MELAMPAU DALAM BERTABARRUK
MELAMPAU DALAM BERTABARRUK
Tabarruk diertikan sebagai perbuatan mengambil berkat. Perkataan berkat itu sendiri berasal daripada Al-Birkah, iaitu sesuatu yang banyak dan kekal airnya, seperti tasik dan kolam. Digunakan perkataan ini untuk menggambarkan pertambahan dari sudut kebaikan, kemuliaan, mekar, kemanfaatan dan keagungan. Sesuatu perkara atau amal itu dikatakan berkat sekiranya pahala dan balasan baiknya berganda dan bertambah banyak. Dari sudut istilah, tabarruk ialah usaha seorang Muslim untuk menggandakan pahala dan kebaikan daripada amalan yang dilakukannya.

Di dalam kerangka perbincangan Al-Quran dan Sunnah, keberkatan itu terletak pada beberapa perkara. Pertama, keberkatan pada tubuh seseorang, seperti yang kita lihat pada Baginda Nabi SAW. Para sahabat RA mengambil berkat daripada air liur dan peluh Baginda SAW, dan perbuatan ini dibenarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam pelbagai hadis. Sebagai contoh, Ummu Sulaim RA pernah menyapu peluh Baginda SAW dan menyimpannya. Daripada Ummu Sulaim RA
– كَانَ يَأْتِيهَا فَيَقِيلُ عِنْدَهَا فَتَبْسُطُ لَهُ نَطْعًا فَيَقِيلُ عَلَيْهِ وَكَانَ كَثِيرَ الْعَرَقِ فَكَانَتْ تَجْمَعُ عَرَقَهُ فَتَجْعَلُهُ فِى الطِّيبِ وَالْقَوَارِيرِ فَقَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- « يَا أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا ». قَالَتْ عَرَقُكَ أَدُوفُ بِهِ طِيبِى
Maksudnya : “Nabi SAW pernah datang bertemu dengannya. Lalu Baginda tidur pada waktu tengahari di rumahnya. Lalu Ummu Sulaim membentangkan tikar untuk Baginda dan Baginda SAW tidur di atasnya. Pada ketika itu, Nabi SAW berpeluh dengan banyak. Lalu Ummu Sulaim mengumpulkan peluh tersebut dan dia meletakkannya di dalam minyak wangi dan bekas-bekas. Lalu Nabi SAW berkata : Wahai Ummu Sulaim apakah ini. Dia (Ummu Sulaim) menjawab : Ini adalah peluh engkau yang mana aku campurkan dengan minyak wangiku.” Riwayat Muslim (6203)
Begitu juga dengan keberkatan pada doa kedua ibubapa, nabi bersabda
“Tiga doa yang mustajab tanpa keraguan padanya: doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa ibu bapa terhadap anaknya.” (HR al-Tirmizi no. 1905)
Kedua, keberkatan juga boleh berada pada tempat. Sebagai contoh, fadhilat solat di Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan Masjid Al-Nabawi digandakan sehingga ribuan kali oleh Allah SWT, Nabi bersabda
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ : صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَام
“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat lain, kecuali di Masjidil Haram.” (HR al-Bukhari no. 1190, Muslim no. 1394)

Ketiga, keberkatan juga boleh berada di dalam amalan kita sendiri. Sebagai contoh pada perlakuan solat, berpuasa, atau mana-mana amal soleh yang dilakukan secara ikhlas kerana mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Hal ini sepertimana yang kita lihat daripada kisah tiga sahabat yang terperangkap dalam gua, dan Allah SWT mengizinkan mereka keluar daripada gua tersebut berkat amal soleh yang telah mereka lakukan (HR Al-Bukhari). Keempat, keberkatan juga boleh berada pada waktu yang khusus. Sebagai contoh, jelas dalam surah Al-Qadr, Allah SWT menekankan amal soleh yang dilakukan pada malam Lailatul Qadr.

Namun satu perkara yang perlu diberikan perhatian, isu keberkatan ini merupakan cabang isu perbincangan akidah, kerana ianya termasuk dalam perbincangan perkara ghaib. Mata kasar kita tidak dapat melihat di mana, atau siapa, atau pada waktu bila keberkatan itu berada. Andai tidak dimaklumkan, bagaimana kita mengetahui fadhilat solat malam pada Lailatul Qadr?
Oleh sebab itu, dakwaan pada sesuatu waktu, atau tempat, atau manusia, atau amalan itu sebagai berkat tidak boleh tidak perlu didatangkan dengan dalil yang jelas, sebagaimana dengan semua perkara ghaib yang lain. Bahkan tidak dinafikan ada ketikanya sentimen dan emosi memainkan peranan dalam dakwaan sesuatu amal itu berkat, walaupun tidak ada dalil yang menyebut sedemikian.
Abu Hurairah RA sebagai contoh, pernah ditegur oleh sahabat RA ketika beliau mengerjakan solat di Tursina. Tidak dinafikan Tursina adalah tempat bersejarah turunnya Taurat kepada Nabi Musa AS, namun tanpa sebarang indikasi, kisah ini jelas menunjukkan bahawa nilai sentimen tidak membuatkan keberkatan tempat tersebut disahkan.
Kita sebagai pencinta Nabi Muhammad SAW, pengikut para sahabat RA, hendaklah berhati-hati dalam usaha mencari keberkatan. Mari kita ambil iktibar daripada penganut Syiah, yang jelas melampau dalam mengambil keberkatan. Mereka membina masjid yang sangat besar di kuburan orang-orang yang soleh, lalu mereka beribadah, memohon doa dan mengambil berkat daripada individu ini, walaupun jelas perbuatan menjadikan kubur sebagai tempat ibadah ini dilarang oleh Baginda Nabi Muhammad SAW sebagaimana sabdaannya,
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فِي مَرَضِهِ الَّذِي لَمْ يَقُمْ مِنْهُ: “لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى، اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ قَالَتْ: لَوْلَا ذَلِكَ أُبْرِزَ قَبْرُهُ، غَيْرَ أَنَّهُ خُشِيَ أَنْ يُتَّخَذَ مَسْجِدًا.”
Daripada Aisyah RA, beliau berkata:”Rasulullah ﷺ bersabda ketika sakitnya yang membawa kepada kewafatan: ‘Allah melaknat orang Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid.’” Kata Aisyah: Kalau bukan kerana larangan itu, nescaya akan didedahkan (dilazimkan ziarah terbuka) kubur Nabi. Tetapi ditakuti ia akan dijadikan masjid (tempat ibadah).

Mereka lebih bertungkus-lumus dalam melakukan ziarah ke Karbala pada 10 Muharam dan menukilkan riwayat-riwayat palsu berkenaannya. Walhal jelas keberkatan Mekah dan Madinah adalah lebih utama, malahan Nabi Muhammad SAW melarang untuk mendahulukan usaha rihlah ke Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan Masjid Al-Nabawi mengatasi usaha ke mana-mana tempat lain sebagaimana sabdaannya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ قَالَ : “لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ: الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِي هَذَا، وَالْمَسْجِدِ الْأَقْصَى
Maksudnya: Tidak digalakkan melakukan perjalanan jauh kecuali ke tiga buah masjid: Masjidil Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi), dan Masjid al-Aqsa.”(HR al-Bukhari no. 1189, Muslim no. 1397)
Larangan-larangan ini, sebagaimana dalam semua ehwal syariat, mempunyai tujuan dan rahsia tersendiri. Sebab yang paling utama adalah menyelamatkan umat Nabi Muhammad SAW daripada dosa syirik, satu-satunya dosa yang mengekalkan seseorang di dalam neraka Allah SWT. Kita melihat dengan jelas bahawa amalan tabarruk yang melampau ke atas orang soleh yang sudah meninggal dunia, memunculkan syirik yang pertama di kalangan umat Nabi Nuh AS, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA.
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا فِي قَوْلِهِ تَعَالَى: ﴿وَدًّا وَسُوَاعًا وَيَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا
قَالَ: هَذِهِ أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَىٰ قَوْمِهِمْ أَنْ اُنْصِبُوا إِلَىٰ مَجَالِسِهِمُ الَّتِي كَانُوا يَجْلِسُونَ فِيهَا أَنْصَابًا وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ، فَفَعَلُوا وَلَمْ تُعْبَدْ، حَتَّىٰ إِذَا هَلَكَ أُولَٰئِكَ وَنُسِخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ
Ibnu Abbas RA berkata mengenai firman Allah dalam Surah Nuh ayat 23:
“(Wadd, Suwa‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr) – itu adalah nama-nama orang soleh dari kaum Nabi Nuh. Bila mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaumnya agar mendirikan tugu pada majlis-majlis mereka dan menamakan tugu-tugu itu dengan nama-nama mereka. Maka mereka lakukan (dengan niat mengenang mereka). Pada awalnya tidak disembah. Namun bila generasi itu mati dan ilmu telah dilupakan, maka berhala-berhala itu pun mula disembah.”

Walhal usaha dan misi utama seorang rasul itu adalah memastikan umatnya mati dalam ketauhidan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan tidaklah mereka disuruh melainkan untuk beribadah kepada Allah dalam mengikhlaskan agama kepada lagi suci” (Al-Bayyinah:5).