Man Jadda Wa Jada

Rumah, Harta Musnah Dihanyut Banjir

Mangsa Banjir Tinggal Sehelai Sepinggang

Mardianis Sulin, 63 tahun hanya mampu termenung seolah-olah bagaikan tidak percaya apabila melihat rumahnya musnah teruk dihanyutkan arus deras dalam sekelip mata akibat banjir kilat.

“Saya hanya tinggal sehelai sepinggang selepas banjir, rumah musnah teruk, barang-barang dalam rumah musnah dalam sekelip mata.

“Tipu kalau kata kami sekeluarga tak tertekan memikirkan harta yang hilang, nak kumpul balik bukanlah mudah, ia adalah rumah peninggalan harta pusaka yang telah lama saya duduki bersama suami walaupun anak-anak saya dah punya rumah sendiri,” katanya yang tinggal di Kg Dusun Tua, Hulu Langat ketika ditemui penulis.

Menurutnya, dalam kejadian pada 18 Disember itu, arus deras disusuli rempuhan balak menyebabkan sebahagian struktur rumah runtuh dan kerugian hampir RM200,000.00.

Katanya, limpahan air sungai berlaku setiap kali hujan lebat atau berterusan, namun kejadian pada waktu itu, adalah yang terburuk sejak dia tinggal di sana.

“Kalau air sungai melimpah, itu perkara biasa. Cuma pada hari kejadian selepas maghrib, air semakin tinggi dan rumah di atas mula bergoyang selepas dilanggar balak,” ujarnya.

Mardianis berkata, beliau ketika itu bersama tiga orang anak perempuannya tidak sempat menyelamatkan barang-barang yang ada di dalam rumahnya kerana air banjir masuk ke rumahnya terlalu deras dan hampir meragut nyawa keluarganya.

“Risau keselamatan diri, saya menjerit sekuat hati memohon bantuan sebelum saudara saya yang tinggal di belakang rumah membantu mengeluarkan ahli keluarga seorang demi seorang sebelum rumah runtuh,” katanya ketika menerima kunjungan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyampaikan sumbangan keperluan makanan di sini pada Sabtu.

Mardianis juga berharap agar beliau sekeluarga dapat menerima bantuan bina rumah dan bercadang membina rumah lebih tinggi atas faktor keselamatan.

BANTUAN MAIS DAN LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS)

Mardianis bersyukur apabila menerima bantuan sumbangan keperluan makanan asasi dari MAIS dan bantuan bina rumah dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Alhamdulillah saya terharu sangat-sangat apabila menerima bantuan ini. Terlalu berat ujian ini, namun saya redha atas ketentuanNya. Terima kasih banyak-banyak buat MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) atas bantuan yang diberikan, sekurangkurangnya dapat meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.

Mardianis menerima bantuan MAIS berupa set makanan asasi seperti eras, tepung, susu, gula dan minyak masak yang disampaikan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Program Tautan Kasih MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, Agensi dan Anak Syarikat MAIS ke Sungai Lui, Hulu Langat di sini.

Menurut sumber Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mardianis juga turut menerima bantuan bina rumah berjumlah RM90,000.00 bagi meringankan beban beliau sekeluarga.

MAIS PERUNTUKAN RM38.1 JUTA BANTU MANGSA BANJIR

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukan sumbangan sebanyak RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir di Negeri Selangor yang terjejas akibat banjir dalam kejadian pada 17 Disember 2021 lalu.

Peruntukan RM38.1 juta itu meliputi peruntukan daripada Baitulmal
MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Bakti Suci Holding Sdn Bhd serta Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS) iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM37.17 juta diagihkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), RM300,000.00 oleh Yayasan Islam Darul Ehsan dan RM55,000.00 oleh Bakti Suci Holding Sdn Bhd.

Masing-masing adalah agensi dan anak syarikat MAIS. RM250,000.00 pula diagihkan oleh JAIS melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) dan selebihnya diagihkan oleh MAIS sendiri.

Manakala Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) pula berperanan membekalkan pek makanan asas kepada mangsa banjir di Negeri Selangor di bawah peruntukan MAIS dan LZS.

MAIS amat prihatin dengan keperluan maslahah ummah khususnya di negeri Selangor dan apabila berlaku ujian seperti ini, MAIS agensi dan anak syarikat akan segera memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button