MAIS BANTU MANGSA BANJIR DI NEGERI KELANTAN , TERENGGANU DAN KEDAH

470142446 964238788954654 1116107997080071368 n
KELANTAN – Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang terjejas di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam insiden bulan November yang lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tampil menyumbangkan sebanyak RM598,600.00 bagi menyantuni mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir.
 
Sumbangan RM598,600.00 itu meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).
 
Turut menyumbang ialah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam (TIJARI).
 
Daripada jumlah RM598,600.00 itu, sumbangan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM84,200.00, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM50,200.00 dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) RM44,200.00 dengan masing-masing menerima sumbangan wang tunai dan selebihnya dalam bentuk makanan asas dan keperluan barangan yang diserahkan melalui masjid terpilih di negeri berkaitan untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir.
 
Antara makanan asas yang disumbangkan adalah beras, gula, tepung dan makanan kering serta barangan keperluan seperti lapik tidur, selimut dan bantal.
 
Yang Amat Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS telah menyempurnakan majlis pelepasan konvoi kumpulan MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS serta JHEIS ke negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi menyerahkan sumbangan hari ini sehingga 15 Disember 2024.
 
Konvoi kali ini diketuai oleh Encik Zaharudin Salim, Pengarah Strategik Korporat MAIS dan turut disertai En. Mohd Hasnul Redza Abd Rahim, Pengurus Besar TERAS; En. Nur Mohd Razali Abdullah, Pengurus Besar YIDE dan Encik Mohd Faizal Abdul Raji, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS dengan jumlah keseluruhan peserta sukarelawan seramai 100 orang terdiri daripada MAIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS), agensi dan anak syarikat.
 
Selain menyampaikan bantuan, MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat turut mengadakan operasi pembersihan di tanah perkuburan Islam dan jalan-jalan utama kawasan Kampung Mat Kajang Sebidang Tumpat Kelantan bagi meringankan bebanan yang ditanggung penduduk.
 
Sumbangan MAIS ini adalah bertujuan sebagai tanda solidariti di antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bagi menyantuni mangsa yang terkesan akibat banjir di samping memenuhi maslahah ummah terutama dalam membantu berkaitan keperluan mangsa bagi meringankan bebanan mereka.
Sebelum ini, pada Januari 2024, MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat telah menyumbang sebanyak RM280,000.00 bagi membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan dalam kejadian bulan Disember 2023.
 
Sementara itu, MAIS turut menyumbang kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor baru-baru ini berjumlah RM466,800.00 melalui peruntukkan LZS, YIDE dan JAIS melalui TIJARI.
 
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor