4/2022Jendela Mahkamah

Kejahilan dalam Perceraian

Oleh

 Bahagian Komunikasi Korporat, MAIS

Perceraian. Perceraian dalam institusi kekeluargaan adalah bukan satu keinginan dalam membina sesebuah keluarga yang bahagia. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan agar ia menjadi suatu mimpi indah bagi seorang suami dan isteri dalam melayari bahtera keluarga.

Keunggulan sesebuah institusi keluarga itu adalah dengan melaksanakan penghayatan Islam yang menyeluruh untuk setiap ahli keluarganya. Ketua keluarga iaitu seorang suami hendaklah menjadikan Islam sebagai panduan dan acuan dalam kehidupan yang meliputi perekonomian, sosial dan pembinaan sahsiah. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 208: “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Berbalik kepada perihal perceraian. Perceraian yang kebiasaannya berlaku di negara Malaysia ialah cerai melalui  lafaz talak yang hanya boleh dibuat oleh seorang suami. Antara punca-punca berlakunya perceraian adalah:

Tidak menghayati tujuan dan matlamat perkahwinan dalam Islam

Gagal mengurus perbezaan pendapat dan fahaman antara suami dan isteri

Campur tangan orang lain dalam rumahtangga

Tiada kematangan dalam mendirikan rumahtangga

Seterusnya lafaz talak. Lafaz talak terbahagi kepada dua sama ada secara jelas (sarih) atau kiasan (kinayah). Disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/116-118):

“Lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain, dinamakan lafaz nyata. Sementara lafaz yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas, boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq. Ia dinamakan lafaz kiasan.”

Lafaz yang nyata juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.”

Oleh itu, dalam kehidupan berumah tangga, perkara berkaitan dengan perceraian ini perlu dititikberatkan agar  perkara-perkara yang boleh memusnahkan sesebuah institusi kekeluargaan itu tidak akan berlaku. Jangan kita dilihat sebagai jahil dalam institusi rumah tangga.

Islam tidak menggalakkan perceraian berlaku. Umat Islam dikehendaki menghayati hikmah di sebalik perkahwinan dalam Islam dengan adanya elemen positif seperti ketenangan, kebahagiaan, kemesraan, pemeliharaan iman dan seterusnya menjadikan perkahwinan itu sebagai suatu ibadah yang dituntut dalam Islam.

Di Negeri Selangor, institusi yang bertanggungjawab menentu sahkan perceraian masyarakat yang beragama Islam ialah Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS). Kini JAKESS telah melaksanakan proses cerai yang dinamakan Fast Track. Pasangan yang mencapai persetujuan bersama untuk bercerai tidak perlu lagi menunggu 90 hari bagi menyelesaikan kes mereka. 

Sebaliknya, proses itu diselesaikan kurang enam jam untuk proses perceraian. Untuk maklumat lanjut boleh layari www.jakess.gov.my. 

Akhirnya, perceraian itu bukanlah suatu pengakhiran dalam hidup rumahtangga. Apa yang paling penting bagi kita adalah sikap bertolak ansur antara satu sama lain dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. Dengan cara sebegini, kebahagiaan dan keharmonian dalam rumahtangga akan terus dapat dikekalkan, insyaAllah.

Wallaualam. Edisi

Related Articles

Back to top button