MAIS LANCAR KAD HIBAH

MAIS LANCAR KAD HIBAH

451537722 862785922433275 849438647911273673 n 1
SHAH ALAM, 17 Julai – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengambil inisiatif dengan melancarkan Kad Hibah sebagai satu pengenalan identiti penghibah yang berdaftar dengan MAIS.
 
Pelancaran disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS semasa merasmikan Seminar Hibah: Sayang Jangan Sampai Melayang di sini hari ini.
 
Kad Hibah akan diberikan kepada setiap pelanggan yang telah selesai membuat pendaftaran hibah bersama MAIS yang merupakan satu bentuk identiti pembuktian pemberian hibah telah berlaku semasa hidup.
 
Kad Hibah mempunyai pelbagai kelebihan antaranya mengandungi nombor rujukan hibah dan nama pemberi hibah yang akan memudahkan rujukan dokumentasi.
 
Setiap Kad Hibah akan dihantar ke rumah pelanggan secara percuma melalui perkhidmatan kurier sebaik sahaja selesai pendaftaran hibah dibuat.
 
Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk mentadbir hal ehwal umat Islam negeri Selangor, MAIS komited untuk melaksanakan atau menyaksikan proses perisytiharan hibah dan pindah milik harta yang dihibahkan berlaku dengan adil, telus, profesional dan patuh syariah kepada penghibah dan penerima hibah.
 
Sejak tahun 2006 sehingga kini, sebanyak 5,000 dokumen hibah telah dikendalikan oleh MAIS. MAIS telah menambahbaik cara pendaftaran hibah melalui kaedah atas talian yang lebih berinovasi yang telah dilancarkan pada 1 Jun 2022 iaitu Sistem Wasiat dan Hibah (SISWA MAIS).
 
MAIS melancarkan Bulan Hibah Negeri Selangor sepanjang bulan Muharram 1446H bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan informasi hibah dan manfaat mendaftarkan hibah. Pelbagai program diatur sepanjang kempen berlangsung antaranya ialah hebahan informasi berkenaan hibah, Seminar Hibah, Forum Perdana Hibah, Hari Bersama Baitulmal, Tik Tok Live Hibah, Kuliah Maghrib Khas Hibah, Slot Celik Ilmu Pewarisan & Baitulmal Radio IKIM, Rancang Harta Urus Pusaka Radio Klasik, siaran secara langsung Selamat Pagi Malaysia RTM dan Assalamualaikum TV Al-Hijrah.
 
Sementara itu, pada hari ini, MAIS menganjurkan Seminar Hibah bertemakan Sayang Jangan Sampai Melayang yang menghimpunkan empat panel pembentang yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberikan pendedahan berkaitan kepentingan hibah. Sekitar 200 orang peserta dari pelbagai agensi dan organisasi mengikuti seminar yang berlangsung selama satu hari ini.
 
Objektif seminar adalah meningkatkan kefahaman hibah mengikut hukum syarak, praktik amalan hibah di mahkamah syariah dan perkongsian pengalaman pelaksanaan hibah di MAIS.
 
Melalui pelbagai program yang dilaksanakan ini, MAIS berharap masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam merancang harta semasa hidup, seterusnya memudahkan pengurusan harta terutamanya selepas kematian dan melantik MAIS sebagai pentadbir pengurusan harta.
 
Masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti sepanjang Bulan Hibah Negeri Selangor ini bolehlah mengikuti perkembangan di media sosial MAIS iaitu Facebook, Instagram dan Tik Tok Majlis Agama Islam Selangor. Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan melaksanakan pengurusan harta di MAIS, boleh layari laman web MAIS
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor