Fiqh Kontemporari

PELABURAN KE NERAKA?

Firman Allah SWT:

Zan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Oleh: Mohammad Salleh Bin Abdul Saha (salleh@mais.gov.my)

Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran, MAIS

Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: “apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.” Kita boleh fahami di sini bahawa apa yang bercampur dengan perkara yang haram dan halal maka ia akan menjadi haram.

Mentaliti Masyarakat kita apabila melabur, mereka ingin cepat kaya tanpa memikirkan tempat pelaburan itu sama ada patuh syariah atau tidak janji memberikan keuntungan yang banyak. Pada masa kini jika kita ingin melabur ke tempat patuh syariah, kita boleh membuat semakan pasaran saham sama ada patuh syariah atau tidak di sesawang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengklasifkasikan sesebuah syarikat sebagai sekuriti tidak patuh Syariah yang bertentangan dengan syarak iaitu :

Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba;
Insurans konvensional;
Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh Syariah;
Perjudian atau pertaruhan tidak patuh Syariah;
Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan;
Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syarak; patuh Syariah;
Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan; dan
Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan syarak;
patuh Syariah.

Bagaimanakah jika kita telah terlibat pelaburan tidak patuh syariah ini? Adakah dividen keuntungan itu perlu di zakatkan? Jangan keliru, duit yang dizakatkan adalah sumber dari yang halal. Maka sumber yang haram perlu dilupuskan di Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor.

Ini sejajar satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

i. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal

Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003: “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”

Kesimpulannya sebelum kita ingin melabur, carilah ilmu dan pastikan pelaburan itu adalah patuh syariah. Semoga segala pemilikan harta yang kita miliki ini mendapat keberkatan dan kerahmatan dari Allah. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button