TANGKAL DAN AZIMAT

TANGKAL DAN AZIMAT

img42
Sumber imej: Ai

Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah dan/atau perlindungan kepada pemiliknya atau untuk memudaratkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa-kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semulajadi apabila dijampi atau dipuja.

Menurut Kamus Dewan, azimat ialah bahan yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu, atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian ter­tentu tubuh (seperti di pinggang) yang dianggap mem­punyai sakti dan boleh mengelakkan penya­kit, bencana dan sebagainya. Menurut Almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi: “Bahawa seseorang itu berjampi dan berazimat dengannya dengan kata-kata yang tidak dapat difahami.” 

NO2 Daripage DArulSyifahSabah
Sumber imej: facebook.com/darussyifasabah

Tangkal menurut Kamus Dewan ialah sesuatu yang digunakan untuk menolak bala (penyakit, hantu, jin, dan lain-lain). Tangkal umumnya merujuk kepada benda-benda seperti batu, kain, atau logam yang diberi mantra atau doa dengan harapan dapat memberikan perlindungan atau keberuntungan.

Dalam Islam, percaya dan memuja kepada benda-benda yang dijadikan sebagai keramat, memohon pertolongan pada benda-benda berkenaan dan percaya ianya mempunyai kuasa selain dari Allah SWT adalah membawa kepada syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud R.A, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ ‏

“Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik.”

[HR: Abu Daud & Ahmad]

Imam al-Syaukani menyebut: “Dijadikan tiga ini syirik iaitu jampi, tangkal dan ilmu pengasih adalah disebabkan mereka beriktikad bahawa perkara-perkara tersebut memberi bekas atau kesan, bukan Allah SWT.”

Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan Qias adalah ditolak oleh Islam.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak.”

[HR : Bukhari dan Muslim]

Ibnu Qayyim berkata: “Seseorang yang benar-benar bertawakal tidak akan bergantung kepada makhluk seperti tangkal dan sebagainya. Tambahan pula Nabi Muhammad SAW dan sahabat tidak bertangkal, mereka sentiasa bertawakal.”

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT :-

قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمَا ٱدۡخُلُواْ عَلَيۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ   

Maksudnya: “Berkatalah dua orang diantara orang-orang yang takut (kepada Allah SWT) yang Allah SWT telah memberi nikmat atas keduanya: Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah SWT hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”. (Al-Ma’idah : 23)      

Di antara jenis-jenis azimat adalah seperti berikut:

  1. Menjampi batu, cincin, rantai, baju, keris, dan sebagainya untuk dijadikan pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih dan sebagainya.
  2. Membungkus tulisan-tulisan, rajah-rajah atau objek-objek tertentu dengan kain kuning untuk dijadikan tangkal.Picture 1
  3. Menjampi tulisan-tulisan yang tidak diketahui maknanya dan dicampuradukkan dengan ayat-ayat al-Quran. Contohnya:

  4. Berjampi atau berazimat menggunakan kata-kata dicampuradukkan dengan kata-kata sihir dan kufur yang tidak diketahui maknanya. Contohnya: “Bikana, makna, Nabi Yakun, Numa Yakun Akulah sebenar-benar Zat Allah SWT.”

img3 Persatuan Perubatan Islam Ruqyah Syariyyah Bahagian Samarahan
Sumber imej: facebook.com/ Persatuan Perubatan Islam Ruqyah Syar'iyyah Bahagian Samarahan

KESAN MENGAMALKAN TANGKAL DAN AZIMAT

Kesan Terhadap Akidah

Dari sudut akidah Islam, meminta pertolongan kepada selain Allah SWT adalah haram dan termasuk dalam kesalahan dosa besar kerana mensyirikkan Allah SWT. Perbuatan syirik adalah dosa besar yang tidak diampuni Allah SWT dan akan mengakibatkan azab di akhirat kelak jika pelakunya tidak bertaubat.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT :

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا   

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah SWT, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar”. (al-Nisa : 48)

Kepercayaan orang yang menggunakan tangkal dan azimat terhadap pertolongan Allah SWT adalah rendah sehingga memperbesar-besarkan tangkal dan azimat yang membawa kepada fahaman sesat, dan penyelewengan akidah dalam amalan harian.

1
Sumber imej: http://gerakanpenamalaysia.blogspot.com

Orang yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tenung tergolong dalam kalangan orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri. Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَدۡعُ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَۖ فَإِن فَعَلۡتَ فَإِنَّكَ إِذٗا مِّنَ ٱلظَّٰلِمِينَ   

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah SWT; sebab jika kamu berbuat (yang demikian), itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim”. (Yunus : 106)

Pada hakikatnya, orang yang beramal dengan jampi dan sihir telah dipermainkan oleh syaitan dengan tipu dayanya melalui bomoh yang bersubahat menipu orang yang datang untuk mendapatkan khidmatnya. Allah SWT telah menegaskan perkara ini melalui firman-Nya:

وَإِنَّهُمۡ لَيَصُدُّونَهُمۡ عَنِ ٱلسَّبِيلِ وَيَحۡسَبُونَ أَنَّهُم مُّهۡتَدُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk”. (az- Zukhruf : 37)

Mempercayai dan mengamalkan perbuatan khurafat seperti menggunakan tangkal dan azimat adalah membawa kepada kekufuran.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

“Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”

 [HR : Ahmad]

Kesan Terhadap Kehidupan

Penggunaan tangkal dan azimat, meskipun telah menjadi tradisi dalam banyak budaya, namun ia memberi banyak kesan negatif terhadap kehidupan, sama ada dari sudut spiritual, psikologi dan sosial.

img5 klinikminda
Sumber imej: https://klinikminda.com

Dari sudut spiritual, penggunaan tangkal dan azimat dianggap sebagai bentuk syirik dan menyekutukan Allah SWT. Ini adalah dosa besar dalam syariat Islam. Penggunaan tangkal dan azimat ini akan menyebabkan semangat seseorang itu terlalu bergantung kepada benda tersebut sehingga meninggalkan tawakal atau berserah diri kepada Allah SWT dan melahirkan sifat malas dan berputus asa. Tambahan dari itu, tanpa pergantungan kepada benda tersebut, seseorang akan merasa cemas dan tidak aman.

Dari sudut psikologi, kebergantungan kepada tangkal dan azimat boleh mengalihkan perhatian seseorang daripada tindakan proaktif dan keputusan rasional. Ini boleh mengakibatkan sikap yang lebih berpandangan sempit dan akan kerap mengambil jalan pintas dalam menyelesaikan masalah.

Dari sudut sosial, dari aspek perniagaan, penggunaan tangkal dan azimat membawa kepada penipuan dan penganiayaan. Peniaga cenderung untuk melariskan perniagaan dengan menggunakan azimat, sedangkan secara realitinya, perniagaan tersebut tidak seperti yang dilihat oleh orang awam. Apabila penggunaan tangkal dan azimat ini untuk tujuan memudaratkan orang lain, ia menyebabkan penganiayaan terhadap peniaga lain. Pengamalan dan penganiayaan ini akan menjauhkan diri dan perniagaan daripada keberkatan dan rahmat Allah SWT.

Dari aspek perkahwinan, penggunakan azimat dan tangkal akan menyebabkan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat apabila pengguna menggunakannya atas sebab hasad dengki, cemburu dan syak wasangka.

KESIMPULAN

Penggunaan tangkal dan azimat adalah bentuk kemusyrikan yang jelas-jelas dilarang dalam Islam. Praktik ini mengandungi unsur syirik, iaitu mempersekutukan Allah SWT dengan makhluk lain atau benda-benda tertentu. Praktik ini tidak hanya bertentangan dengan akidah, tetapi juga dapat membawa kesan negatif bagi kehidupan seseorang disamping dapat membuka pintu bagi gangguan jin dan syaitan.

madaninews
Sumber imej: www.madaninews.id

Sebagai gantinya, kita dianjurkan untuk memperkuat iman, berdoa, bertawakal dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai tujuan hidup. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menjauhi segala bentuk syirik dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Artikel13Poster2

TANGKAL DAN AZIMAT

Sumber imej: Ai Azimat atau tangkal merupakan sesuatu benda yang dipercayai memberikan tuah...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor