PENYELEWENGAN DALAM AJARAN AL-ARQAM

PENYELEWENGAN DALAM AJARAN AL-ARQAM

images 01

Al-Arqam merupakan salah satu ajaran salah yang terawal difatwakan di Selangor dan ajaran kedua difatwakan selepas Fatwa Ajaran Salah (Haji Kahar) sebagaimana direkodkan di dalam buku Warta Kerajaan Fatwa Ajaran Sesat terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

 Al-Arqam juga merupakan antara ajaran yang berevolusi dari sudut penjenamaan dan penampilan. Bahkan kumpulan ini juga amat berbangga dengan jumlah pengikut setia yang ramai.

SEJARAH AL-ARQAM

Pada tahun 1968 Asaari bin Muhammad bersama beberapa orang sahabatnya telah menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan dengan Kumpulan Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Ia ditubuhkan dengan misi kononnya untuk menyedarkan umat Islam, agar lebih menghayati makna Islam.

Namun beberapa tahun selepas itu, kumpulan ini telah menukar nama gerakan mereka kepada Darul Arqam. Beberapa tahun selepas itu tersebar khabar angin tentang amalan Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh Asaari Muhammad dan pengikutnya.

Hal ini seterusnya mengundang kepada beberapa siri pengisytiharan keluar dari jemaah tersebut oleh beberapa orang kuat Darul Arqam dan juga pemecatan beberapa individu yang berpengaruh dalam kumpulan tersebut. Perkara ini mendapat perhatian pihak media massa kerana reputasi Darul Arqam ketika itu yang dilihat agak terkehadapan di dalam menjana ekonomi kumpulan mereka.

Screenshot 2024 05 07 093738
Sumber imej: kpipm64

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah memanggil Asaari Bin Muhammad untuk mendapatkan penjelasan berkaitan isu tersebut dan beberapa isu berkaitan Aurad Muhammadiah. Berdasarkan pengakuannya beliau mengaku tidak menyebarkan Aurad Muhammadiah, namun pada masa yang sama tidak menyatakan mengamalkannya.

Asaari Muhammad seterusnya mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan bahawa beliau pernah mengatakan bahawa individu yang bertanggungjawab membawa Aurad Muhammadiah iaitu Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi yang telah meninggal dunia pada tahun 1925 akan hidup semula sebagai Imam Mahdi di akhir zaman.

Rentetan dari beberapa isu akidah yang melanda Asaari Bin Muhammad dan kumpulannya itu, akhirnya jawatankuasa fatwa negeri-negeri telah memutuskan bahawa fahaman Aurad Muhammadiah pegangan kumpulan Darul Arqam yang terkandung di dalam dua buah buku iaitu yang bertajuk “Aurad Muhammadiah Pegangan Dar Al-Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan buku “Manaqib (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi” adalah bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Kedua-dua buah buku tersebut turut diharamkan kerana dibimbangi akan mengeliru dan menyesatkan umat Islam.

Berikutan itu, Asaari Bin Muhammad dan beberapa pemimpin kanan kumpulan tersebut ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kemudiannya membuat pengakuan tentang penyelewengan Al-Arqam. Asaari Bin Muhammad akhirnya dibebaskan dari tahanan tetapi masih dikenakan tahanan rumah dan akhirnya meninggal dunia pada tahuan 2010.

CUBAAN MENGHIDUPKAN SEMULA AL-ARQAM

Screenshot 2024 05 07 093519
Sumber imej: efazan.wordpress

Segala polemik yang melanda Asaari Bin Muhammad dan kumpulannya itu tidak sedikitpun melunturkan semangat Hat‑ah Aam atau lebih dikenali dengan Ummu Jah, beliau merupakan isteri kepada Asaari Bin Muhammad. Ummu Jah dikesan cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah melalui Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) ketika suaminya masih lagi dalam tahanan ISA.

Justeru pada 21 Disember 2006, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan di dalam fatwa bertajuk “USAHA-USAHA MENGHIDUPKAN SEMULA AL-ARQAM MELALUI SYARIKAT RUFAQA’ CORPORATION SDN. BHD. (SRC) DAN RANGKAIAN SYARIKAT GABUNGAN”. Syarikat ini dikesan membawa fahaman yang sama dengan al-Arqam sebagaimana difatwakan pada 11 Ogos 1994.

Justeru pada 21 Disember 2006, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan di dalam fatwa bertajuk “USAHA-USAHA MENGHIDUPKAN SEMULA AL-ARQAM MELALUI SYARIKAT RUFAQA’ CORPORATION SDN. BHD. (SRC) DAN RANGKAIAN SYARIKAT GABUNGAN”. Syarikat ini dikesan membawa fahaman yang sama dengan al-Arqam sebagaimana difatwakan pada 11 Ogos 1994.

Fatwa Selangor Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bersetuju untuk memutuskan bahawa Buku yang bertajuk “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan” yang ditulis oleh ustaz Ashaari Muhammad; dan “Manaqib (Riwayat hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi” yang ditulis oleh Mohamad Taha as-Suhaimi telah diharamkan kerana didapati kedua-dua buku tersebut mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islamiah serta boleh mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam.

desk against background chalk board books dark light lamp 01 01 e1715740282934

KESIMPULAN

Meskipun terdapat perinsytiharan taubat daripada kumpulan ini namun fatwa yang pernah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak pernah ditarik balik kerana dipercayai masih ada saki baki pengikutnya yang mengamalkan ajaran yang telah diharamkan ini.

Justeru umat Islam di Malaysia khususnya di Negeri Selangor mestilah sentiasa cakna dan peka serta menjauhkan diri dari sebarang aktiviti yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas serta mengelakkan diri dari segala bentuk ajaran dan fahaman yang meragukan.

Segera laporkan segala aktiviti yang meragukan kepada Pihak Berkuasa Agama bagi membendung penularan ajaran yang boleh merosakkan akidah, syariah serta akhlak umat Islam.

MAIS | Majlis Agama Islam Selangor