PROGRAM INSAN RABBANI: MAIS PULIHKAN 2,474 BEKAS AHLI GISBH TERMASUK KANAK-KANAK

PROGRAM INSAN RABBANI: MAIS PULIHKAN 2,474 BEKAS AHLI GISBH TERMASUK KANAK-KANAK

495443412 1066748555370343 7651200361016343726 n 1
RAWANG, 4 Mei – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan program pemulihan terhadap bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) menerusi Program Insan Rabbani melibatkan 1,064 individu dewasa dan 1,410 kanak-kanak dengan jumlah keseluruhan seramai 2,474 orang.
 
Program Insan Rabbani merupakan salah satu program pemulihan MAIS yang kini sedang giat dilaksanakan dengan memberi fokus kepada proses pemulihan akidah kepada bekas ahli GISBH dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula pada 15 Februari lalu sehingga Ogos 2025.
 
Program itu meliputi Fasa Pemulihan serta Fasa Pemantapan dan Pengukuhan masing-masing berjalan selama enam bulan, diikuti pemantauan menerusi Fasa Pasca Pemulihan dan Fasa Pemantauan dan Khidmat Sokongan.
 
Sehingga kini, MAIS telah melaksanakan Program Pemulihan Akidah Bagi Kanak-Kanak GISBH pada September hingga Disember 2024 yang lalu melibatkan kanak-kanak GISBH di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
 
Selain itu, MAIS bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menganjurkan Program Rehabilitasi Secara Sukarela Ahli GISBH membabitkan seramai tujuh orang peserta dari Selangor dan 11 orang dari Johor pada 7 November 2024 hingga 4 Februari 2025 yang lalu.
 
Bagi menyantuni bekas ahli GISBH, MAIS hari ini menganjurkan Majlis Ramah Mesra Pengerusi MAIS, YAD Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin Bersama Peserta Program Insan Rabbani Tahun 2025 di SRA Bandar Country Homes, Rawang. Majlis diadakan bertujuan menyantuni bekas ahli GISBH di samping memberi gambaran pelaksanaan program pemulihan MAIS.
 
MAIS berharap agar program pemulihan ini dapat memberi ruang kepada ahli GISBH untuk bertaubat secara sukarela dan memulihkan akidah dari fahaman yang menyeleweng dan kembali kepada akidah ahli sunnah wal jamaah.
 
Dalam majlis yang sama, MAIS juga turut menyampaikan simbolik serahan bantuan fidyah MAIS sebanyak 350 kotak makanan kering bernilai RM77,700.00 kepada penerima yang memerlukan.
 
Daripada 350 kotak makanan kering, sebanyak 200 kotak diagihkan kepada penerima melalui Sekolah Rendah Agama Bandar Country Homes, Rawang; 50 kotak melalui Sekolah Rendah Agama Sijangkang, 50 kotak kepada penerima melalui Sekolah Rendah Agama Sg Kantan dan 50 kotak melalui Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
 
Kotak makanan kering berupa set makanan asasi seperti beras, minyak masak, bihun, gula, tepung gandum, kicap manis dan susu pekat manis.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor