PROGRAM IHTIFAL PERDANA ASNAF RIQAB, BINA SAHSIAH JATI DIRI 300 PELATIH RUMAH PEMULIHAN RIQAB MAIS

PROGRAM IHTIFAL PERDANA ASNAF RIQAB, BINA SAHSIAH JATI DIRI 300 PELATIH RUMAH PEMULIHAN RIQAB MAIS

457310928 890102916368242 3945341735573374021 n
Hulu Yam Baru, 29 Ogos – Biarpun mereka merupakan pelatih yang memerlukan bimbingan untuk pemulihan, namun tidak menghalang mereka untuk membina sahsiah dan jati diri dengan menyertai Majlis Ihtifal Perdana Asnaf Riqab Tahun 2024 yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
 
Majlis Ihtifal Perdana Asnaf Riqab melibatkan pelatih seramai 300 orang peserta dikalangan pelatih-pelatih Rumah Pemulihan Riqab dan Rumah Pemulihan Majlis. Antara pelatih-pelatih terdiri daripada Rumah Penawar, Rumah Pemulihan Hidayah Insani, Rumah Sahabat, Rumah Bela Insan, Rumah Penjagaan Damai dan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah.
 
Program yang diadakan bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan semangat kerjasama dan persaingan sihat dalam membantu membina sahsiah dan jati diri di samping mengeratkan silaturrahim di antara Rumah Pemulihan Riqab dan Rumah Pemulihan Majlis.
 
Sepanjang program tersebut sebanyak tujuh pertandingan yang dipertandingkan iaitu Acara Nasyid, Bercerita Kisah Nabi (Lelaki/Wanita), Azan dan Iqamah, Deklamasi Sajak (Lelaki/Wanita), Tilawah Al-Quran (Lelaki/Wanita), Hafazan (Lelaki/Wanita) dan Kuiz Agama.
 
“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh pihak MAIS ini dan terharu dengan program yang telah disusun. Sekurang-kurangnya kami dapat menyertai pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada kami. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan untuk mencungkil bakat-bakat pelatih di rumah pemulihan di bawah MAIS,” ujar salah seorang peserta program ini.
 
Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Dr Hajah Norzaihan Mohd Zain, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS. Dalam ucapannya beliau menyatakan program tersebut adalah sangat baik dalam membina sahsiah dan jati diri pelatih dalam meneruskan kehidupan selepas keluar daripada rumah pemulihan nanti.
 
“Dengan adanya program seperti ini juga dapat memberikan dorongan kepada pelatih supaya mempunyai sikap berdaya saing serta menjadi lebih positif dan cemerlang dalam membina masa depan yang lebih baik.” ujarnya. Turut hadir Dr Hajah Norraini Nordin, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS.
 
Pada tahun ini, MAIS memperuntukkan sebanyak RM12.7 juta kepada Rumah Pemulihan Riqab menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf riqab khususnya di Selangor.
 
Sumbangan tersebut meliputi kos program, pengurusan dan penjagaan asnaf riqab di Rumah Pemulihan Riqab di bawah seliaan MAIS.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor