MAJLIS APRESIASI PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN TAHUN 2024

MAJLIS APRESIASI PUSAT PENGURUSAN PENGISLAMAN TAHUN 2024

1d5f4643 880e 4b27 82f5 b8bdeb470252

SHAH ALAM, 5 Oktober – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK menganjurkan Majlis Apresiasi Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) MAIS Tahun 2024 bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada Pusat-Pusat Pengurusan Pengislaman MAIS yang telah memainkan peranan penting dalam membantu MAIS menguruskan pendaftaran pengislaman di negeri Selangor.

Majlis ini menghimpunkan sebanyak 40 PPP MAIS yang terdiri daripada 9 Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), 11 Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), dan 20 masjid di seluruh negeri. Pusat-pusat ini telah aktif melaksanakan proses pengislaman dan mendaftarkan muallaf melalui PAID serta Ibu Pejabat MAIS sepanjang tahun 2023.

Dalam majlis ini, MAIS telah menyampaikan sumbangan penghargaan berjumlah keseluruhan RM87,900.00 kepada PPP MAIS yang terlibat. Sumbangan ini bertujuan sebagai galakan dan motivasi kepada PPP yang telah melaksanakan proses pendaftaran pengislaman dengan baik dan sempurna seterusnya sebagai penghargaan kepada PPP yang bertanggungjawab membantu melaksanakan proses pengislaman mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MAIS.

Antara pengisian utama program ini termasuk taklimat berkaitan Prosedur Kemasukan ke Baitus Salam oleh Ustaz Mohammad Izwan bin Sulaiman, Eksekutif Kebajikan Baitus Salam daripada Lembaga Zakat Selangor, serta sesi perkongsian motivasi oleh YBrs. Ustaz Hj. Muhammad Ridhuan Tan Bin Abdullah, Pengarah Urusan Muhajir Haramain. Beliau juga merupakan seorang Muallaf yang berjaya dalam pembangunan diri serta aktif dalam kursus Haji dan Umrah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Ashraf Bin Md Hashim, Anggota MAIS merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Muallaf (JHEM).

Turut hadir ialah Dr. Hajah Norzaihan Mohd Zain, Timbalan Setiausaha Operasi MAIS dan Dr. Hjh. Norraini Binti Nordin, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor