MAIS ANJUR PROGRAM CEGAH GEJALA SOSIAL, TINGKATKAN PROSES PEMULIHAN ASNAF RIQAB

MAIS ANJUR PROGRAM CEGAH GEJALA SOSIAL, TINGKATKAN PROSES PEMULIHAN ASNAF RIQAB

374919422 683882163656986 4668550206685629318 n
KLANG, 27 Ogos – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pemulihan Al Riqab menganjurkan Program Pencegahan Keparahan Sosial bertemakan “ Keluarga Theraputic Selangor 2023” di sini.
 
Program diadakan selama 3 hari 2 malam bermula 25 hingga 27 Ogos 2023 dengan kerjasama Persatuan PENGASIH Selangor.
 
Seramai 50 orang peserta terlibat dalam program ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran tentang penjagaan kesihatan mental dan pengurusan ketagihan bagi ibu bapa, keluarga atau penjaga kepada asnaf riqab kategori dadah yang sedang menjalani proses pemulihan.
 
Selain itu program ini juga bertujuan untuk memperkasakan keluarga supaya mampu bertindak sebagai pendukung utama dalam proses pemulihan dan kepulihan.
 
Antara penceramah yang terlibat dengan program ini adalah Hj Roslan Yahya, Setiausaha Agung PENGASIH, En Hafizi Harun, kaunselor Persatuan PENGASIH Malaysia, Dr Norni Abdullah, Ketua Jabatan Psikatri HTAR Klang dan En Md Noh Saiman, Ketua Unit Kaunseling LPPKN.
 
Perasmian penutup disempurnakan oleh Encik Adlan Maaruf Hj Mohd Idris, Eksekutif Bahagian Pemulihan Ar Riqab MAIS mewakili Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Ustaz Suhaimi Ismail.
Turut hadir ialah Presiden PENGASIH Malaysia, En Hafizi Harun, En Audi Azlie Mat Tahar, Timbalan Pengerusi PENGASIH Malaysia Selangor dan En Md Noh Saiman, Ketua Unit Kaunseling LPPKN.
 
Dalam ucapan Encik Adlan, beliau berkata, pihak MAIS amat menghargai usaha Persatuan PENGASIH Malaysia dalam melaksanakan proses pemulihan kepada asnaf riqab dan berharap jalinan kerjasama strategik antara MAIS dan Persatuan PENGASIH Malaysia akan terus dilaksanakan pada masa akan datang dalam usaha membantu proses pemulihan asnaf.
 
Sebelum itu, Encik Hafizi dalam ucapan aluan berkata, beliau berharap usaha dan dokongan semua pihak termasuk ahli keluarga dan penjaga kepada asnaf riqab ini amatlah penting dalam mewujudkan proses pemulihan dan kepulihan asnaf.
 
Tambah beliau lagi, usaha pihak MAIS yang selama ini terlibat secara langsung dalam proses pemulihan asnaf riqab sangat dihargai terutamanya bagi pihak keluarga asnaf tersebut.
 
Rata-rata peserta memberi maklumbalas yang baik dan berharap agar program seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor