MAIS ANJUR PROGRAM MUKHAYYAM KOMUNITI DISAYANGI TAHUN 2023

MAIS ANJUR PROGRAM MUKHAYYAM KOMUNITI DISAYANGI TAHUN 2023

364749062 667001925345010 6290345995346688955 n
 
 
HULU SELANGOR, 29 Julai – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Bahagian Pemulihan Al Riqab menganjurkan Program Mukhayyam Komuniti Disayangi Tahun 2023 pada 27-29 Julai 2023 yang lalu.

Seramai 60 orang di kalangan Komuniti Disayangi kategori LGBT daripada negeri Selangor dan Johor hadir dalam program yang diadakan di Kalumpang Resort & Training Centre.

Program bertujuan untuk memberi kesedaran kerohanian kepada peserta bagi menyedarkan mereka tentang hakikat kehidupan sebagai hambaNya. Selain Itu, program ini juga bertujuan untuk memberi pengajaran mengenai semangat berpasukan dengan lebih baik dan berkesan dalam proses penyampaian dakwah sesama ahli komuniti yang lain.

Program ini juga mendapat kerjasama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi menjayakan program ini.

Antara Penceramah program ini adalah Dr Mohd Izwan Md Yusof, Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti JAKIM, Pn Zarina binti Hamzah, Pegawai Psikologi Kolej Komuniti Hulu Selangor dan Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, Fasilitator Al Iman Motivation Training.

Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan aktiviti berkumpulan dan aktiviti luar seperti merentas hutan dan merentas sungai bagi memupuk semangat kerjasama sesama ahli komuniti serta sesi perkongsian sesama ahli bagi memberi peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar pendapat dan idea.

Perasmian penutup disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Norizan Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM.

Turut hadir ialah Ustaz Suhaimi Ismail, Pengarah Pembangunan Sosial MAIS dan Ustazah Hajah Maimunah binti Othman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Islam JAINJ.

Dalam ucapan Tuan Haji Mohd Norizan, beliau berkata pihak JAKIM bersama Bahagian Pemulihan Ar Riqab MAIS dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri seperti Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sentiasa komited dan menggembleng tenaga bagi membimbing asnaf-asnaf Riqab kategori LGBT, agar mereka perlu berusaha untuk berubah mengikut panduan yang diajarkan oleh Islam dan menjalani kehidupan yang selari dengan tuntutan Syariat.

Tambah beliau lagi, pihak agensi-agensi agama di Malaysia berusaha mengekang usaha-usaha daripada gerakan LGBT sedunia yang semakin kuat menuntut hak mereka dan mengharapkan kerjasama yang penuh dari semua pihak termasuk ahli-ahli komuniti yang sedang berusaha untuk berhijrah ini.

Sebelum itu, Ustazah Hajah Maimunah Othman yang menyampaikan kata aluan berkata, beliau berharap agar jalinan kerjasama strategik antara agensi-agensi agama seperti ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Rata-raya peserta merakamkan penghargaan buat MAIS, JAKIM dan JAINJ di atas usaha dalam menjalankan program ini dan berharap agar program bersama komuniti hijrah seperti ini dapat memberi sinar baru kepada mereka , dan berharap agar dakwah dan bimbingan dijalankan secara berterusan dan berpanjangan.

#mais #menjunjungamanah 
 
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor