SAMPAI BILA MAHU KAHWIN SENYAP-SENYAP

SAMPAI BILA MAHU KAHWIN SENYAP-SENYAP

Perkahwinan sindiket telah lama berlaku sama ada perkahwinan itu dilaksanakan di dalam negara melalui perkhidmatan perkahwinan dengan bayaran murah dan jurunikah yang tidak bertauliah atau perkahwinan sindiket yang dilaksanakan di luar negara seperti di Thailand tanpa menyediakan dokumen-dokumen yang sah di sisi undang-undang. Dengan adanya perkhidmatan perkahwinan seperti ini, maka wujud lebih ramai individu yang berhasrat untuk berkahwin tetapi secara senyap-senyap.

Implikasi daripada kahwin senyap-senyap ini akan melibatkan hak-hak seorang isteri dan anak yang akan terjejas sama ada dari segi Hukum Syarak atau undang-undang Malaysia. Persoalannya, sampai bila mahu kahwin senyap- senyap?

kahwin lari 01
Sumber imej: www.kosmo.com.my

Punca kahwin senyap-senyap

Didapati, terdapat banyak faktor dan punca individu itu memilih untuk berkahwin secara senyap- senyap, antaranya poligami. Poligami tidak ditegah dalam Islam malah ia adalah antara sunnah Nabi Muhammad SAW. Namun di Malaysia, seorang lelaki yang ingin berpoligami harus melalui proses permohonan berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah yang dianggap leceh dan menyusahkan. Sebenarnya, proses ini bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, bahkan untuk kebaikan semua pihak terutamanya isteri daripada menjadi mangsa ketidakadilan seorang suami.

Faktor lain adalah disebabkan perkahwinan yang tidak direstui keluarga. Jika ibu bapa menentang sebuah perkahwinan itu, anak-anak mengambil jalan mudah dengan melangsungkan pernikahan di Thailand tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk di Pejabat Agama Islam atau istilahnya ’kahwin lari’. Banyak juga lagi faktor lain seperti masalah kewangan, pasangan yang sudah terlanjur, perkahwinan bawah umur dan sebagainya.

Sumber imej: google dan editing

Implikasi kahwin senyap-senyap

Implikasi utama perkahwinan yang dilaksanakan secara senyap-senyap adalah berkemungkinan perkahwinan yang dilangsungkan itu tidak sah menurut Hukum Syarak. Syarat sah perkahwinan dalam Islam termasuklah adanya wali iaitu bapa atau wakil wali bagi pengantin perempuan. Dalam kes ‘kahwin lari’ kebiasaannya proses pernikahan dilakukan tanpa melibatkan wali atau wali hakim yang sah dan boleh menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah di menurut Hukum Syarak.

Selain itu, perkahwinan yang tidak didaftarkan sebenarnya boleh mendatangkan banyak masalah kepada pasangan tersebut. Seorang isteri yang telah kematian suami dan bernikah secara senyap-senyap tidak akan mendapat hak mewarisi harta dari suami tersebut berikutan tiadanya dokumen pernikahan yang sah yang didaftarkan di Malaysia. Seorang anak juga tidak dapat didaftarkan dengan berbinkan ayah kandungnya sekiranya pernikahan itu tidak diiktiraf di Malaysia. Hal ini boleh menyebabkan masyarakat mentohmah anak tersebut dan statusnya juga diragui, sedangkan anak itu adalah anak hasil daripada perkahwinan yang sah. Impaknya seorang ayah juga mungkin tidak dapat mewalikan pernikahan anaknya sendiri.

Sumber imej: https://depositphotos.com/

Islam sangat mementingkan nasab kerana ia merupakan salah satu daripada 5 Maqasid Syariah iaitu menjaga keturunan. Kesannya, Islam akan dipandang serong oleh agama lain yang mana menurut pandangan mereka, Islam mengambil mudah hal-hal berkaitan perkahwinan sedangkan agama Islam itu sendiri telah menggariskan banyak garis panduan berkaitan dengan pergaulan, perkahwinan dan hukum hakam dalam Islam. Kewajipan untuk menjaga agama adalah kewajipan kita bersama sebagai Muslim, agar pandangan serong oleh masyarakat bukan Islam itu dapat dibendung.

muslim family having good time outdoors 53876 20961
Sumber imej: freepik

Menurut perspektif undang-undang pula, berkahwin tanpa kebenaran membolehkan seseorang itu didakwa di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS 2003) iaitu kesalahan Berkahwin Tanpa Kebenaran Pendaftar. Pendaftar ialah merujuk kepada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam yang berbidangkuasa. Seterusnya, akibat daripada kesalahan tersebut juga mendorong kepada kesalahan lain di bawah Seksyen 35 EUUKIS 2003 iaitu lewat melaporkan pernikahan dalam tempoh enam bulan sekiranya perkahwinan itu dilangsungkan di luar negara. Seorang lelaki yang berpoligami tanpa kebenaran pula boleh didakwa di bawah Seksyen 124 EUUKIS 2003. Setiap kesalahan yang dinyatakan boleh dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau enam bulan penjara atau kedua-dua denda dan penjara itu, bagi setiap satu kesalahan yang dilakukan.

Proses untuk mendaftarkan perkahwinan yang dilangsungkan tanpa kebenaran dan secara senyap-senyap ini juga mengambil masa yang lama. Hal ini kerana dalam menentukan sama ada perkahwinan itu sah ataupun tidak, banyak perkara dan dokumen perlu diteliti oleh pihak mahkamah. Hakikatnya tidak semua perkahwinan secara senyap-senyap itu mahkamah memutuskan ianya adalah sah, malah ada juga sesetengah perkahwinan diputuskan tidak sah kerana tidak memenuhi tuntutan Hukum Syarak.

pix05 1
Sumber imej: yadim.com.my

Kesimpulan

Perkahwinan adalah pintu masuk kepada pembinaan keluarga. Proses perkahwinan haruslah dilaksanakan dengan betul agar matlamat perkahwinan tercapai dan berjaya membentuk ahli keluarga dan masyarakat yang baik. Berkahwinlah mengikut syariat Islam dan mengikut laras undang-undang sedia ada bagi mengelakkan banyak masalah yang timbul pada masa akan datang sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al- Baqarah ayat 195:

وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”

Tindakan yang salah boleh membawa kepada kesan yang lebih buruk pada masa akan datang. Persiapkanlah ilmu agama sebelum pasangan itu ingin berkahwin supaya boleh menjadi penyelamat kepada keadaan yang tidak diingini. Sebarkanlah ilmu ini agar ramai yang boleh mendapat manfaat daripadanya.

POSTER ARTIKEL22

NIKAH MISYAR

Pendahuluan Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan...

Baca Lagi
MAIS | Majlis Agama Islam Selangor