Kemusykilan Umat

Halal, adakah ianya pada simbol?

Dalam Islam setiap perkara yang halal mahupun haram telah ditetapkan dalam nas-nas syarak. Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara
yang haram itu pun jelas” Riwayat al-Bukhari

Selain itu, pengguna muslim dituntut untuk memilih makanan yang memenuhi dua kriteria halal dan baik, hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud; 

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

Berkaitan mana yang perlu diutamakan sama ada membeli produk bukan Muslim yang telah mendapat status logo Halal (JAKIM) ataupun produk Muslim yang rata-rata tiada logo halal (JAKIM).

Oleh itu, kami merungkaikan bahawa semua produk Muslim yang tiada logo halal (JAKIM) tidak boleh dianggap tidak halal mahupun haram. Hal ini kerana status halal tertakluk pada bahan-bahan yang digunakan serta teknik penyediaan yang menepati syarak. Produk makanan umat Islam mestilah daripada sumber bahan mentah yang
halal lagi suci. Sebaliknya, sumber bahan mentah daripada haiwan haram mahupun haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak, maka jelaslah produk makanan tersebut daripada sumber yang haram. Sehubungan itu, pengguna Muslim perlu bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan-bahan yang dibeli sama ada bebas daripada unsur haram mahupun sebaliknya. 

Memang tidak dapat dinafikan, pengguna Muslim mempunyai satu hak untuk memilih barangan yang bermutu, berkualiti dan lebih-lebih lagi memilih produk yang terdapat logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sehubungan itu, kami berpendapat bahawa pengguna Muslim perlu berpegang pada prinsip yakini produk Muslim halal sekiranya telah jelas produk tersebut bebas daripada unsur haram serta teknik penyediaan yang menepati kehendak syarak. Panduan tersebut terbina atas dasar kaedah fiqh berikut:

“Keyakinan tidak terluput dengan syak”

Namun, sekiranya ragu-ragu terhadap sebarang produk makanan Muslim yang tiada logo halal yang diiktiraf mahupun melihat cara penyediaan yang tidak menepati kehendak syarak seperti penyediaan makanan daripada telur ayam yang tidak dibasuh dan dikhuatiri masih melekat najis maka perlu ditinggalkan. Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 

“Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

Moga bermanfaat dan asbab kebaikan. Edisi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button