MAIS HASILKAN PENERBITAN PENYELIDIKAN BAGI ISU-ISU HAL EHWAL ISLAM SELANGOR

MAIS HASILKAN PENERBITAN PENYELIDIKAN BAGI ISU-ISU HAL EHWAL ISLAM SELANGOR

412252305 741054661273069 3747135610544443710 n
SHAH ALAM, 20 Disember – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerbitkan buku penyelidikan bagi isu-isu hal ehwal Islam Selangor yang menghimpunkan sebanyak 6 kajian yang bertujuan menyebar luas dan memberikan kefahaman serta maklumat terkini berkenaan isu hal ehwal Islam di Selangor.
 
Majlis pelancaran penerbitan penyelidikan MAIS telah disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Majlis Perasmian Penutup Simposium Kajian Islam Semasa Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.
Pusat Penyelidikan MAIS (PPM) bertanggungjawab terhadap setiap penyelidikan dan penerbitan yang dilaksanakan oleh MAIS.
 
Penerbitan penyelidikan MAIS yang dilancarkan ini merupakan hasil para penyelidik yang telah dilantik oleh MAIS dalam menyelesaikan isu-isu umat Islam di negeri Selangor.
 
Proses pemilihan, saringan dan semakan artikel bagi penerbitan ini telah dilaksanakan melalui kumpulan editor yang telah dilantik.
 
Hasil kajian penyelidikan yang telah dilaksanakan oleh MAIS bermula tahun 2019 sehingga tahun 2023 adalah sebanyak 26 kajian yang melibatkan tujuh buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara.
 
Antara IPT yang pernah terlibat dalam membantu MAIS dalam melaksanakan penyelidikan adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI).
 
Kajian yang dilaksanakan ini juga merupakan permohonan daripada Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor dan anak syarikat MAIS dan hasil dapatan kajian tersebut akan digunakan sebagai panduan dalam melaksanakan Tindakan dan masalah yang berlaku. Antara jabatan dan agensi yang pernah mendapatkan perkhidmatan ini ialah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
 
Antara kajian yang telah dihasilkan bagi tahun 2023 ialah Kajian Asas Perundangan, Tempoh Dan Rubrik Penilaian Bagi Pemulihan Asnaf Al-Riqab; Kajian Lanjut Berkenaan Penentuan Qaryah Dan Balad Dari Perspektif Fiqh Semasa; Kajian Analisis Profil Anak Yatim Dan Keperluan Pendidikan Yang Bersesuaian Di Negeri Selangor; Kajian Berkenaan Sambutan Kebudayaan, Perayaan Dan Upacara Kematian Masyarakat India Dan Orang Asli Bagi Masyarakat Islam Di Negeri Selangor dan Kajian Mengenai Amalan Kes-Kes Inquistorial Mal Di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor: Penilaian Dan Keberkesanan.
 
MAIS berharap penerbitan penyelidikan ini dapat dijadikan panduan kepada masyarakat agar lebih cakna terhadap setiap tindakan yang telah dilaksanakan oleh MAIS dan JAIS berhubung isu-isu hal ehwal Islam di negeri Selangor.
 
Sementara itu, Simposium Kajian Islam Semasa Peringkat Negeri Selangor yang diadakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan serta kefahaman kepada masyarakat berhubung informasi terkini berkaitan hal ehwal Islam Selangor.
 
Majlis yang dianjurkan secara bersama ini oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS dan Institut Pemberdayaan Ummah Selangor (INSPES) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan MAIS.
 
Turut hadir ialah Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS dan Puan Salwana Ahmad Dahalan, Timbalan Pengarah Operasi JAIS.
 
 

Add Your Heading Text Here

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor