MENGAPA SESAT SETELAH BERTAUBAT?

MENGAPA SESAT SETELAH BERTAUBAT?

yuz ayub 4B23iVG4M14 unsplash

Taubat itu bermaksud kembali daripada apa yang tercela di sisi syarak kepada apa yang terpuji di sisi-Nya. Dalam makna yang lain taubat ialah kembali kepada Allah SWT dan ketaatan kepada-Nya setelah melakukan maksiat atau dosa seperti terjebak dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng atau disebut
sebagai ajaran sesat.

Ia berkait dengan penyesalan dan muhasabah diri sehingga kesilapan yang lalu tidak diulang pada masa akan datang. Di dalam al-Quran, terdapat sejumlah ayat berhubung gesaan kepada manusia agar bertaubat kepada Allah SWT dan mengaitkannya dengan kejayaan di dunia dan akhirat. Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim, ayat 8:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”.

Ibn Kathir berkata: Iaitu taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina.

masjid pogung dalangan 9 udUYf0bbM unsplash

Manakala istitabah merupakan satu anjuran atau proses memberi peluang untuk bertaubat bagi mereka yang melakukan kesalahan dari segi syarak. Selain itu, pendekatan istitabah yang dijalankan adalah berbentuk rundingan dan khidmat nasihat akidah kepada pemohon untuk kembali menerima Islam sebagai agama dalam hidup.

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya“Sesungguhnya seseorang hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya.” (HR al-Bukhari)

Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih menyebut: Iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka Allah SWT akan menerima taubatnya berdasarkan firman-Nya:

MaksudnyaDan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat). (al-Syura :25)

Islam telah menyusun satu jalan kehidupan yang sempurna buat hambaNya sehinggakan apabila telah tersesat atau menyeleweng dari jalan kebenaran ditunjuki jalan keluar agar kembali kepada jalan kebenaran.

masjid maba QhzQfD0ihnI unsplash

Mengapa masih ada di antara mereka yang telah bertaubat dari kalangan pengikut atau ketua ajaran sesat didapati kembali mengamalkan semula ajaran menyeleweng tersebut?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa`id al-Khudri, beliau berkata: Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Ada seorang lelaki daripada kalangan umat yang terdahulu telah membunuh 99 orang. Lalu dia bertanya tentang orang yang paling mengetahui di atas bumi. Lalu dia ditunjukkan kepada seorang rahib (orang agama). Lalu dia menemui si rahib dan menyebutkan bahawa dia telah membunuh 99 orang, adakah dia masih layak untuk bertaubat? Maka si rahib menjawab: “Tidak!” lantas lelaki berkenaan membunuhnya sehingga genaplah 100 orang.

Kemudian dia bertanya lagi tentang orang yang paling mengetahui di atas bumi. Maka dia ditunjukkankepada seorang lelaki yang berilmu. Lalu dia menyebutkan bahawa dia telah membunuh 100 orang, adakah dia masih layak untuk bertaubat? Lelaki berilmu itu berkata: “Ya, apakah yang menghalang antaranya dengan taubat? Pergilah ke tempat sekian sekian. Di sana terdapat kelompok manusia yang beribadah kepada Allah, maka beribadahlah kamu bersama-sama mereka. Jangan pulang ke tempat kamu kerana ia adalah tempat yang buruk.”

Dia pun bertolak ke tempat yang disebutkan sehinggalah sampai di pertengahan jalan, malaikat maut datang (mengambil nyawanya). Berselisihlah di anatara malaikat rahmah dan juga malaikat azab. Malaikat rahmah berkata: “Dia datang ke sini dalam keadaan bertaubat, dia telah cenderungkan hatinya kepada Allah.” Malaikat azab pula berkata: “Dia belum melakukan apa-apa amalan kebaikan lagi.” Kemudian datanglah kepada mereka seorang malaikat di dalam bentuk manusia. Lalu dia berada di tengah-tengah mereka, lantas berkata: “Ukurlah di antara dua bumi ini. Yang mana yang lebih dekat maka dia menjadi miliknya.”

Mereka pun mengukurnya lalu mereka dapati bahawa lelaki itu lebih dekat ke tempat yang dia ingin tujui. Lantas malaikat rahmah memegangnya.(HR Muslim)

image04 1

Di antara faktor-faktor yang menyebabkan seseorang boleh kembali semula kepada ajaran sesat selepas bertaubat dan menjalani proses istitabah adalah:

  1. Pengajaran yang dapat diambil dari hadis di atas sebagai contoh, apabila lelaki tersebut diminta untuk berhijrah ke tempat lain agar tidak kembali melakukan semula perbuatan yang pernah dilakukan jika masih kembali atau berada di tempat yang sama disebabkan pengaruh atau ajakan dari rakan ataupun suasana sekitar yang boleh mendorong untuk melakukan perbuatan yang sama.
  2. Dalam isu berkaitan ajaran sesat, jika dilihat dari kes-kes yang lalu, hanya ketua atau beberapa pengikut sahaja yang diminta bertaubat dan mengikuti proses istitabah manakala pengikut lain masih lagi terus berpegang kepada ajaran sesat tersebut yang menyebabkan mereka cuba mempengaruhi semula rakan-rakan lain untuk kembali semula kepada ajaran tersebut.
  3. Yang paling utama di sini adalah diri pentaubat tersebut, jika benar-benar ingin bertaubat maka hendaklah ia menyesal untuk tidak kembali semula, memutuskan hubungan dengan mereka yang masih lagi mengamalkan ajaran tersebut, menyibukkan diri dengan pengajian-pengajian yang ada di masjid dan surau, berdamping dengan orang-orang yang berilmu terutamanya yang memiliki tauliah disamping mengamalkan cara hidup Islam dalam erti kata yang sebenar dan bertekad untuk tidak kembali semula kepada ajaran lama.
  4. Apabila sesuatu ajaran sesat telah sebati dalam jiwa untuk jangka waktu yang lama, tidak mudah bagi mereka yang bertaubat dan menjalani proses istitabah untuk benar-benar keluar dan meninggalkan ajaran tersebut, umpama orang yang telah mengambil dadah dalam jangka masa yang panjang walaupun telah dimasukkan dalam pusat pemulihan tetapi bila keluar masih ada yang mencari lagi apatah lagi bila diberi kepadanya oleh rakan-rakan yang terlibat begitulah sepertimana situasi dalam riwayat hadis di atas.
  5. Ada juga di kalangan pengikut sesuatu ajaran yang menganggap apabila ditahan dan diminta bertaubat serta menjalani proses istitabah, mereka menganggap ianya sebagai ujian dan cubaan yang diterima, tetapi hati masih tetap berpegang teguh kepada ajaran sesat yang dianuti.
  6. Terdapat dalam kalangan mereka yang sememangnya bertujuan mengumpulkan wang ringgit dengan jalan mudah semasa menerajui sesebuah kumpulan ajaran sesat dan sekiranya bertaubat dan meninggalkan ajaran tersebut maka akan hilang segala nikmat dan kemewahan yang dikumpul selama ini sehingga menyebabkan ia kembali semula kepada ajaran sesat tersebut.

Demikianlah senario yang berlaku di sekeliling kita apabila seseorang yang pernah melafazkan taubat ditahan semula selepas beberapa tahun kerana kembali mengikut ajaran lama, malah masih menjadi rujukan dalam ajaran sesat tersebut.

20090810Kosmo01 FROM SOSCILI
Sumber imej: kosmo

Justeru, pendekatan yang berbeza dan perlu kepada kajian yang lebih terperinci untuk menilai semula mereka yang telah menjalani proses istitabah dengan melihat semula adakah pendekatan yang digunakan itu sesuai? Adakah tempoh masa untuk Istitabah itu mencukupi? Ianya perlu difikirkan agar dapat membantu mereka untuk menghindari terus dari ajaran sesat yang pernah dianutinya. Wallahu A’lam

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor