1/2023BeritaKemusykilan Umat

ZAKAT WANG CRYPTO

Mata wang kripto dan aset digital teknologi kewangan yang wujud pada era moden kini. Aset digital merupakan suatu yang mempunyai nilai dan boleh dimiliki. Ia sesuatu perkara maya yang bukan dalam bentuk nyata serta tidak mempunyai bentuk fizikal. Atau dalam erti kata lain, aset digital adalah entiti digital yang dimiliki oleh individu atau syarikat seperti gambar digital, video dan juga lagu. Sebagai gantinya, data tersebut dibuat dalam bentuk fail yang berada di dalam peranti penyimpanan seperti komputer atau rangkaian simpanan berasaskan awan.

Oleh: Mohamad Shukry Bin Sulaiman (shukry@muftiselangor.gov.my)

Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor

Walau bagaimanapun, pakar-pakar kewangan Islam masih belum bersepakat berkaitan hukum penggunaan mata wang kripto dan aset digital. Penjelasan ini memfokuskan hukum zakat berkaitan mata wang kripto dan aset digital menurut syarak selaras dengan perkembangan semasa.

Beberapa fatwa telah dikemukakan oleh para fuqaha dan badan-badan fiqh antarabangsa serta institusi fatwa di Malaysia terhadap hukum zakat ke atas mata wang kripto. Antara pandangan fuqaha tentang zakat ke atas mata wang kripto:

Mata Wang Kripto Diqiyaskan Kepada ‘Nuqud’ (Mata Wang Dinar Dan Dirham) Dan Zakat Ke Atasnya Adalah Sebagaimana Zakat ‘Nuqud’.

Dr. Ibrahim Abdul Halim Ubadah menyatakan mata wang kripto adalah sejenis mata wang khusus, maka ia dianggap harta yang wajib dizakat. Ia sama seperti hukum zakat ke atas mata wang fiat yang diqiyaskan kepada hukum zakat ke atas mata wang emas dan perak. Ia kerana mata wang tersebut mempunyai sifat ‘ath-thumuniyyah al-mutlaqah’

Mata Wang Kripto Adalah Aset Digital Dan Hukum Zakat Ke Atasnya Diqiyaskan Kepada Hukum Zakat Perniagaan (‘Urud Tijarah).

Pendapat ini diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menyatakan sebarang pemilikan aset digital berupa Bitcoin dikenakan zakat sekiranya ia cukup haul dan nisab. Zakat aset digital dikenakan zakat kerana di atas sifat ia adalah ‘Urud alTijarah (barang dagangan).

Pandangan Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Mata wang kripto termasuk kategori ‘al-Mal’ kerana ia harta yang mempunyai sifat al-Mutaqawwim. Maka ia diwajibkan zakat berdasarkan dalil-dalil umum kewajipan zakat terhadap ‘al-Mal’. Hukum zakat mata wang kripto bergantung kepada jenis kategori iaitu Barang Dagangan (‘Urud Tijarah) dan Mata Wang (Al-Sarf)

Selain daripada itu, beberapa rujukan juga menjelaskan bahawa aset digital ini boleh dikategorikan sebagai mata wang ataupun komoditi. Bermakna, jika sesuatu harta itu dianggap sebagai mata wang, zakat boleh dikenakan berasaskan zakat simpanan atau zakat pendapatan. Manakala sekiranya sesuatu harta itu dianggap sebagai komoditi, harta itu adalah bernilai, dan sekiranya diperniagakan, bermakna zakat perniagaan boleh dikenakan kepada sesuatu aset digital. Untuk memudahkan perbincangan lanjut, adalah wajar disentuh mengenai teori zakat perniagaan, zakat simpanan dan zakat pendapatan secara umum.

Oleh itu, jika dia mempunyai sifat yang sama althamaniyyah, bermakna hukum emas dan perak akan terpakai. Jadi zakat simpanan adalah terpakai bagi kategori tersebut. Manakala bagi aset digital dalam kategori komoditi, boleh dikenakan dua jenis zakat, iaitu; 

Jika aset tersebut dijual semula untuk tujuan keuntungan yang mana memenuhi syarat-syarat zakat perniagaan.
Jika aset tersebut tidak diniatkan untuk perniagaan, tetapi dapat menghasilkan pendapatan sama ada dilaburkan atau dijual ketika harga sedang naik. Atau apa-apa cara yang boleh menghasilkan keuntungan. Yang mana memenuhi syarat-syarat zakat bagi mal al-mustafad. Daripada maklumat pakar ini kebanyakan mereka cenderung untuk mengenakan zakat terhadap asset digital.

Antara alasan yang dikemukakan adalah kerana aset digital menepati sifat harta dan bernilai. Manakala secara terperinci, asas zakat aset digital menurut pandangan pakar yang ditemu bual adalah;

  1. Penentuan aset digital sebagai wang atau komoditi.
  2. Melihat kedudukan aset digital dari sudut althamaniyyah atau al-muthman.
  3. Mempertimbangkan aset digital sebagai barang perniagaan.
  4. Membezakan sesuatu aset digital untuk perniagaan, pelaburan atau simpanan.

Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button