PELATIH-PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN DIBERI PENGHARGAAN
PELATIH-PELATIH PUSAT PERLINDUNGAN WANITA BAITUL EHSAN DIBERI PENGHARGAAN
SABAK BERNAM, 26 Oktober – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus memperkenalkan program yang dapat memberi manfaat kepada golongan asnaf riqab antaranya adalah pelatih-pelatih di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.
Pelbagai program diterjemahkan bagi tahun 2022 kepada pelatih terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan selain pelbagai bantuan lain agar golongan terbabit kembali ke pangkal jalan.
Bagi memberikan penghargaan kepada pelatih-pelatih yang telah berjaya menamatkan tempoh pemulihan dengan cemerlang, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS telah menganjurkan Hari Kecemerlangan Penghuni Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan tahun 2022 hari ini.
Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini bertujuan menyuntik semangat kepada pelatih supaya terus berusaha untuk mencapai kejayaan, di samping memberi dorongan dan keyakinan untuk berjaya dalam bidang akademik walaupun berada di dalam pusat perlindungan.
Selain itu, penghargaan ini memberi peluang kepada mereka untuk membentuk sahsiah diri supaya menjadi insan lebih sempurna dan cemerlang.
Seramai 22 orang pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan telah menerima anugerah meliputi kategori Anugerah Khas Baitul Ehsan, Anugerah Disiplin Terbaik, Anugerah Terbaik Mengikut Kelas Kemahiran Vokasional, Anugerah Terbaik Mengikut Mata Pelajaran Fardhu Ain, Anugerah Sahsiah & Kepimpinan dan Anugerah Ketua Pelatih Terbaik.
Penghargaan ini turut diberikan kepada guru pembimbing sebanyak 26 orang yang menjadi tunjang utama kepada kejayaan pelatih-pelatih di sini.
Majlis perasmian dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Puan Nurhani Salwa Jamaluddin, Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS. Turut hadir ialah Ustaz Mohamed Mekkah Husin, Pegawai Tadbir Agama Islam Sabak Bernam dan Puan Nazatushima Osman, Penguasa Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.
Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan merupakan pusat perlindungan di bawah Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS yang memberi perkhidmatan, perlindungan, pemulihan, kaunseling dan latihan yang dinamik terhadap wanita yang terdedah kepada gejala sosial selaras dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Putra Heights – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini...
SHAH ALAM, 11 April – Seramai 73 pelajar dari Fakulti...
SABAK BERNAM, 10 April 2025 – Pengerusi Majlis Agama Islam...
PUTRA HEIGHTS, 6 APRIL-Pengerusi MAIS, Yang Amat Dihormati Dato’ Setia...
PENGERUSI MAIS TURUT IRINGI YANG DI-PERTUAN AGONG MENYANTUNI MANGSA KEBAKARAN PAIP GAS PUTRA HEIGHTS
SUBANG JAYA, 5 April – Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin...