SERAMAI 317 PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN, MAIS BERJAYA DIPULIHKAN

SERAMAI 317 PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN, MAIS BERJAYA DIPULIHKAN

393272207 708409201204282 9210832399038286906 n
SABAK BERNAM, 19 Oktober – Sepanjang lima tahun bermula 2018 sehingga 2022 seramai 317 orang pelatih wanita yang telah berjaya tamat tempoh pemulihan di Pusat Perlindungan Baitul Ehsan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kembali ke jalan yang benar dan diredhai Allah.
 
Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan setiap tahun khusus kepada pelatih yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah bagi melancarkan proses pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan agar mereka yang tersasar ini kembali ke pangkal jalan. Setiap pelatih perlu mengikuti semua program pemulihan mengikut tempoh yang telah ditetapkan berdasarkan masalah sosial atau akidah yang dihadapi.
 
Angka ini menunjukkan MAIS terus komited dalam menghasilkan insan yang bukan sahaja baik dari segi akhlak rohaninya, malahan mempunyai kualiti dalam mendepani cabaran kehidupan di luar sana.
MAIS juga berharap masyarakat di luar sana turut memberikan sokongan dan dorongan kepada mereka yang telah berjaya dipulihkan ini, agar dapat istiqamah berubah ke arah yang lebih baik untuk mereka kekal di jalan yang benar. Begitu juga terhadap mereka yang dikenalpasti mempunyai masalah sosial dan ingin berubah, bolehlah berhubung terus dengan Pusat Pemulihan Wanita Baitul Ehsan MAIS.
 
Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan yang terletak di Sabak Bernam adalah merupakan salah sebuah Rumah Pemulihan Majlis di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menempatkan golongan wanita dan gadis yang terlibat dengan gejala sosial dan akidah yang memerlukan bimbingan bagi proses pemulihan rohani dan jasmani.
 
Bagi memberikan penghargaan kepada pelatih-pelatih, Pusat Perlindungan Baitul Ehsan MAIS hari ini telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pelatih Baitul Ehsan 2023 yang merupakan salah satu program besar tahunan yang bertujuan memberikan penghargaan kepada pelatih-pelatih yang telah berjaya proses pemulihan dalam bidang akademik, kemahiran dan sahsiah sepanjang tahun 2023.
 
Seramai 22 orang pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan telah menerima anugerah meliputi kategori Anugerah Khas Baitul Ehsan, Anugerah Disiplin Terbaik, Anugerah Sahsiah & Kepimpinan, Anugerah Ketua Pelatih Terbaik dan Anugerah Pelajaran Terbaik.
 
Di samping itu, dalam mengenang jasa para pendidik yang telah bertungkus lumus membantu memberi bimbingan kepada pelatih-pelatih sehingga berjaya, pihak MAIS juga berbesar hati memberi penghargaan kepada Guru Pembimbing Riqab Baitul Ehsan iaitu seramai 26 orang.
 
Majlis perasmian dan penyampaian anugerah kepada penerima anugerah telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Puan Hajjah Norzaihan binti Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS. Turut hadir ialah Prof Madya Dr. Salasiah binti Hanin Hamjah, Pengerusi Lembaga Pelawat Baitul Ehsan dan Ustaz Suhaimi bin Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.
 
Sementara itu, MAIS juga mempunyai dua buah lagi Rumah Pemulihan Majlis (RPM) iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman dan Pusat Pemulihan Dadah Baitul Islah serta 32 buah Rumah Pemulihan ar-Riqab (RPR) yang berdaftar di bawah MAIS yang berperanan membantu pemulihan mereka yang mengalami masalah sosial dan akidah dari pelbagai kategori.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor