Lagha Di Tirai Maghrib
Cuaca pada petang ini mendung dan awan di langit semakin gelap. Mungkin sekejap lagi akan hujan. Aina melihat jam di tangan menunjukkan pukul 6.30 petang. Ibu masih belum sampai mengambilnya di sekolah. Dari jauh kelihatan kereta Range Rover berwarna putih. Betul sangkaan Aina, itu adalah kereta ibunya.
“Maaf ibu lambat. Tadi bertemu kawan di kedai makan”.
Aina diam dan masuk ke dalam kereta. Dia tahu ibu bertemu rakannya untuk mengadu mengenai pergaduhan ibu dan ayah di rumah malam tadi. Aina menghidupkan radio dan mendengar lagu yang diputarkan. Jam di kereta menunjukkan pukul 7.00malam.
Apabila kereta selamat tiba di perkarangan rumah, Aina membuka pintu lantas meletakkan beg di kerusi ruang tamu dan mencapai telefon bimbitnya di atas kabinet televisyen. Aina serta merta membuka aplikasi Tik Tok dan mula membuat siaran langsung. Dia bercerita mengenai dirinya di sekolah. Sambil bercakap di hadapan skrin telefon, Aina melirik mata kepada Yusuf; adiknya berusia 12 tahun sedang leka mengadap komputer bermain permainan atas talian. Kadangkala Yusuf bersuara tinggi dan mencarut kerana marah.
15 minit Aina bersiaran langsung di Tik Tok, azan telah berkumandang dari masjid. Jelas bunyinya satu persatu muazzin melafazkan azan.
Allahu akbar. Allahu akbar.
Aina melihat ibunya sedang makan nasi sambil tangan kirinya memegang telefon bimbit. Mungkin ibunya sedang melayari YouTube atau Facebook. Mencari penyelesaian masalah rumah tangga barangkali. Aina masih lagi bersiaran langsung sambil membaca komen yang diterima. Sesekali Aina ketawa kerana membaca komen yang lucu. Aina masih belum mandi dan masih belum solat Maghrib.
Jarum jam di dinding menunjukkan pukul 8.00 malam. Selepas Aina berhenti, dia melihat video-video lain di TikTok. Yusuf masih leka bermain permainan komputer. Ibunya telah selesai makan tetapi masih lagi melihat telefon bimbit. Kedengaran pintu diketuk dan suara memberi salam di luar rumah. Bapa Aina masuk ke rumah dan terus berkata:
Itulah kerja ibu kau. Entah buat kerja apa di rumah asyik melihat telefon bimbit”
Sudahlah letih memandu di jalan yang sesak, di rumah pula isteri dan anak-anak membuat hal masing-masing tidak menghiraukannya.
Ibu, Aina dan Yusuf tidak bersuara.
“Esok kita mesti pergi ke pejabat agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)” Tiba-tiba ibu bersuara kepada ayah.
“Untuk apa??” Bentak ayah.
“Saya sudah tidak tahan dengan perangai panas baran awak” Balas ibu.
“Saya beri awak duit bulanan beribu banyaknya. Apa awak dan anak-anak mahu, saya belikan. Awak mahu bercerai?!” Jerit ayah. Aina dan Yusuf tersentak. Sedih, kecewa dan pelbagai perasaan bercampur baur.
“Bukan! Pejabat agama, JAIS untuk dapatkan rundingcara dan khidmat nasihat. Kalau nak bercerai di mahkamah syariah bukan pejabat agama! Awak kena faham, saya nak selamatkan rumah tangga kita!” Balas ibu. Ayah terdiam tidak menjawab.
Ketika itu jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Kedengaran laungan azan menunjukkan telah masuk waktu Isyak.
Allahu akbar. Allahu akbar.
Sama seperti hari-hari semalam, mereka asyik bergaduh di waktu Maghrib hingga mengabaikan solat. Aina berdoa dan berharap agar ini Maghrib terakhir ibu bapanya bergaduh. Semoga selepas ibu dan ayah ke pejabat agama esok, akan ada sinar kebahagiaan dalam rumah mereka. Edisi