Gen Q

Farhatul Fairuzah Kongsi Tips Jadi Infuencer Sukses

Siapa yang tidak kenal dengan Juara Tilawah Al Quran peringkat antarabangsa iaitu Nor Farhatul Fairuzah. Farhatul Fairuzah lebih dikenali ramai apabila selepas memasuki pertandingan tersebut serta telah memartabatkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila merangkul gelaran juara.

Oleh

Shahrul Effendy bin Md Saat (fendy@mais.gov.my)
Eksekutif Perhubungan Awam & Khidmat Pelanggan MAIS

Selain aktif sebagai pengacaraan dalam rancangan Islamik, penuntut pengajian Pendidikan Al-Quran dan Al Sunnah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia ini banyak menjadikan platform media sosial seperti TikTok dan Instagram untuk membangkitkan rasa cinta remaja lain kepada Al-Quran.

BIODATA:
Nama: Nor Farhatul Fairuzah binti Panut
Tarikh Lahir: 19 Mei 2000
Asal: Sepang, Selangor
Adik Beradik: Anak bongsu dari 5 adik beradik
Latar Belakang Pendidikan: Sekolah Rendah Sungai Rawang, Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi, Sekolah Agama Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan (SMAPL) – Syariah, Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – masih dalam pengajian

ANUGERAH/PENCAPAIAN:
2022 – Ahli Mahkota Selangor (A.M.S), “Top Rising Achievement
Award In Al-Quran Recitatio (Tilawah)”
2021-2022 – Ikon Dakwah Yayasan Dakwah Islam Malaysia
(YADIM)
2021 – Ikon Kemanusiaan Cinta Syria Malaysia
2019 – Johan Qariah Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran
Peringkat Kebangsaan (MTHQA)
2014 – 2017 – Juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan;

Memiliki lebih 915,000 pengikut TikTok dan sejuta lebih pengikut di laman Instagram sekaligus menjadikan Farhatul sebagai seorang infuencer yang dikenali ramai terutama nilai-nilai dan perkongsian positif yang ditonjolkan ternyata memberi inspirasi.

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengadakan temubual dengan beliau, menyingkap serba sedikit tentang dirinya sebagai personaliti TV, pelajar dan infuencer yang dikenali ramai.

EDISI MAIS: Boleh ceritakan serba ringkas perkembangan
terkini Farhatul?

FARHATUL: Saya masih seorang pelajar dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tinggal beberapa bulan sahaja akan tamat, InsyaAllah saya ada impian untuk menyambung pengajian Master dalam bidang Al-Quran juga. Selain itu saya kini bergiat aktif dalam memenuhi jemputan program-program televisyen dan juga program keagamaan terutama program Al-Quran dan motivasi untuk anak-anak muda.

Farhatul seorang pelajar, personaliti TV dan infuence. Boleh kongsikan tips untuk jadi pempengaruh yang sukses?

Ya, saya masih lagi seorang pelajar dan dalam masa yang sama aktif dalam media sosial serta program televisyen. Kesemuanya bukan mudah untuk kita bahagikan masa dan saya cuba sebaiknya. Untuk tips, bukan mudah untuk jadi infuence yang sukses, mungkin orang hanya melihat sisi famous sahaja, tetapi kita perlu bijak dan berilmu pengetahuan. Tidak salah untuk jadi infuencer kepada masyarakat terutama golongan remaja, namun seharusnya memberi manfaat kepada orang lain.

Alhamdulillah, Farhatul mendapat pelbagai anugerah pencapaian dan antaranya ialah juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan selama empat tahun berturut-turut pada 2014, 2015, 2016 dan 2017. Bagaimana Farhatul mendalami bacaan Al-Quran dan apakah rahsianya?

Saya belajar Al-Quran dan Taranum pada usia 5 tahun dan menyertai pertandingan tilawah pada usia 7 tahun. Ibu dan arwah ayah merupakan qari dan qariah. Daripada situ tercetusnya ingin mendalami Al-Quran dengan sebaiknya. Saya mendalami dengan membaca Al-Quran setiap kali solat fardhu dan amalan membaca Al-Quran 15 minit selepas solat untuk ‘lunakkan suara’. Nak capai sesuatu anugerah bukan mudah, saya bersyukur sangat-sangat dan yang penting adalah kesabaran, berusaha dengan sebaiknya serta tawakal kepada Allah dan yang paling penting adalah keberkatan doa dari ibu bapa kita. Itulah rahsianya, kita perlu berdoa untuk ibu bapa kita dan mintalah doa kepada mereka untuk kita berjaya dunia dan akhirat.

Farhatul adalah salah seorang pelajar tajaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga kini. Apakah bantuan tajaan yang diterima?

Alhamdulillah, pertama sekali saya bersyukur kepada Allah SWT atas rezekiNya. Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana telah menaja yuran pengajian saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga kini. Bantuan tajaan yang saya terima adalah sumbangan keseluruhan bantuan pelajaran Program Pengajian Ijazah Pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pesanan Farhatul kepada pelajar-pelajar di luar sana untuk berjaya dalam kehidupan?

Kalau nak bagi pesanan ni saya pun masih lagi belajar dan belum layak lagi. Tapi berdasarkan pengalaman yang saya ada, untuk berjaya ni bukanlah mudah dan perlukan pengorbanan. InsyaAllah yakin pada diri sendiri, kejayaan akan datang pada satu hari nanti. Teruskan berusaha sentiasa bersemangat serta berfkiran positif dalam apa jua keadaan sekalipun. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button