KEBEBASAN BERFIKIR DI MANA HADNYA?
KEBEBASAN BERFIKIR DI MANA HADNYA?
Keupayaan berfikir merupakan satu fungsi akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.
Melalui keupayaan tersebut, manusia dapat membuat pertimbangan yang rasional dan teliti sebelum melahirkan sesuatu pandangan, fakta, hujah dan sebagainya tanpa dipengaruhi oleh orang lain.
Kebebasan dalam berfikir juga turut berkait rapat dengan kebebasan lain seperti kebebasan bersuara, beragama dan lain-lain.
Kebebasan berfikir mampu memberikan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada manusia. Antaranya dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat antara manusia melalui perkongsian dan pertukaran idea hasil dari kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing.
Di samping itu, ianya juga dapat mengasah pemikiran masyarakat khususnya umat Islam dalam menambah pengalaman dan membentuk keperibadian yang mulia.
Menurut Islam, setiap individu berhak malah perlu berfikir dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu permasalahan sebelum membuat sesuatu keputusan yang selaras dengan kehendak Islam. Islam tidak melarang umatnya untuk berfikir secara bebas. Namun begitu, ianya tidaklah sehingga membawa kepada pemikiran yang di luar batasan keimanan kepada Allah SWT.
Jika dilihat dari sudut pandangan barat pula, lazimnya mereka menolak peranan agama dan mengklasifikasikannya sebagai tidak rasional dari segi saintifik.
Selain itu, mereka juga berpandangan bahawa kebebasan individu versi barat dianggap terbaik untuk masyarakat dalam aspek pemikiran.
Sikap terlalu menjadikan fahaman barat sebagai panduan dan sumber ilham menjadikan mereka tidak peka dengan budaya ketimuran.
Mereka malah menolak nilai ketimuran kerana nilai ini lazimnya berpaksikan ajaran agama dan nilai moral budaya setempat. Oleh itu, mereka terlalu selesa dengan pembawaan idea-idea yang dianggap progresif dalam diri masyarakat barat.
Kebebasan berfikir menurut perspektif Islam
Secara universalnya, antara perkembangan terpenting pada diri seseorang manusia adalah pemikirannya dan telah menjadi satu fitrah bahawa keupayaan ini memerlukan kebebasan iaitu tidak ada sesuatu yang boleh menghalangnya.
Seseorang muslim mempunyai hak untuk berfikir dan memang perlu berfikir. Dalam pelbagai ayat, Allah SWT melalui al-Qur’an menyeru manusia untuk berfikir, merenung dan mengamati tentang alam seluruhnya.
Di samping itu, al-Qur’an juga menyarankan manusia agar mengenali diri sendiri dengan menggunakan kekuatan akal selain mengambil langkah untuk menuju ke arah kesempurnaan dari sebarang bentuk kejahilan, kesesatan dan kekufuran.
Berfikir merupakan satu persediaan dan kekuatan serta sentiasa berkembang di dalam diri manusia. Tanpa kebebasan ini, sudah tentu akan menjadi penghalang kepada perkembangannya.
Dalam hal ini, manusia mempunyai persediaan-persediaan yang lebih baik berbanding haiwan yang tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir seperti manusia. Dalam memastikan kebebasan berfikir sentiasa mematuhi kehendak Islam, maka beberapa garis panduan perlu diambilkira oleh setiap umat Islam.
- Berfikir dengan panduan Islam.
Dalam Islam, kebebasan berfikir perlu dibatasi dengan prinsip-prinsip syariah yang berteraskan sumber rujukan utama umat Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Hak-hak asasi manusia juga terikat dengan Maqasid al-Syariah dan tidak bertentangan dengan kepentingan masyarakat.
Maqasid al-Syariah dan dalil-dalil juga menyokong bahawa hak berfikir perlu dipelihara bertujuan melindungi harga diri dan manusia lain di samping memberi manfaat serta kebaikan untuk semua.
Kebebasan berfikir juga perlulah seiring dengan tuntutan iman dan batasan aqidah. Dalam hal ini, manusia boleh menggunakan kebebasan berfikir untuk menyatakan pandangan atau melontarkan pendapat selagi perkara tersebut tidak menyalahi agama.
Dalam waktu yang sama juga, Islam melarang manusia untuk berfikir perkara-perkara yang berada di luar kemampuan manusia (perkara-perkara ghaib) selain yang dijelaskan dalam ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Setiap manusia hendaklah berfikir mengikut batas-batas syariat Islam dan memastikan perkara yang difikirkan itu tidak mendatangkan kesan negatif kepada diri seseorang.
Kebebasan berfikir pada perkara-perkara yang melibatkan hal-hal agama lain hendaklah dihadkan agar diri tidak didorong untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang agama itu sehingga boleh merosakkan akal untuk berfikir secara rasional.
Islam menetapkan agar umatnya sentiasa melakukan sesuatu perkara dengan garis panduan dan sempadan agar kehidupan manusia terjamin dari kerosakan dan ia boleh mendatangkan kebaikan, maslahat dan manfaat kepada diri sendiri.
Islam juga menekankan umatnya agar berfikir menggunakan akal dan minda yang dikurniakan oleh Allah SWT dan bukannya mengikut kata hati sahaja.
Terdapat sesetengah umat Islam yang tidak menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah ke arah kebaikan dan sentiasa berfikiran negatif.
Islam sangat mencela orang-orang seperti ini kerana mereka seolah-olah bisa disamakan seperti haiwan yang tidak mempunyai akal.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-A’raaf : 179)
Kesimpulan
Harga diri dan nilaian seseorang manusia di sisi Allah SWT terletak kepada iman, ilmu dan sifat taqwa yang dimilikinya. Ketiga-tiga elemen ini boleh dicapai dengan menggunakan anugerah Allah SWT yang paling tinggi untuk makhluk iaitu akal fikiran.
Sebagai tanda kesyukuran hamba terhadap pemberian Allah SWT yang tidak ternilai ini, seseorang itu perlu menjaga, menggunakan dan memperkembangkan potensi akal ini dengan sebaik mungkin dengan menghidupkan budaya berfikir yang sihat di dalam kehidupan harian.
Intipati daripada ajaran Islam ini kemudiannya perlu dilanjutkan dengan usaha membangunkan dan memperkembangkan budaya berfikir Islam yang lebih mendalam yang sebaiknya dirangka dalam bentuk program bertindak yang lebih berkesan.
Manusia juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai membuktikan ketaatan kepada Allah SWT.
Meskipun kita diberi hak untuk berfikir, namun jelaslah hak itu perlu diguna pakai dengan baik kerana Allah SWT telah mengurniakan manusia akal fikiran bagi membezakan baik dan buruk.
Oleh itu, manusia perlulah menggunakan hak-hak tersebut untuk kebaikan dan manfaat untuk diri dan orang sekeliling. Islam sememangnya menyanjungi hak-hak asasi manusia tetapi perlu difahami, kebebasan yang diberi bukanlah bersifat mutlak dan ia perlu disertai dengan tanggungjawab.
Hak dan tanggungjawab manusia hendaklah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT seiring dengan keperluan masyarakat dan negara.
Ketika dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH 370 pada 8...
Isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. atau...
Kemajuan teknologi telah merubah cara manusia berkomunikasi. Jika dahulu, interaksi...
Sumber imej: https://medium.com/ Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini...
Sumber imej: https://www.ppsignature.com/ Perkahwinan adalah satu ikatan melalui akad nikah...