1/2023Artikel Khas
Trending

FIDYAH OH FIDYAH

Jangan ambil mudah berkaitan fidyah, kebanyakan di kalangan masyarakat kita tidak memahami apa maksud fidyah khususnya di kalangan anak-anak muda. Sebelum memasuki bulan Ramadan pasti kita akan mendengar berkaitan hutang puasa dan fidyah. Mari kita ulang kaji berkaitan fidyah dan hukum hakamnya. Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Oleh: Mohammad Salleh Bin Abdul Saha (salleh@mais.gov.my)

Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran, MAIS

SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH

1. MENINGGALKAN PUASA KERANA TUA
Orang tua yang tidak mampu berpuasa dan jika mereka berpuasa akan memudaratkan dirinya sendiri dan kesihatan tubuh badannya.

2. MENINGGALKAN PUASA KERANA SAKIT KRONIK
Orang yang sakit berpanjangan dan tidak diharapkan boleh sembuh berdasarkan pengesahan doktor perubatan.

3. MENINGGALKAN PUASA KERANA HAMIL
Wanita yang bimbang akan keselamatan ke atas bayi yang dikandunginya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Mereka hendaklah membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

4. MENINGGALKAN PUASA KERANA MENYUSUKAN ANAK
Ibu yang merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Mereka hendaklah membayar fidyahdan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

5. MENINGGALKAN PUASA KERANA MUSAFIR ATAU SAKIT DAN TIDAK QADA’ PUASA PADA TAHUN IA DITINGGALKAN
Musafir dan pesakit yang tidak menggantikan (qada’) puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib menggantikan (qada’). Sekiranya tidak menggantikan (qada’) puasanya sehingga telah memasuki Ramadan berikutnya, ia diwajibkan untuk membayar fidyah dan kekal menggantikan (qada’) puasanya.

6. MELAMBATKAN GANTI PUASA (QADA’)
Mereka yang melambat-lambatkan ganti (qada’) puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadan) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

7. ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh wariswarisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat

KADAR BAYARAN FIDYAH

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke- 5/2020 yang bersidang pada 17 Rabi’ul Awal 1442H bersamaan 3 November 2020 telah memutuskan bahawa kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah 1/4 daripada zakat fitrah yang dibayar.

Kadar zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2021 bersamaan 1442 Hijrah ialah sebanyak RM7.00 seorang. Penetapan kadar ini adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Walau bagaimanapun, MAIS turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan iaitu sebanyak RM14.00 seorang bagi yang memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi. Manakala RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/ beras jepun/ beras merah.

Oleh yang demikian, kadar bayaran fidyah semasa yang ditetapkan adalah RM 1.75 atau RM 3.50 atau RM 5.25. Pihak MAIS juga diharuskan mengambil upah sebanyak 15% tidak termasuk kadar sebenar fidyah bagi tujuan pengurusan. Maka, umat Islam boleh memilih untuk membayar fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan termasuk upah sama ada RM2.00 atau RM4.00 atau RM6.00.

Sebarang sumber maklumat berkaitan Fidyah ini boleh di dapati di laman sesawang Majlis Agama Islam Selangor (www.mais. gov.my) . Kaedah pembayaran fidyah juga sangat mudah dan boleh dibayar secara atas talian (online). Semoga kita ambil cakna berkaitan hutang puasa dan fidyah supaya kita dapat melunaskan hutang dengan Allah SWT. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button