Jendela Mahkamah

Perundangan Tauliah

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalankan fungsi berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:
‘Majlis hendaklah membantu dan menasihati DYMM berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan denganAgama Islam di dalam Negeri Selangor, kecuali perkara-perkara Hukum syarak dan berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Negeri Selangor selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini’

Oleh

Maryam Binti Md Zin (maryam@jais.gov.my)
Penolong Pengarah Penyelidikan, JAIS

Salah satu perkara berhubung dengan Agama Islam adalah hal-hal berkaitan dakwah. Dakwah berfungsi secara korektif bagi meluruskan akhlak, mencegah kemungkaran dan mengeluarkan manusia dari kegelapan rohani. Dakwah juga adalah mekanisme untuk menyampaikan ilmu Agama Islam kepada masyarakat iaitu ilmu akidah, syariah dan akhlak supaya masyarakat faham dan berilmu. MAIS telah mensyaratkan kepada pendakwah-pendakwah sebagai penceramah di Negeri Selangor untuk memohon tauliah bagi memudahkan kawalan dan pemantauan penyebaran ilmu dapat dilaksanakan.

Bagi tujuan ini, Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan bahawa MAIS hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Tauliah dan bertanggungjawab bagi melaksanakan keputusankeputusan Jawatankuasa itu. Dalam peruntukan ini juga turut menyatakan bahawa Jawatankuasa Tauliah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam
atau apa-apa perkara tentang Agama Islam serta menarik balik tauliah itu dan MAIS juga boleh membuat peraturan-peraturan bagi tujuan ini.

Oleh itu, MAIS telah mewartakan Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 bagi memudahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku Setiausaha kepada Jawatankuasa Tauliah serta pelaksana penguatkuasaan perundangan tauliah terutamanya bagi penguatkuasaan Seksyen 119 (Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dalam memantau setiap aktiviti ceramah di masjid dan surau di Negeri Selangor.

Peraturan 17 Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 menyatakan mengenai kuasa Jawatankuasa untuk menggantung atau menarik balik tauliah yang telah dikeluarkan kepada seseorang Pemegang Tauliah jika Jawatankuasa mendapati bahawa:

a) Pemegang Tauliah telah melanggar atau tidak mematuhi atau tidak menjalankan mana-mana terma, syarat atau sekatan yang dinyatakan dalam Tauliah;
(b) Pemegang Tauliah memberi ceramah umum atau mengajar pengajaran Agama Islam secara yang bertentangan dengan syariah atau Aqidah Islamiah;
(c) Pemegang Tauliah memberi ceramah umum atau memberi pengajaran Agama Islam yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau bagi mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia;
(d) Pemegang Tauliah memberi tafsiran yang tidak tepat, keliru atau menyeleweng dari ajaran sebenar agama dalam ceramah umum atau pengajaran Agama Islamnya;
(e) Pemegang Tauliah tidak mematuhi apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan secara sah oleh MAIS atau Jawatankuasa; atau
(f) Pemegang Tauliah berkelakuan dengan cara yang mencemarkan Agama Islam.

Justeru, berdasarkan Peraturan 20, apabila Jawatankuasa menggantung atau menarik balik sesuatu Tauliah, pemegang tauliah hendaklah terhenti dari menjalankan apa-apa ceramah umum atau mengajar Agama Islam sebagaimana yang sebelumnya dibenarkan.

Sehingga kini, perundangan tauliah di Negeri Selangor masih berkuat kuasa dan masyarakat perlu mematuhi dan
menghormatinya agar usaha ini dapat mengekang penyebaran ideologi sesat, menyeleweng serta amalan-amalan yang tidak berlandaskan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

Bagi menjamin kesejahteraan orang Islam agar berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengawasi mereka supaya menjalani kehidupan mengikut syariat Islam, fungsi Mahkamah Syariah akan terus di perkasa demi kelangsungan keharmonian negara. Edisi

Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila hubungi:
Bahagian Undang-Undang Syariah, Sektor Undang-Undang, Majlis Agama Islam Selangor
Tingkat 6, Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor.
Tel: 03-5514 3643 • Fax: 03-5512 7202 • Portal Rasmi: www.mais.gov.my

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button