KENALI BENTUK DAN CIRI-CIRI AJARAN SESAT
KENALI BENTUK DAN CIRI-CIRI AJARAN SESAT
Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini tercabar kerana wujudnya pengaruh yang cuba memesongkan akidah umat Islam. Perkara ini berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah kepada zaman kini dan umat Islam tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat. Penyebaran ajaran sesat mungkin dapat dikekang jika setiap individu Muslim berwaspada dan meningkatkan pengetahuan agama serta mengetahui ciri-ciri ajaran sesat itu sendiri menerusi cara yang betul serta mengelak diri daripada dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang kebanyakannya mempunyai agenda peribadi. Allah SWT menyebut melalui firman-NYA :
يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ
Maksudnya : Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darajat.
(Surah al-Mujadalah : 11)
Hari ini ajaran sesat telah menjadi satu perkara yang sangat membimbangkan dan ia perlu di hapuskan sehingga tiada lagi saki baki fahaman tersebut, malah tidak boleh diberi ruang serta peluang untuk ajaran tersebut muncul kembali.
KONFLIK MASYARAKAT BERKAITAN PEMAHAMAN AJARAN SESAT
Terdapat segelintir masyarakat yang masih keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ajaran sesat, bahaya dan ciri-cirinya kepada umat Islam terutamanya kepada golongan muda.
Takrif ajaran sesat yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada masa ini adalah “sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu Hadith sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.
Mengikut kata-kata bekas Mufti Mesir Syeikh Ali Jumuah bahawasanya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah itu ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup baginda dan para sahabat terutamanya khulafa ar-Rasyidin mengenai akidah, syariah serta akhlak yang dibawa sejak zaman Nabi SAW dan sahabat baginda.
KETAHUILAH BENTUK DAN CIRI-CIRI AJARAN SESAT
Terdapat ajaran, fahaman dan penafsiran yang jelas menyalahi Syariat Islam, dalil-dalil agama yang jelas, serta menyalahi metodologi serta kaedah-kaedah yang disepakati ulama’ muktabar. Sebagai panduan umum berkaitan ciri-ciri ajaran sesat, terdapat beberapa ciri utama yang ada pada ajaran sesat yang perlu didedahkan kepada masyarakat agar mereka lebih cakna dan sentiasa berwaspada dengan ajaran-ajaran yang menyesatkan ini. Berikut adalah perinciannya:
Ciri-ciri utama ajaran sesat ialah:
- Ajaran ini akan mudah mempersenda, menghina, mengubah, menambah, meminda serta menafikan keaslian al-Quran yang sedia ada dan ingkar dengan isi kandungan al-Quran serta menafsirkan daripada mana-mana ayat al-Quran dengan sendiri.
- Terdapat unsur-unsur mempersenda, menghina dan ingkar serta menidakkan syariat Nabi Muhammad SAW sama ada melalui percakapan dan perbuatan serta i’tikad di dalam hati.
- Mencela dan mengkafirkan ahli keluarga serta sahabat – sahabat Rasulullah SAW.
- Berselindung di sebalik ayat-ayat suci al-Quran dan hadis yang akhirnya menyebabkan ramai orang terkeliru tentang perkara-perkara ghaib.
- Terdapat ketua kumpulan yang akan memperdaya dan mempergunakan pengikut agar mengumpul serta menyerahkan semua harta seperti kereta, rumah, wang ringgit sehinggakan sanggup menyerahkan diri, keluarga dan membayar zakat kepada ketua kumpulan.
- Ketua ajaran mengaku sebagai Imam Mahdi dengan mengaitkan wujud persamaan di antara ciri-ciri Imam Mahdi dengan diri ketua ajaran tersebut.
- Sentiasa mendakwa bahawa terdapat persamaan dari sudut pengamalan di antara agama Islam dengan agama lain, dengan mendakwa tiada bezanya agama Islam dan agama selain Islam.
- Menjadikan amalan tarekat sebagai salah satu modus operandi dalam mencari pengikut dan pengaruh bagi mengaburi mata masyarakat dan mengamalkan wirid-wirid tertentu untuk mencapai maqam tertentu. Ternyata perbuatan ini adalah sebagai satu muslihat bagi mempengaruhi mangsa.
NAMA-NAMA AJARAN SESAT
Justeru, marilah kita bersama-sama memenuhkan dada dengan ilmu yang benar agar segala kejahatan berkaitan ajaran sesat ini dapat dielakkan dan kehidupan kita mendapat eredhaan Allah SWT.
Kerjasama masyarakat amat diharapkan untuk menyalurkan maklumat dan apa-apa aktiviti yang mencurigakan melalui saluran rasmi hotline 24 jam, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor 1 800 88 2424.
Pendahuluan Secara asasnya, Allah SWT menjadikan manusia hidup secara berpasangan...
Kedudukan raja-raja Melayu di Malaysia termaktub dalam dua buah dokumen...
Pengenalan Petua dan khurafat merupakan dua konsep yang sering dibincangkan...
Ketika dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH 370 pada 8...
Isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. atau...