MULTAQA PENDAKWAH BERTAULIAH NEGERI SELANGOR DAN PELANCARAN PERKHIDMATAN DIGITAL PENGURUSAN TAULIAH MENGAJAR NEGERI SELANGOR

MULTAQA PENDAKWAH BERTAULIAH NEGERI SELANGOR DAN PELANCARAN PERKHIDMATAN DIGITAL PENGURUSAN TAULIAH MENGAJAR NEGERI SELANGOR

395422716 713408517371017 8436650758926477577 n
SHAH ALAM, 28 Oktober 2023 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) buat julung kalinya telah menganjurkan Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor (PBNS) bagi menghimpunkan lebih kurang 600 pendakwah bertauliah di seluruh negeri Selangor yang turut dihadiri oleh figura-figura ilmuan Islam di MBSA Convention Centre, Shah Alam.
 
Program ini telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan ini jelas menunjukkan bahawa Baginda sangat menitikberatkan perkara-perkara yang melibatkan pengurusan tauliah di negeri Selangor. Program ini juga adalah sebagai wadah kepada semua penerima tauliah di negeri Selangor untuk menimba ilmu serta bertukar pandangan dalam arena dakwah kepada masyarakat khususnya di negeri Selangor.
 
Dalam pertemuan ini, para peserta dan tetamu undangan telah disajikan dengan segmen-segmen yang memfokuskan kepada tema pendakwahan iaitu Segmen Khas Bersama SS Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar bin Haji Opir dengan tajuk ‘Pendakwah Pencetus Kesatuan Ummah’ dan Segmen Khas Bicara Tauliah oleh Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Selangor, YBhg. Dato’ Profesor Madya Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah bertajuk ‘Aplikasi Maqasid Syariah Dalam Keperluan Tauliah Mengajar’.
 
MAIS dan JAIS turut mengambil peluang ini bagi melancar dan memperkenalkan Perkhidmatan Digital Pengurusan Tauliah Mengajar Negeri Selangor yang dirasmikan oleh Pengerusi MAIS, YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof. MAIS dan JAIS komited dalam pembangunan inovasi dengan menyediakan sistem digital yang akan menghasilkan kualiti kerja yang lebih efektif dan telus dalam pengurusan tauliah di negeri Selangor. Sistem E-Tauliah ini merupakan yang pertama di Malaysia dan Selangor merupakan perintis kepada pembangunan pengurusan tauliah secara digital sepenuhnya. Kad Tauliah Mengajar telah melalui beberapa transformasi iaitu bermula pada tahun 1988, 2003, 2010, 2017 dan yang terkini pada tahun 2023 dengan memperkenalkan Kad Digital Perakuan Tauliah.
 
Terdapat 9 modul yang boleh didapati dalam Sistem E-Tauliah seperti Permohonan, Ujian Penilaian, Temu Duga, Mesyuarat Jawatankuasa, Kad Digital Perakuan Tauliah, Aduan Awam, Rekod Kehadiran Berceramah, Carian Awam dan Laporan & Statistik. Sistem ini dibangunkan bagi memudahkan urusan bakal pendakwah, pendakwah sedia dan orang awam membuat urusan berkaitan pentauliahan secara dalam talian berdasarkan kepada modul-modul tersebut.
 
Sebagai maklumat tambahan, terma Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor (PBNS) telah dikuatkuasakan di negeri Selangor pada penghujung tahun 2021 bagi menggantikan istilah penceramah bebas atau pendakwah bebas yang lazim digunakan dalam hebahan poster atau banner. Justeru, mana-mana Pemegang Tauliah yang diundang oleh masjid atau surau di negeri Selangor hendaklah menggunakan terma sebagai Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor.
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor