukhari)

Wara’

Dalam keadaan hari ini, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan apabila dibimbangi dengan gambar yang telah dimuatnaik ke dalam media sosial atau papan iklan mampu menimbulkan fitnah.

Perkara ini diharamkan berdasarkan kaedah Sad Zari’ah, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.

Ia disokong dengan  kaedah fiqh iaitu 

 ما أدى إلى الحرام فهو حرام yang bermaksud

“apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram”.

Oleh itu, hendaklah sedaya upaya dielakkan segala perkara maksiat kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Kesimpulan

Penggunaan media sosial secara beradab adalah untuk mengajar diri menjadi Muslim yang bertaqwa kepada Allah SWT, seterusnya menjadi teladan dan menunjukkan imej sebagai seorang Muslim yang berakhlak mulia dan penuh rasa penghormatan terhadap masyarakat sekeliling.

POSTER ARTIKEL22

NIKAH MISYAR

Pendahuluan Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor