ADAKAH WANITA TIDAK BEBAS DALAM ISLAM

ADAKAH WANITA TIDAK BEBAS DALAM ISLAM

Manusia secara umumnya merupakan makhluk yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagaimana dalam firmanNya: 

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلْنَٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍۢ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلً

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, Kami mengangkat dan menggerakkan mereka di darat dan di laut, Kami memberi mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami melebihkan mereka dengan kelebihan-kelebihan atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (al-Isra’ : 70) 

Berdasarkan firman tersebut, penghormatan ini meliputi kaum lelaki dan perempuan. Kemuliaan lelaki diangkat kerana golongan tersebut merupakan insan yang bertanggungjawab sebagai pemimpin di dunia ini. Begitu juga wanita mempunyai peranan tertentu yang bersesuaian dengan fitrah mereka. Allah SWT mengangkat darjat kaum wanita dan tidak pernah menzalimi pada apa yang wanita berhak dapatkan daripada hak-haknya. Di samping itu, Allah SWT tidak membebani para wanita dengan perkara-perkara di luar kemampuan daripada fitrah kerana mengetahui apa yang sesuai daripada hak-hak dan tanggungjawab. 

ARTKEL5 01 03
sumber imej: https://bincangmuslimah.com/

Prof. Dr. Syeikh Ali Jum’ah dalam Al-Quds Fi al-Hadarah al-Islamiyyahmenyatakan bahawa:

“Lelaki dan wanita itu sama bahkan sekalian manusia dan sekalian makhluk Allah SWT itu sama pada asal pengabdian. Allah SWT menyamakan di antara lelaki dan wanita pada asal taklifan syariat, pahala dan balasan ke atas laksananya atau meninggalkannya.”

Kaum wanita adalah sama seperti lelaki pada asas taklif. Adapun perbezaan yang wujud di antara keduanya adalah pada zahir hak-hak dan tanggungjawab dari sudut bentuk tugasan dan peranan. Perbezaan tugasan tersebut pula bukanlah satu bentuk merendahkan satu golongan ke atas golongan yang lain, tetapi ia diletakkan bersesuaian dengan kemampuan dan fitrah masing-masing.

 

Pengertian Kebebasan Wanita dalam Perspektif Islam

Bebas yang dibawa dalam Islam adalah kebebasan yang berlandaskan syariat. Konsep yang ditekankan dalam Iḥyāa ‘Ulūmuddīn oleh Imam al-Ghazali adalah:

الحرية هي الخروج من رق الشهوات والانهماك في المعاصي والعودة إلى عبودية الله الحق

Maksudnya: Kebebasan adalah keluar dari perhambaan hawa nafsu dan keterikatan dengan dosa serta kembali untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT yang sebenar. 

ARTKEL5 02
Sumber imej: freepik.com

Firman Allah SWT: 

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًۭا 

Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan amalan kebaikan baik dalam kalangan lelaki  mahupun perempuan dan dirinya beriman, maka mereka itulah golongan yang akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi sedikit pun. (al-Nisa :124) 

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa kebebasan dalam Islam adalah kebebasan yang dibingkai oleh rasa tanggungjawab terhadap Allah SWT. Wanita bebas dalam kehidupan mereka selagi mana mereka mematuhi syariat dan tidak melanggar hukum Allah SWT dan perkara ini merupakan bukti bahawa Islam memberikan peluang yang sama kepada wanita dan lelaki untuk mendapatkan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan di akhirat. 

Konsep Bebas Pada Pandangan Barat 

Bebas didefinisikan dalam Cambridge Dictionary sebagai “the right to live in the way you want, say what you think, and make your own decisions without being controlled by anyone else” iaitu hak untuk hidup mengikut cara yang dikehendaki, bebas menyatakan pendapat dan membuat keputusan sendiri tanpa dikawal oleh sesiapa.

ARTKEL5 03 02
Sumber imej: sinarharian.com.my

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam The Concept of Freedom in Islam and the West menegaskan bahawa konsep kebebasan di Barat lebih cenderung kepada sudut materialisme dengan menekankan kebebasan individu tanpa mengambil kira tanggungjawab moral dan spiritual. Kebebasan mereka termasuk kebebasan mempromosikan eksploitasi tubuh wanita khususnya dalam media dan industri hiburan. Beliau menyatakan bahawa:

Western civilization emphasizes the material aspects of freedom, often neglecting the spiritual and moral dimensions. This leads to a fragmented worldview that undermines the holistic understanding of man as envisaged in Islam. 

Beliau membincangkan perbezaan antara pandangan Islam dan Barat mengenai konsep kebebasan. Beliau menekankan bahawa dalam Islam, kebebasan individu berkait rapat dengan tanggungjawab moral dan spiritual. Manakala di Barat, konsep kebebasan sering dikaitkan dengan sekularisme iaitu fahaman yang menolak nilai-nilai ke­agamaan dalam kehidupan sosial manusia. 

ARTKEL5 04
Sumber imej: freepik.com

Hak-Hak Wanita dalam Islam 

1. Pendidikan 

Islam menetapkan pendidikan sebagai hak asas bagi lelaki dan wanita. Sabda Nabi SAW: 

طَلَبُ العِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ 

Maksudnya: Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim. [HR : Ibn Majah] 

 

Muslim yang dimaksudkan tersebut adalah termasuk lelaki dan wanita. Salah satu contoh teladan dalam pendidikan wanita adalah Saidatina Aisyah RA yang menjadi guru bagi umat Islam dan rujukan utama para Sahabat RA dalam perkara-perkara berkaitan hukum syarak dan agama. 

2. Sosial 

Wanita Muslim juga mempunyai tanggungjawab menyebarkan dakwah melalui amar makruf, nahi munkar. Islam membenarkan wanita untuk bekerja demi kebaikan agama, masyarakat dan negara selagi mana tidak mengabaikan tanggungjawab utama mengikut peranan masing-masing. Dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf perbezaan antara lelaki dan perempuan terutama dari segi kekuatan fizikal. Sesetengah pekerjaan sesuai untuk lelaki dan setengahnya sesuai untuk wanita. Ini tidak bermakna Islam menafikan sumbangan lelaki mahupun wanita di dalam pekerjaan. Apa yang ditekankan adalah kesesuaian sesuatu pekerjaan itu mengikut batasan jantina dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. 

Islam juga memberikan hak kepada wanita untuk memilih pasangan hidup sesuai dengan keadaan dan tuntutan syarak termasuklah perkara yang berkaitan dengan hak sebagai seorang isteri dan kehidupan setelah berumahtangga. Nabi SAW bersabda: 

لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَوَلاَ تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ 

Maksudnya: Seorang janda tidak boleh dinikahkan sehingga dia diminta persetujuannya dan seorang anak dara tidak boleh dinikahkan sehingga dia diminta izinnya. [HR : Bukahri] 

Di samping itu, wanita juga diberikan hak untuk membubarkan atau memutuskan hubungan perkahwinan melalui tuntutan fasakh seandainya suami berlaku zalim atau tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya.  

3.Ekonomi 
Islam memberikan wanita hak memiliki harta dan bebas menguruskan hartanya. Firman Allah SWT: 

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ 

Maksudnya: Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan. (al-Nisa : 32) 

Selain itu, wanita juga mempunyai hak untuk menerima bahagian dalam pewarisan harta mengikut darjat hubungan kekeluargaan. Allah SWT berfirman: 

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًۢا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Bagi lelaki ada bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat, dan bagi perempuan pula ada bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat, baik sedikit ataupun banyak menurut bahagian yang telah diwajibkan Allah. (al-Nisa : 7)  

ARTKEL5 06
Sumber imej: https://images.pexels.com/

Penetapan hak dan tanggungjawab bagi setiap jantina mempunyai hikmah yang tersendiri. Hak-hak tersebut menunjukkan betapa Islam memuliakan dan memelihara maruah wanita. Islam juga memberikan kepada mereka kedudukan yang adil dalam keluarga serta masyarakat. Isu keadilan dan kesaksamaan terhadap kaum wanita seharusnya dilihat secara menyeluruh dan tidak boleh dilihat dari sudut pandang hak-hak semata-mata. Akan tetapi, ia turut memerlukan kepada penelitian yang lebih mendalam dan merangkumi aspek tanggungjawab terhadap hubungan sosial sesama manusia serta tanggungjawab terhadap hubungan antara seorang hamba dan Penciptanya.  

Islam menempatkan wanita dalam keluarga dan masyarakat pada kedudukan yang sewajarnya. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyebutkan tentang persamaan antara lelaki dan perempuan sama ada daripada segi nilai kemanusiaan, hukum, urusan sivil, jenayah dan sebagainya. Persamaan yang dimaksudkan oleh Islam antara lelaki dan wanita bukanlah persamaan yang sepenuhnya. Hal ini adalah kerana dalam sesetengah perkara wanita tidak dapat melaksanakan tugas-tugas lelaki sepenuhnya dan begitulah sebaliknya. 

Dakwaan Tiada Kebebasan Bagi Wanita Dalam Islam 

Kenyataan bahawa tiada kebebasan bagi wanita dalam Islam telah menjadi topik perbincangan dalam forum hak asasi manusia antarabangsan sama ada di bawah triti atau konvensyen hak asasi manusia. Di mana, CEDAW (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women) iaitu ‘Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita’ merupakan medan bagi sebahagian pempengaruh Barat untuk menekan negara-negara Islam dan menuduh bahawa Islam menekan wanita dan berlaku tidak adil kepada wanita Islam dengan mengatakan bahawa wanita Islam tiada hak dalam Islam.  

Namun begitu, Malaysia telah meletakkan beberapa reservations (pengecualian) terhadap beberapa artikel yang telah dikeluarkan oleh CEDAW terutamanya yang dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah dan norma budaya tempatan yang telah sekian lama dijadikan sebagai pegangan hidup masyarakat Islam di Malaysia. Sebahagian besar reservations tersebut adalah berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan isu-isu perkahwinan, perceraian, penjagaan anak dan nafkah yang tertakluk kepada undang-undang Islam bagi orang Islam di Malaysia. Pengecualian tersebut telah dikaitkan dengan keperluan untuk mematuhi undang-undang keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia. 

Dalam Islam, kesamarataan antara lelaki dan wanita bukan bermakna sama dalam semua hal akan tetapi adil mengikut peranan dan tanggungjawab yang ditetapkan oleh syarak. Oleh itu, sebahagian prinsip CEDAW yang menuntut kesamarataan penuh (absolute equality) adalah berkonflik dengan konsep keadilan dalam Islam yang menekankan keseimbangan hak dan tanggungjawab. 

Kesimpulan 

Islam mengajarkan bahawa kebebasan wanita bukanlah kebebasan mutlak. Sebaliknya ia adalah kebebasan yang dipandu oleh syariat. Islam memuliakan wanita dengan memberi kebebasan yang berpaksikan kepada syariat, berbeza dengan budaya Barat yang cenderung kepada kebebasan tanpa batas atau ikutan budaya. Islam memposisikan kebebasan wanita sebagai sesuatu perkara yang bermaruah dan bermanfaat kepada masyarakat. Erti bebas yang sebenar bagi wanita Muslimah adalah apabila dirinya memahami hak-hak dan melaksanakan tanggungjawab sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. 

ARTKEL5 05
Sumber imej: https://www.vecteezy.com/
POSTER ARTIKEL04

Double Jeopardy

Pengenalan Dalam sistem perundangan, prinsip Double Jeopardy merujuk kepada larangan...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor