Gen Q

PUASA YAK YAK YEAH

Alkisah tersiarlah berita sekumpulan individu Muslim yang ditangkap oleh pihak Penguatkuasa Agama kerana makan di khalayak ramai di siang hari bulan Ramadhan. Tangkapan seperti ini sudah menjadi norma setiap kali bulan Ramadhan sehingga pelbagai usaha dakwah dan penguatkuasaan giat dijalankan namun ianya tetap terjadi pada setiap tahun.

Oleh

Dr. Haji Halim bin Mokhtar (halim@uis.edu.my)
Pensyarah Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor

Kumpulan yang mungkin dikenali di kalangan masyarakat dengan nama Geng Barkobar Yak Yak Yeah, Geng Puasa Yang yok atau Geng Plastik hitam, telah mencalar kemuliaan Ramadhan akibat tindak tanduk mereka yang tidak berpuasa dan tidak menghormati Ramadhan serta makan di khalayak ramai atau di “port” terpilih. Tidak berasa malu kepada Allah SWT, keluarga serta masyarakat yang berbilang kaum dan lebih dahsyat lagi mereka semacam sengaja mempamerkan diri seperti adiwira apabila boleh membungkus makanan atau makan di kedai ketika orang lain berpuasa.

ALASAN TIDAK BERPUASA?
Beberapa alasan popular yang memualkan telah disediakan untuk menyelamatkan diri apabila ditangkap di antaranya terlupa sahur, terlupa niat, bekerja berat, tak sihat, tak tahan panas, sakit gastrik (gas kurang, trik lebih) tidak tahan dengan ajakan kawan serta berbagai-bagai alasan yang tidak relevan. Apa pun alasan, hakikatnya berani buat berani tanggung. Salah tetap salah!

RUGINYA TIDAK BERPUASA?
Generasi Muda mesti menjadikan Bulan Ramadhan adalah bulan yang hebat penuh bermakna dengan berbagai kelebihan yang telah Allah SWT anugerahkan di antaranya Bulan yang dibuka pintu Syurga dan ditutup pintu Neraka, Bulan yang diberikan ganjaran kebaikan berganda-ganda, Bulan yang mustajabnya Doa, Bulan untuk mujahadah jiwa, Bulan untuk bertadarus Al Quran, Bulan Solat Tarawih dan Bulan yang dikurniakan Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan dan pelbagai lagi kelebihan.

Generasi Muda mesti memahami bahawa berpuasa adalah kewajiban seorang Muslim dan mukmin untuk dilaksanakan bagi meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Di samping menghayati episod kehidupan mereka yang kurang bernasib baik dengan berlapar dan dahaga serta kemampuan untuk mengawal kehendak diri dan nafsu bagi mengelakkan diri daripada berbuat kemungkaran. Inilah bukti nilai taqwa dan integriti yang hebat di antara Hamba dengan Tuhannya.

AMARAN TIDAK BERPUASA!
Generasi Muda mesti memahami di sisi Agama bahawa orang yang sengaja berbuka puasa di dalam bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran adalah berdosa besar kerana meninggalkan salah satu daripada rukun Islam dan wajib diqada’kan. Di sisi Undang-undang pula, ketegasan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi amaran keras terhadap umat Islam di negeri Selangor yang tidak berpuasa dan didapati makan di khalayak ramai pada Bulan Ramadhan akan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi Hotline Penguatkuasa JAIS di talian 1-800-88-2424 atau 03 55143777.

Generasi Muda yang terlibat secara langsung dengan pengusaha makanan atau penghantar makanan mestilah meletakkan nilai Agama sebagai keutamaan selain daripada mengejar keuntungan. Perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan berdasarkan kaedah Fiqh “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” Jangan bersubahat untuk perkara yang boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadhan.

Ironinya, Generasi Muda mesti menghormati bulan Ramadhan dengan melaksanakan tanggungjawab berpuasa kerana keimanan. Tindakan makan di khalayak ramai pada siang hari dalam bulan Ramadhan adalah satu bentuk penghinaan kepada Syiar dan Syariat Islam. Nasihat dan pesanan buat Geng Barkobar Yak Yak Yeah, Geng Puasa Yang Yok dan Geng Plastik hitam pada tahun ini berazamlah untuk berpuasa sepenuhnya, malulah kepada Allah dan malulah kepada manusia. Insaflah selagi nyawa dikandung badan.“Tak hensem takpe, janji puasa”. .#Ramadhanterbaik. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button