Jendela Mahkamah

Cerai Express, Ada penyelesaiannya

Perkahwinan adalah untuk mengekalkan kehidupan berumah tangga pasangan suami isteri. Allah telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab perkahwinan untuk menjamin pengekalannya serta menyuburkan hubungan mereka.

Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat suami isteri atau seorang daripada mereka tidak mematuhinya. Oleh itu, dalam hubungan sesebuah keluarga, perkara yang paling ditakuti adalah perceraian.

Pelbagai faktor perceraian itu berlaku. Ia boleh berlaku disebabkan wujudnya orang ketiga, tiada persefahaman dalam perhubungan, masalah kewangan dan pelbagai lagi. Oleh itu, perceraian ini merupakan jalan terakhir perhubungan sekiranya suami dan isteri tidak bersefahaman lagi.

Di negeri Selangor, proses perceraian ini dapat dilaksanakan dengan pantas. Proses perceraian ini telah diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) pada tahun 2014.

Pasangan yang mencapai persetujuan bersama untuk bercerai tidak perlu lagi menunggu 90 hari bagi menyelesaikan kes mereka. Sebaliknya, proses itu diselesaikan kurang enam (6) jam apabila JAKESS memperkenalkan proses kerja ‘fast track’ bagi kes cerai.

Di bawah proses tersebut, tempoh masa penyelesaian kes cerai dengan talaq yang difailkan secara persetujuan bersama di bawah seksyen 47 Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor (2003) dapat dipendekkan iaitu bermula daripada masa pendaftaran kes sehingga perintah bertulis dikeluarkan.

Objektif pelaksanaan proses ini adalah seperti berikut:

  1. Memastikan kes di bawah Seksyen 47 Enakmen Undangundang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 diselesaikan dengan cepat, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan
  2. Memastikan proses pengurusan prapendaftaran kes Seksyen 47 EUKIS 2003 hingga perintah bersih dikeluarkan dapat dilaksanakan dengan cepat, sistematik dan berkesan
  3. Mewujudkan kesefahaman antara JAKESS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam menyelesaikan kes Seksyen 47 EUKIS
  4. Memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman syariah di Negeri Selangor Darul Ehsan

Walaupun cerai itu adalah jalan pengakhirannya, namun ia perlulah dijaga adabnya agar masyarakat sekeliling terus berpandangan positif terhadap pasangannya. Sahibus Samahah Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri dalam kenyataannya pada 24 Ogos 2017, nasihat kepada pasangan suami isteri, cara ihsan dalam perceraian itu termasuklah dengan mendaftarkan perkahwinan dan perceraian mengikut saluran yang sah bagi
menjaga maslahat dan menolak mudarat pasangan khususnya pihak wanita. Ini termasuklah proses dokumentasi. Ini kerana kaum wanita perlu memerhatikan waktu iddah, tidak boleh menerima lamaran dan diharamkan untuk berkahwin dengan orang lain dalam tempoh tersebut.

Kegagalan pasangan khususnya bekas suami untuk mendaftarkan perceraian dan mendapatkan dokumen pengesahan mempunyai risiko mudarat bagi pihak bekas isteri jika dia ingin berkahwin dengan orang lain selepas iddah tamat. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button