1/2023Jendela Mahkamah

FUNGSI MAHKAMAH SYARIAH

Apa itu Mahkamah Syariah? Mahkamah Syariah ialah tempat di mana orang Islam dilantik dan diberi kuasa kehakiman untuk mendengar dan menyelesaikan secara adil sebarang pertikaian mengenai hak dan tuntutan orang Islam mengikut undang-undang Islam. Selain itu, ia juga ialah tempat yang membicarakan serta menjatuhkan hukuman ke atas orang Islam yang melakukan perbuatan yang bersalahan dengan ajaran Agama Islam

Disusun oleh: Bahagian Komunikasi Korporat, MAIS

Bagaimanakah Mahkamah Syariah wujud di Malaysia? Ia bermula dengan kewujudan kerajaan Islam di Nusantara sejak tahun 840M dengan adanya jawatan Kadi, sheikhul Islam dan mufti. Bermula apabila Parameswara memeluk agama Islam di Melaka, selama hampir 100 tahun lebih di zaman kesultanan Melayu undangundang Islam telah berkembang dan dilaksanakan di negara ini dengan pelantikan ulama’ sebagai rujukan perlaksanaan undangundang Islam, teks undang-undang berasaskan syariat Islam diwujudkan serta pewujudan jawatan Kadi sebagai pentadbir pengadilan agama.

Pelaksanaannya termasuk di Negeri Selangor yang berada di bawah jajahan takluk Melaka pada ketika itu. Sehingga zaman penjajahan sebelum kemerdekaan, Mahkamah Syariah dinamakan Mahkamah Kadi di setiap negeri. Bidang kuasa yang diberikan adalah seperti perkahwinan, penceraian, kekeluargaan serta penyelesaian harta pusaka kecil.

Peranan Mahkamah Syariah di Negeri Selangor sentiasa diperkasa apabila Undang-undang Mencegah Berzina pertama kali dikanunkan pada tahun 1894. Pada tahun 1900, Undangundang Pendaftaran Nikah Kahwin dan Cerai Orang-orang Islam diluluskan dan terus diperkasakan melalui beberapa pindaan pada tahun 1984. Enakmen Perundangan Islam Selangor telah diluluskan pada tahun 1989 dan Mahkamah Syariah Selangor dinamakan secara rasmi kemudian pada tahun 2003 ditukar kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) sehingga kini.

Mahkamah Rendah Syariah berfungsi membicarakan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan kesalahan terhadap rukun Agama Islam dengan hukuman maksimum tidak melebihi RM 3,000.00 atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya. Selain itu ia juga berfungsi dalam tuntutan mal dengan nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi RM 300,000.00 atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Mahkamah Tinggi Syariah juga berfungsi membicarakan kesalahan jenayah syariah dan kesalahan terhadap rukun agama Islam. Selain itu mendengar dan memutuskan hal ehwal mal yang berhubung dengan pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan, nusyuz, faraq, hal berkaitan dengan perhubungan suami isteri, pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit, nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, hadhanah, pembahagian atau tuntutan harta sepencarian, wasiat, penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, wakaf atau nazr, pembahagian dan pewarisan harta wasiat, pembahagian harta pusaka, pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi seorang Islam, pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya, pentadbiran masjid-masjid serta perkara lain yang diberikan bidang kuasa oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Mahkamah Rayuan Syariah berfungsi mendengar dan memutuskan rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah serta mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah.

Bagi menjamin kesejahteraan orang Islam agar berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengawasi mereka supaya menjalani kehidupan mengikut syariat Islam, fungsi Mahkamah Syariah akan terus di perkasa demi kelangsungan keharmonian negara. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button