Fiqh Kontemporari

Taubatnya Seorang LGBT

Isu LGBT telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Ia mungkin satu pengalaman baru bagi sesetengah, namun di Barat, isu tuntutan hak golongan LGBT bukan lagi sesuatu yang baru malah dilihat jumlah dan kadar simpati kepada golongan turut meningkat

Isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) lebih membimbangkan apabila sebahagian daripada mereka adalah golongan terpelajar dan professional. Justru mereka perlu dibantu secara bijaksana agar mereka kembali kepada fitrah dan acuan Islam yang sebenar. Artikel ini akan mengupas dan membincangkan keperluan dalam memberi kesedaran serta mengupas beberapa isu fiqh untuk mereka kembali semula dalam keadaan fitrah.

Dalam disiplin ilmu psikologi, perlakuan seks didefinisikan sebagai perilaku yang menggambarkan ekspresi dengan wujudnya unsur erotisme. Erotisme adalah kemampuan secara sedar dalam mengalami hasrat terhadap dorongan seks, orgasme atau keadaan lain yang menyenangkan berkaitan dengan seksual. Persoalannya bagaimana seharusnya muslim menangani masalah orientasi seksual yang tidak normal? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat sesama lelaki, dan seorang perempuan tidak boleh melihat aurat sesama perempuan. Seorang lelaki tidak boleh tidur dengan lelaki yang lain dalam satu selimut, dan seorang perempuan tidak boleh tidur dengan perempuan yang lain dalam satu selimut” (Hadis Riwayat Muslim)

Setiap individu diberikan kebebasan oleh Allah untuk memilih sudut pandangnya, dan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapinya. Seorang muslim yang berusaha bertakwa di jalan Allah, haruslah bersangka baik pada setiap urusan yang ditentukan oleh Allah dan perlu bersabar dalam mencari penyelesaian yang sesuai dengan tuntutan Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud “kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan ingatlah Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahui nya.” (al-Baqarah 2:216)

Golongan LGBT Muslim adalah pada asasnya Islam. Walaupun mereka terjebak dengan perilaku yang bertentangan dengan fitrah, ruang dan peluang harus diberikan kepada mereka untuk kembali ke panggal jalan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri, Badan bukan kerajaan serta orang perseorangan telah melaksanakan pelbagai usaha dan pendekatan dalam menangani isu ini. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) antaranya turut mengadakan beberapa program yang dikendalikan oleh Bahagian Pemulihan Al-Riqab.

Bagi golongan LGBT yang ingin bertaubat, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 hingga 23 November 2006 juga perlu diambil kira. Keputusan muzakarah tersebut telah membincangkan isu Kekeliruan Jantina Congenital Adrenal Hyperplasia dan Testicular Feminization Syndrome. Keputusan muzakarah adalah seperti berikut.

  1. Bagi kes Congenital Adrenal Hyperplasia (CAH) pembedahan jantina untuk kembali kepada genetik asal (perempuan) diharuskan oleh Islam kerana ia boleh dilakukan dengan rawatan hormon dan pembedahan.
  2. Manakala bagi kes Testicular Feminization Syndrome (TSF), untuk kembali kepada genetik asal (lelaki) secara pembedahan atau rawatan hormon adalah sukar. Sekiranya individu berkenaan bercadang untuk melakukan pembedahan, ia adalah diharuskan selagimana perbuatan tersebut tidak mendatangkan kemudharatan samada dari aspek psikologi atau biologi.
  3. Bagi kes Testicular Feminization Syndrome yang dikesan ketika dewasa, individu tersebut boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan jantina mereka diiktiraf berdasarkan fizikal dan genitalia zahir mereka. Pembedahan untuk mengeluarkan testes (sekiranya ada) adalah harus untuk mengelakkan risiko penyakit seperti mendapat kanser. Perkahwinan dengan pasangan mengalami Testicular Feminization Syndrome tidak perlu dipisahkan.
  4. Pakar-pakar perubatan perlu memberi penjelasan, bimbingan dan menasihati ibubapa serta individu-individu Muslim yang terlibat dengan kes-kes Congenital Adrenal Hyperplasia dan Testicular Feminization Syndrome supaya menjalani rawatan bagi mengelakkan permasalahan hukum agama di kalangan umat Islam.

Seterusnya, perkara berikut juga boleh dilaksanakan dalam memastikan perubahan yang dilaksanakan berkesan bagi golongan tesebut:

a. Bulatkan tekad dan niat untuk berubah
b. Bertaubat nasuha (tidak akan melakukan dosa tersebut lagi)
c. Percayakan diri boleh berubah
d. Melazimi menghadiri majlis ilmu
e. Mencari persekitaran yang baik (hijrah tempat tinggal)
f. Mencari pembimbing yang betul (Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri)

Kesimpulannya, isu LGBT hendaklah menjadi perhatian dan dilihat sebagai gejala sosial yang semakin membimbangkan. Jestru, kita perlu sepakat menyatakan ia satu perkara yang merosakkan agama, masyarakat, negara dan tamadunnya. Walaupun pengiktiraf dan hak golongan ini sebagai seorang manusia tidak boleh dinafikan, namun mereka tidak terlepas daripada disabitkan kesalahan dari segi nilai, fitrah dan syariat agama Islam yang tidak sesekali redha dengan perbuatan dan maksiat yang mereka lakukan. Sehubungan itu, bagi menangkis isu LGBT ini, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama serta memahami dan menghayati tanggungjawab kepada Allah S.W.T, diri dan masyarakat. Walluhua’lam. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button