PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT RIQAB BERSAMA KOMUNITI KAMPUNG JAWA

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT RIQAB BERSAMA KOMUNITI KAMPUNG JAWA

381446379 695260852519117 2086707783501655579 n
KLANG, 25 September – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pemulihan Riqab menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Riqab bersama Komuniti Kampung Jawa pada 22-24 September lalu sempena Kempen Bulan Pembebasan Riqab MAIS 2023 sepanjang bulan September ini.
 
Seramai 40 orang dikalangan asnaf riqab terlibat dalam program ini yang bertujuan memberi pendedahan kepada asnaf riqab untuk menabur bakti dan melakukan khidmat masyarakat kepada penduduk kampung. Selain itu, mereka juga diberi peluang untuk berukhwah sesama masyarakat dan menjalinkan hubungan silaturrahim.
 
Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 300 orang penduduk di sini dengan kerjasama Agensi Anti Dadah AADK Selangor, Padang Jawa Care (PJ Care), Klinik Kesihatan Pendamaran dan Rumah Pemulihan Riqab iaitu Rumah PINTAS, Sahabat dan Teduhan Kasih.
 
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah Bual Bicara Sembang Santai yang bertajuk Masih Ada Peluang Kedua yang disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS dan Ustaz Mohd Yasser Abd Ghani, Eksekutif Pemulihan Riqab MAIS yang dikendalikan oleh moderator iaitu Ustaz Fadzirul Akmal bin Mohd Syarif, Penguasa Baitul Islah MAIS&AADK.
 
Selain itu turut diadakan aktiviti gotong royong bersama penduduk, penyampaian bantuan makanan kepada asnaf fakir miskin, pembukaan kaunter pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Kesihatan pandamaran, kaunter pameran dadah oleh AADK Selangor serta pelbagai aktiviti pertandingan yang menarik.
 
Perasmian penutup disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Sosial MAIS. Dalam ucapannya beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program dan berharap agar asnaf riqab yang terlibat dapat menggunakan peluang yang ada untuk berkhidmat kepada masyarakat. Turut hadir dalam perasmian penutup tersebut ialah Dato’ Fairus Pengerusi Padang Jawa Care ( PJ Care).
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor